Bila Anak Bicara Soal Cantik

Assalam'mualaikum

Teks: Hasnita Sawal - nitasawal@gmail.com

"Mama, pakai apa tu? Nak sikit!" minta Alya sewaktu melihat saya menyapu krim malam sebelum tidur.

"Budak-budak tak payah pakai la. Kulit masih cantik lagi," ujar saya tidak membenarkan dia memakai krim.

"Alah sikit je. Nak try je. Please Mama," rayunya tak putus asa.

Anak yang sorang ni kalau minta sesuatu akan diusahakan sampai dapat.

Akhirnya saya mengaku kalah dan membenarkan dia mencuba.

Kalau sudah perempuan memang semula jadi dari kecil suka yang cantik-cantik. Tapi saya tak sangka secepat ini dia risaukan hal kecantikan dan penampilan diri.

Apabila persoalan tentang warna kulit dan kecantikan diri mula ditanya, saya perlu bersedia dengan jawapan yang sesuai dengan peringkat usianya.

"Mama kenapa kulit Alya tak putih macam kawan Alya?" saya sudah mengagak soalan itu  akan diajukan. Dia memang kerap bertanyakan soalan tersebut kepada saya sejak semakin membesar ini.

Bunyinya seperti tidak suka dengan warna kulit yang dikurniakan Allah. Oh!" Ini sangat tidak bagus untuk anak yang semakin meningkat remaja. 

"Cuba mama cakap kulit Alya ni warna sawo matang ke, hitam manis ke atau coklat biasa. Hitam manis tu macam mana mama?"

Eh!" Tak habis lagi budak sorang ni bertanya.

"Alya, Allah dah cipta Alya cantik sangat. Semua anggota badan cukup. Tak de pun cacatnya. Plus Alya bertuah sebab ada dua lesung pipit yang dalam, bila senyum nampak sweet sangat."

"So kenapa risaukan dengan warna kulit. Alya putih ke, hitam ke, coklat ke, Mama dengan Baba tetap sayang.

Kalau cantik pun tapi akhlak tak elok buat apa. Malas solat, tak dengar cakap Mama dengan Baba, busuk hati, suka gaduh dengan adik, pengotor, malas kemas bilik, tergedik-gedik, cantik ke tu?" soal saya pula."

"Allah tak tengok kecantikan hambaNya tapi Allah lihat akhlaknya yang baik, hatinya yang baik dan paling penting ketakwaannya. Orang yang rajin solat, mengaji al-Quran, suka tolong ibu bapa, pembersih,  Allah lagi sayang," pesan saya lagi.

"Jadi sekarang ni yang penting sekali mesti cantik budi pekerti dan akhlak. Kita hidup kat dunia sebab nak dapat pahala yang banyak supaya dapat syurga Allah bukannya sibuk fikirkan kita cantik atau tak. 

Kalau orang kata kita tak cantik pun biarkan sebab Allah yang cipta kita. Tapi kalau orang puji kita cantik, kita kena kembalikan pujian tu kepada Allah sebab hanya DIA saja yang layak terima pujian.  Mana lagi penting, cantik di mata manusia ke di mata Allah?" tegas saya bertanya.

"Mestilah Allah!" jawab Alya.

"Alya ingat ye pesan Mama, cantik tu perkara yang subjektif. Semua manusia Allah cipta ada keistimewaannya. Jangan pandang rendah orang yang tak cantik dan jangan berlagak kalau diri itu cantik. Perbaiki kecantikan akhlak dulu tau!" 

Anak-anak perempuan memang semula jadi suka akan kecantikan, tak kiralah pakaian yang cantik, muka yang cantik dan serba serbi nak cantik.

Tetapi sebagai orang tua kita mesti bimbing persepsi anak-anak tentang kecantikan. Rupa paras yang cantik tak kekal selamanya tapi akhlak yang cantik diingati semua orang dan paling penting mendapat catatan pahala yang banyak daripada Malaikat.

Pesan lagi kepada anak-anak bahawa cinta kepada kecantikan fizikal itu tidak penting di dunia ini tetapi kecintaan kepada Allah SWT dan Rasulullah s.a.w itu lebih utama.

Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada tubuh dan bentuk kamu, tetapi Dia melihat kepada hati-hati kamu. (Riwayat Muslim)



Wallahu a'lam

Mama Ita






Comments

Popular posts from this blog

Cerita Susu Ibu Di Petang Hari

Betul Ke Kajian Kata Makan Pedas Boleh Kuruskan Badan?

Zikir Penenang Jiwa, Hadiah Allah Untuk Kita