Mengikat Anak Ke Masjid


Assalam'mualaikum

Teks: Hasnita Sawal - nitasawal@gmail.com


"Mama, boleh tak Aiman pegi solat Isyak kat surau yang dekat rumah kita ni?" tanya Aiman selepas solat Maghrib di rumah.

Sudah banyak kali dia mengajukan soalan tersebut kepada saya.  Tapi saya masih belum beri kebenaran lagi. 

Biasanya dia akan ke masjid dengan Babanya tapi bila En.suami sibuk meeting di waktu malam, dia tidak boleh bawa si bujang sekali kerana dia terus ke tempat meeting selepas solat di masjid.

"Bukan Mama tak bagi tapi Aiman kecik lagi. Risau la Aiman nak pegi sorang-sorang," saya menyatakan alasan.

"Aiman ok la Mama. Aiman pegi naik basikal," dia masih berusaha meyakinkan saya. 

 Malam kelmarin ketika saya memandu pulang ke rumah daripada menghantar En.suami ke rumah kawannya (pergi meeting di KL bersama kawannya), Aiman mengajak saya singgah ke masjid TTDI Jaya (tempat kami selalu solat dan mendengar kuliah agama).

"Ma, jom kita singgah solat Isyak dulu. Lepas tu baru balik rumah," ajaknya penuh yakin.

"Aiman dah lama tak dengar ceramah la, rindu nak dengar. Rindu kat masjid," katanya dengan suara yang ikhlas.

Sebenarnya baru dua hari kami tidak ke masjid kerana kesibukan En.suami meeting di KL. Saya pula jarang ke masjid jika En.suami tidak ada bersama. 

Saya mula membiasakan anak-anak bersolat jemaah di masjid sejak setahun yang lalu. Awalnya memang agak payah juga mengajak anak-anak kecil ke masjid walaupun hanya untuk satu waktu solat   sahaja iaitu Isyak.

Biasalah budak-budak, adakalanya mulut muncung sedepa sekiranya Baba mereka beritahu "hari ni kita gi masjid..."

Tapi mereka tetap mengikut dan Alhamdulillah biasanya selepas selesai kuliah dan solat jemaah, masing-masing akan memuji ceramah ustaz yang didengar.

"Bestlah ceramah ustaz ni. Alya suka dia cerita," ulasnya sebaik keluar dari masjid.

"Aah best kan kak, ustaz cerita pasal manusia semua masa kat Padang Masyhar. Takut Aiman!"

Begitulah mereka setiap kali selepas pulang dari masjid. Walaupun awalnya seperti malas hendak pergi (maklumlah budak-budak) tetapi sebaik waktu pulang masing-masing akan mengulas ilmu yang dipelajari dan berazam untuk jadi hamba Allah yang patuh dengan perintahNya.

MasyaAllah nikmat Tuhan mana lagi yang saya hendak dustakan apabila dikurniakan anak-anak yang ingin belajar agama Allah. 

Masjid adalah tempat terbaik mentarbiah anak-anak. Mengikat anak-anak cinta akan rumah Allah dapat membantu mereka agar terhindar daripada berbagai kerosakan akhlak. In sha Allah anak-anak yang terbiasa dengan suasana solat berjemaah dan kuliah agama akan semakin mencintai Allah dan RasulNya.

Kita selalunya berdoa selepas solat minta Allah kurniakan zuriat penyejuk mata iaitu anak-anak yang soleh. Pada pendapat saya salah satu daripada didikan adalah membiasakan mereka dibawa ke masjid untuk solat berjemaah.



Semoga anak-anak terdidik mengikut sunah Rasulullah s.a.w yang tidak pernah tinggal solat berjemaah di masjid.

Wallahua'lam

Mama Ita


 





Comments

Popular posts from this blog

Cerita Susu Ibu Di Petang Hari

Betul Ke Kajian Kata Makan Pedas Boleh Kuruskan Badan?

Kerisauan Seorang Ibu