Semua Anak Berhak Berjaya


Assalam'mualaikum

Teks : Hasnita Sawal - nitasawal@gmail.com

Masa berbaki lagi satu jam sebelum detik 12 malam. Maksudnya saya perlu menyiapkan tugasan kelas online ini dalam masa satu jam dari saat saya mengetuk papan kekunci komputer riba ini. Saya meletakkan sasaran untuk tidur pada jam 12 tengah malam di hari bekerja. Saya perlu bertenaga untuk bangun awal bagi melunaskan tanggungjawab sebagai hamba ALLAH.

Sambil menikmati secawan minuman coklat panas, fikiran menerawang memikirkan apa entri yang hendak dikongsi untuk malam ini. Maklumlah saya perlu mengejar sasaran 44 entri yang diminta oleh guru online. Dalam pada berfikir sempat juga menziarah ke blog sahabat lama saya Acik Naros. Sudah beberapa hari tidak menjenguknya. Rasa rindu hendak membaca catatan Acik Naros yang sentiasa kreatif itu. Tajuk entrinya 'Celikkan mata dan bukalah minda' benar-benar terkesan di hati. Saya terus mengaitkannya dengan status seorang rakan facebook semalam.

Rakan saya merupakan seorang guru, menulis status yang ada rakan gurunya berkata "budak kelas hujung, bagi apa soalan pun memang tak boleh nak buat." Apakah dia bermaksud pelajar kelas terakhir memang tiada peluang untuk berjaya walaupun sudah diberikan soalan ramalan peperiksaan atau soalan peperiksaan sebenar sendiri? Ia kedengaran tidak adil kepada pelajar berkenaan. Lebih menyedihkan apabila ia diucapkan oleh seorang guru yang sepatutnya bertanggungjawab membantu pelajarnya biarpun ia mempunyai prestasi yang lemah.

Cuba kita bayangkan keadaan pelajar tersebut semasa dia masih berusia bayi. Bayangkan bayi itu adalah anak kita. Bayangkan pula anak kita sedang belajar bertatih. Bayangkan keadaan kita sebagai ibu bapa ketika itu. Tentu sahaja kita rasa seronok melihat anak sudah belajar berjalan. Tentu sahaja kita tidak sabar melihatnya berjaya. Tetapi dalam perjalanan belajar berjalan itu, dia akan terjatuh dan tersungkur. Pasti kita tidak akan membiarkan anak kita jatuh kesakitan. Jika boleh kita tidak mahu anak kita menangis kerana terjatuh. Kita bantu dia, kita pegang tangannya dan kita bimbing dia agar boleh berjaya.

Kita berikan dia kata semangat supaya jangan berputus asa dan akhirnya anak kita berjaya berjalan tanpa terjatuh. Semuanya berkat sokongan kita sebagai ibu bapa. Semakin anak kita membesar, semakin banyak kata semangat yang kita berikan kepada mereka sepanjang tempoh pembelajaran mereka. Kata-kata positif yang sering ditiupkan oleh ibu bapa sejak usia kecil anak adalah motivasi awal yang mereka serap.

Mereka membesar sebagai anak yang positif kerana mereka tahu ayah dan ibu sentiasa ada di sisi. Mereka tidak takut  meneroka persekitaran untuk belajar. Keyakinan diri seorang anak boleh dipupuk sejak kecil lagi. Ia penting bagi menjadikan anak itu kuat semangat juangnya biarpun berdepan dengan kegagalan. Jangan sekali-kali tinggalkan anak di saat dia mengalami kegagalan.

Sebagai ibu saya juga tidak terlepas berhadapan dengan pengalaman kegagalan anak. Anak saya berpengalaman bertukar kelas daripada kelas hadapan ke kelas hujung. Semuanya akibat kegagalannya mengekalkan prestasi terbaik dalam pelajaran untuk kekal dalam kelas pertama. Tetapi sebagai ibu saya tidak boleh melemahkan semangatnya, saya nyalakan obor semangat dalam dirinya. Saya nyatakan sekali gagal bukan bermakna gagal sampai bila-bila.

Semua orang berhak untuk berjaya asalkan rajin berusaha. ALLAH juga tidak suka hambaNYA yang cepat berputus asa. Oleh kerana sejak usia kecil saya sering mengingatkan kepadanya bahawa tidak salah untuk kita sesekali mengalami kegagalan, maka cepatlah dia menerima takdir dirinya. Namun bukan bermakna hanya berpeluk tubuh dan sekadar menerima takdir yang tertulis. Sebaliknya harus bangun dan berjuang sampai ke titisan darah yang terakhir.

Apabila dia bertanya "kalau tak dapat 5A dalam UPSR macam mana?". Saya akan menjawab, "berusaha, berdoa dan bertawakal. Berusaha sehingga ke titisan darah yang terakhir sebelum menerima apa juga keputusan dengan redha." 

Tanamkan dalam diri anak-anak erti perjuangan, kesabaran dan keyakinan sejak usia mereka kecil lagi. Tidak semestinya jika anak kita kurang menyerlah dalam bidang akademik dia tidak boleh berjaya dalam hidupnya. Banyak bidang lain yang boleh diteroka. Bumi ALLAH ini sangat luas dan rezeki ada di mana-mana.

Saya sendiri melihat kejayaan seorang insan itu dalam skop yang sangat luas. Bagi saya sendiri, kejayaan menjadi anak yang soleh, berakhlak dan patuh kepada perintah ALLAH  adalah kejayaan yang sebenar. Apa guna jika anak kita berjaya dalam pelajaran tetapi tidak mampu menunaikan perintahNYA. Wallahualam...

Salam malam

Mama Ita

Comments

  1. Ita, terima kasih banyak-banyak sebab sudi baca tulisan makcik yang sesedap rasa tu. Siap promote lagi. Tqvm :-) Hehehe... Ta, semoga apa yang kita catatkan di blog sentiasa memberi manfaat kepada semua orang. In Sha Allah.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerita Susu Ibu Di Petang Hari

Betul Ke Kajian Kata Makan Pedas Boleh Kuruskan Badan?

Opsss....Saya Sedia Membantu