Mama....Jangan Bunuh Semut!

Assalam'mualaikum

Teks: Hasnita Sawal - nitasawal@gmail.com
Foto: Google image



Ya Allah geramnya tengok hurungan semut yang banyak dalam dapur rumah.  Saya memang pantang melihat semut menghurung makanan atau minuman atas meja dapur. 

"Memang nak kena la ni..." getus saya dalam hati.

"Semut ni....bukannya benda manis, air masak je kot. Tu pun kau nak hurung..." bebel saya tak puas hati.

Cepat saja saya capai kain lap dan terus menekap ke atas kumpulan semut. Puas rasa hati! Ketika tengah asyik menamatkan riwayat semut-semut tersebut, saya terdengar suara kanak-kanak berteriak.

"Mama....jangan bunuh semut!!!"

"Eh, kenapa pulak?" Soal saya tidak sabar mendengar jawapannya.

"Habis air masak satu jag tak boleh minum. Banyak semut masuk," saya memberitahu Aiman yang beria-ria menghalang saya membunuh semut.

"Mama, ustaz kata semut-semut ni semuanya berzikir kat Allah. Semut kan rakyat Nabi Sulaiman sebab tu dia selalu berzikir kepada Allah sepanjang masa. Kalau kita bunuh semut, kita berdosa tau," panjang lebar 'ustaz' Aiman memberi tazkirah kepada saya.

"Alhamdulilah. Pandainya anak Mama!" Saya memberikan pujian di atas ilmu yang dikongsinya itu.

"Betul Aiman cakap tu. Kisah semut pun ada disebut dalam al-Quran. Semut tu haiwan, tapi dia sentiasa berzikir pada Allah, kita yang manusia ni kenapa tak nak ikut perangai semut ye?" beritahu saya sambil terselit pertanyaan. 

Allah mengabadikan kisah semut di dalam al-Quran, istimewanya Allah menamakan satu surah  di dalam kitab suciNya dengan nama An-Naml iaitu semut. Kisah tersebut diceritakan Allah SWT dalam Ayat 18 dan 19 surah An-Naml.

"Cuba Aiman jadikan semut ni sebagai contoh. Dahlah rajin berzikir, rajin bekerjasama, tolong-menolong dengan adik-beradik dan semua ahli keluarga dia. Tak de pun bergaduh," beritahu saya sambil cuba mencari peluang untuk menasihatkannya (Mama pun tak nak mengalah jugak hehehe).

Allah memerintahkan hambaNya untuk selalu memerhati dan mengambil pelajaran dari apa pun perkara di sekeliling kita termasuk dari haiwan. Allah SWT berfirman,

"Dan sesungguhnya pada binatang ternak itu benar-benar terdapat pelajaran bagi kamu." (An-NahI:66)

"Mama...Aiman ada satu perangai yang ikut macam perangai semut," ucapnya penuh yakin.

"Apa dia?" Tanya saya pantas.

"Aiman suka sangat makan gula-gula. Hahaha... macam semut la kan sebab suka makan yang manis-manis," katanya sambil ketawa.

"Bertuah betul budak ni. Yang tu tak payah la ikut. Loyar buruk kamu ye," balas saya dalam nada geram tapi gelihati.

Menggalakkan anak-anak berkongsi cerita-cerita dari al-Quran yang didengar dari ustaz di sekolah boleh menjadi galakan kepada mereka untuk mencintai kisah para Nabi dan Rasul. 

Memuji mereka di atas teguran yang diberikan berdasarkan ilmu yang dia ada dapat meningkatkan keyakinan diri anak-anak. Tidak semestinya kanak-kanak tidak boleh menegur perbuatan orang dewasa yang melakukan kesilapan.

Mendidik anak-anak menjadi Muslim yang sebenar pada zaman yang penuh cabaran memerlukan usaha gigih ibu bapa sentiasa merujuk kepada al-Quran dan ajaran sunnah Rasulullah serta doa tanpa henti kepada sang Pencipta.

Wallahu a'lam.

Mama Ita






Comments

Popular posts from this blog

Cerita Susu Ibu Di Petang Hari

Betul Ke Kajian Kata Makan Pedas Boleh Kuruskan Badan?

Zikir Penenang Jiwa, Hadiah Allah Untuk Kita