Birthday Alya Ke-12 Tahun

Assalam'mualaikum

Teks: Hasnita Sawal - nitasawal@gmail.com
Foto: Kamera phone

Syukur Alhamdulillah. Tiada kata-kata lain yang dapat saya lafazkan saat ini kecuali bersyukur atas nikmat bergelar ibu yang Allah berikan.

Hari ini genap 12 tahun saya menyandang gelaran ibu kepada dua orang anak. Dua belas tahun lalu pada detik ini saya masih lagi dalam wad bersalin Hospital Kluang. Melahirkan Alya Izzati pada jam 10.50 pagi 4 November 2001tidak terlalu sukar.

Tiga  jam selepas sakit kontraksi kuat, saya selamat melahirkan anak secara normal. Saya tak akan lupakan kata-kata pertama yang keluar daripada mulut jururawat yang menyambut kelahiran Alya.

"Eh anak awak ada lesung pipit dalam la!"

Dalam kesakitan yang dirasakan, itu perkataan pertama yang saya dengar. 

Kini si gadis berlesung pipit semakin menghampiri ketinggian saya. Sudah pandai bergaya dengan tudung milik mama. Kadang kala berebut kasut yang sama dengan saya kerana saiz kami sudah sama. 

Ohhh...pantasnya masa berlalu. Terasa baru semalam, Alya kencing di baju saya ketika sedang menyalin lampinnya. Rasanya baru kelmarin dia meminta saya menepuk-nepuk punggungnya sambil mahu mendengar cerita ketika mata terpejam hendak tidur.

Membesarkan anak pertama memang satu cabaran kepada saya dan En.suami. Apatah lagi ketika itu kemudahan internet tidak semudah sekarang. Segala ilmu keibubapaan perlu dipelajari daripada pengalaman orang tua, paling hebat daripada pembacaan buku atau majalah.

Perbezaan ketara dirasakan saat membesarkan Alya pada enam tahun pertama dan kedua kehidupannya. Saya sudah melepasi fasa kedua dengan penuh pancaroba. Kini memasuki fasa ketiga yang lebih mencabar.

Pengalaman membesarkan anak pada fasa pertama mempunyai cabaran dari segi melayan ragam dan kerenahnya menguasai kemahiran perkembangan fizikal. Perasaan ingin tahu yang sangat tinggi dengan tidak berhenti bertanya itu dan ini juga mencabar kesabaran diri.

Saya fiikir apabila Alya sudah mula bersekolah, tugas mendidiknya semakin mudah. Tiada lagi makan bersepah, mandi tak bersih atau merengek tak tentu pasal. Tetapi sangkaan saya jauh meleset. Cabaran yang lebih besar menanti di depan.

Secara peribadi, fasa kedua kehidupan seorang anak lebih penuh misterinya. Kita rasakan semakin anak membesar, kita semakin mengenalinya tetapi rupanya tidak. Saya anggap anak-anak seperti layang-layang. Jika kita terlepas tali yang 'mengikat'nya takut kita terus terlepasnya dan dia terbang melayang tanpa arah.

Saya percaya didikan mengikut cara Islam jalan terbaik membentuk akhlak seorang anak. Tiada jalan mudah mentarbiah anak mengikut acuan yang kita kehendaki sepertimana diajar oleh Rasulullah s.a.w.
Dalam peringkat usia fasa kedua, tuntutan dan cabarannya berbeza. 

Interaksi dengan si anak bukan sekadar menjawab soalan 'apa' dan 'mengapa' tetapi lebih kepada menerangkan sebab tentang persoalan yang bermain di kepalanya. Jawapan yang diberikan perlu lebih menyediakan fakta berlandaskan al-Quran dan sunnah.

Menyambut hari ulang tahun memang dinantikan oleh kanak-kanak kerana beranggapan pada hari istimewa tersebut mereka boleh meminta hadiah yang diinginkan. Biasalah perasaan dan keinginan tersebut tersemat dalam hati seorang kanak-kanak.

Tak salah mereka ada keinginan itu. Sama seperti anak-anak saya, apa sahaja keinginan yang diinginkan pasti mereka akan cakap "Mama, nanti bila birthday Alya/Aiman, mama belikan baang itu ye."

Saya iyakan sahaja tetapi kalau semua keinginan itu hendak dipenuhi, boleh pengsan saya dibuatnya. Percaya tak, yang saya tidak pernah membuat majlis sambutan hari lahir dengan menjemput kawan-kawan anak meraikannya kecuali sekali pernah menyambut hari ulang tahun Alya di sekolah dan Aiman di tadikanya.

Saya memang mengajar anak sekadar meraikan hari ulang tahun bersama ahli keluarga secara sederhana. Membawa mereka makan di restoran kegemaran dan sekadar membelikan sepotong kek  untuk menggembirakan hati mereka.

Itu cara saya. Tidak semestinya cara saya betul dan sesuai untuk semua orang kerana saya percaya setiap ibu bapa tahu apa yang terbaik untuk anak-anak mereka. Adakalanya Alya merengek hendak membuat majlis hari lahir seperti kawan-kawannya yang meraikan di restoran makanan segera atau di rumah.

Tetapi saya tegas memberitahunya yang sambutan hari ulang tahun tidak semestinya perlu majlis besar-besaran. Cukup sekadar berdoa sebagai tanda bersyukur kerana Allah SWT menambah lagi jumlah angka usia kita.

Beritahu saya lagi kepada mereka, pertambahan usia bermaksud semakin pendek usia kita hidup di dunia ini. Semakin matang diri kita hendak menjadi manusia yang lebih bertanggungjawab. Bukan sekadar berseronok meniup lilin dan memotong kek serta menerima pelbagai hadiah.

Bukan saya kedekut hendak membuat majlis tetapi saya lebih selesa bersederhana mendidik mereka tentang cara meraikan sambutan hari ulang tahun. Untuk sambutan hari lahirnya yang jatuh pada hari cuti, saya sekadar membelikan Alya sepotong kek Chocolate Indulgence yang diinginkannya.

"Mama tak tau nak belikan apa tapi rasanya beli novel yang Alya nak la kot," kata saya mengajaknya ke MPH Book store memilih hadiah.

Kebiasaannya setiap tahun saya lebih suka membelikan mereka hadiah buku. Saya bawa mereka ke kedai buku MPH (mereka memang 'hantu' buku) dan beri peluang memilih apa sahaja novel atau buku yang diinginkan.


    Pantang masuk kedai buku, bersila jawabnya membaca...


     
Walaupun sudah diberi kebebasan Alya masih lagi rasa bersalah memilih buku yang diinginkan. 

"Mama boleh ke Alya beli novel ni?" Mahal ni," tanyanya risau.

"Hari ni je boleh sebab birthday Alya. Hari lain Mama yang tentukan boleh ke tak," jawab saya.

Akhirnya sebuah novel Inggeris The Hunger Game yang sudah lama diidamkan berada dalam genggamannya seiring senyuman berlesung pipit yang dilemparkan. Mama jadi tenteram punya anak yang boleh bertolak ansur. Syukur.

      Hadiah birthday Alya yang  ke-12

Wallahu a'lam

Mama Ita














Comments

Popular posts from this blog

Cerita Susu Ibu Di Petang Hari

Betul Ke Kajian Kata Makan Pedas Boleh Kuruskan Badan?

Zikir Penenang Jiwa, Hadiah Allah Untuk Kita