Malu Itu Sebahagian Daripada Iman

Assalam'mualaikum

Teks: Hasnita Sawal - nitasawal@gmail.com
Foto: Kamera iPad

Saya masih lagi dalam fasa terkejut selepas menyaksikan video sepasang kekasih remaja yang beraksi mesra saling berpelukan dan berkucupan di khalayak. Rakannya merakamkan aksi mereka dengan sengaja. 

Video tersebut dikongsi oleh seorang teman facebook saya.

Saya macam tak percaya yang kebanyakan remaja sekarang begitu 'daring' sekali menunjukkan kemesraan percintaan mereka. 

Saya sengaja mengajak Alya menonton bersama video itu. Saya ingin melihat reaksinya.

"Oh my God....Ma why this girl behave like this? Oh memalukannya. Dorang tak tau ke berdosa!" katanya tidak puas hati.

"Alya, jangan buat perangai macam ni ok!" tegas saya bersuara.

Ok, saya tidak mahu mengulas mengenai kelakuan pasangan remaja itu. Saya doakan semoga mereka mendapat hidayah untuk bertaubat. Saya juga berharap agar tidak perlu menyebarkan video perbuatan mereka yang mengaibkan itu lagi. Cukuplah melihatnya sebagai pengajaran buat anak-anak kita.

Apabila Alya terkejut melihat perbuatan remaja tersebut yang sudah hilang rasa malu, dan dalam masa yang sama dia berkata seperti hendak muntah dengan perbuatan mereka, saya mengambil kesempatan untuk mentarbiahnya mengenai kesalahan yang dilakukan itu tidak boleh dicontohi.

Menjadi kewajipan kita orang tua untuk mengingatkan anak gadis tentang perlunya menjaga akhlak mereka di mana sahaja berada. Bila saya bagi amaran keras agar dia tidak membuat perangai seperti itu, jawapannya sudah tentu " eeee Alya tak akan buat macam tu Mama."

"Mungkin sekarang Alya kata tak akan buat tapi mana Mama tahu kot-kot nanti Alya buat macam tu," saya cuba memprovokasinya.

"Mama, dorang tak malu ke peluk-peluk, cium-cium kat shopping mall. Dahlah siap panggil papa mama lagi. Orang dah kahwin pun tak macam tu," bebelnya lagi.

"Alya tau tak kenapa mereka tak kisah rakam video macam tu kat tempat orang ramai? Sebab mereka dah tak de rasa malu. Bila tak ada rasa malu maka tak kisahlah buat perangai macam tu. 

"Alya, rasa siapa yang mula-mula nampak perbuatan mereka?" saya cuba memancing lagi soalan.

"Allah," jawabnya.

"Tau tak pe. Jadi kalau nak buat apa-apa perkara tak senonoh, ingatlah Allah cepat-cepat sebab Dia sentiasa perhatikan kita. Bila rasa takut dan malu dengan Allah ada, In shaa Allah kita tak akan buat benda tak elok walau ke hujung dunia pun kita pergi," saya tak pernah penat mengingatkan Alya.

"Lagipun Rasulullah pesan malu tu sebahagian daripada iman. Kalau dah tak de perasaan malu maksudnya kita ni tak ada iman lah. Nak macam tu? Kamu tu orang perempuan, lagilah kena ada banyak rasa malu. Jangan tak tau malu sangat dengan kawan-kawan lelaki," bebel saya lagi.

"Ya Mama, Alya tau."

Risaunya saya dengan keadaan sekarang terutama yang ada anak perempuan, eh rasanya yang ada anak lelaki pun perlu risau. Tak akan terjadi perkara tersebut jika tiada tindak balas antara lelaki dan perempuan.

Sebab tu pentingnya didikan agama yang kuat dalam diri anak-anak kita. 
Jangan biarkan mereka hanyut dengan kawan-kawan. 
Dampingi mereka selalu. 
Dengar cerita mereka. 
Jadikan diri kita kawan kepada anak-anak.  
Kadang kala kita perlu jadi 'kepochi' tentang apa yang mereka bualkan dengan kawan-kawan. 
Jangan pernah berhenti mengingatkan mereka tentang pentingnya melakukan amalan baik kerana manusia ini sifatnya mudah lupa.
Doakan keselamatan anak-anak agar terpelihara diri mereka daripada kejahatan di dunia ini. 

Saya berharap Alya dapat mengambil iktibar daripada apa yang disaksikan. Semoga hatinya sentiasa dibukakan oleh Allah untuk melakukan kebaikan kerana rasa takutnya akan azab dari Allah SWT jika berbuat kejahatan. 

Doa Mohon Keturunan Baik 
(Surah Ali-Imran ayat 3)

"Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar doa"



Wallahua'lam

Mama Ita












Comments

Popular posts from this blog

Cerita Susu Ibu Di Petang Hari

Betul Ke Kajian Kata Makan Pedas Boleh Kuruskan Badan?

Kerisauan Seorang Ibu