Bola Sepak Punya Cerita

Assalam'mualaikum


Teks: Hasnita Sawal - nitasawal@gmail.com

Foto: Kamera phone 


Berfikir untuk menulis sambil mata menonton perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia antara pasukan Kelantan dan Pahang memang kerja yang sukar. Sebenarnya saya bukanlah peminat bola sepak yang tegar.


Biasanya saya tidak peduli pun dengan sebarang permainan yang berlangsung di kaca tv. Hakikatnya saya juga tidak punya pasukan pilihan yang disokong. Pendek kata saya tidak tahu menahu pun tentang bola sepak! Hehehe...


Rasanya Aiman lebih 'terer' bercerita bab bola sepak berbanding saya. Saya jadi kagum dengan pengetahuan anak seusianya menyebut nama-nama pemain bola sepak antarabangsa dan tempatan. Mungkin itu naluri semula jadi anak lelaki agaknya. Saya sendiri sekadar mengenali nama-nama popular sahaja. Itu pun sebab glamour dengan skandal-skandal. 


Oh lupakan kisah bola sepak. Saya masih buntu memikirkan apa cerita hendak dikongsi hari ini. Eh...terfikir pula, macam mana Aiman boleh 'terer' pasal bab bola ni? Saya tidak melanggan saluran Sukan Astro. Dia juga jarang menonton siaran bola sepak di televisyen. Hmmm....saya pun mula menyiasat.


Katanya, dia tahu serba sikit tentang bola sepak daripada Alif, sepupunya yang sebaya usia. Selain dari itu, kawan-kawan di sekolah juga turut berbual pasal bola. Jadi serba sedikit bertambah juga pengetahuannya. 


Saya mula terfikir, betapa kuatnya pengaruh bola sepak dalam kehidupan seorang lelaki. Menurut Aiman, dia hanya minat 'sikit-sikit je' dan pengetahuannya tidak seberapa dibandingkan dengan sepupunya atau budak lelaki lain tetapi bola sepak tetap menjadi pujaan hatinya


Nampaknya bola sepak memang menjadi sebahagian daripada diri mereka. Saya tak kisah bila anak lelaki gilakan bola sepak kerana itu memang kesukaan mereka sejak azali tetapi saya tidak berkenan jika mereka keterlaluan menggilai bola sepak sampaikan mengabaikan perkara wajib lain yang mesti dikuasai seperti bersolat, mengaji dan sebagainya.


Sedang dia berborak tentang nama pemain bola sepak Kelantan dan Pahang bersama Babanya, saya menyampuk dengan soalan cepu emas. 


"Siapa nama nabi yang kena telan ikan paus?"


"Nabi Yunus," jawab Aiman.


"Nama pemain bola bukan main ingat lagi, nama Nabi ingat ke semua?"


"Berapa orang Rasul yang kita wajib ingat?" tanya saya lagi bertalu-talu.


"25 orang."


Bila diminta sebut kesemua namanya, Aiman hanya menyebut beberapa nama sahaja. Katanya dia sudah tidak ingat walhal dulu dia hafal semua nama Rasul tersebut.


"Ok esok tak sekolah kan? Mama bagi homework untuk hafal 25 orang nama Rasul tu. Mama akan soal bila balik kerja nanti," saya memberinya tugasan.


"Ok Ma...," 


Jangan ingat dia boleh terlepas daripada pengawasan Mama. Anak-anak ini perlu selalu dipantau. Sesekali kita perlu buat 'spot check' pada mereka sama ada dari segi penguasaan bacaan dalam solat, doa, hafalan ayat-ayat lazim, hafalan sifir dan lain-lain lagi ilmu asas. 


Jangan lupa juga 'spot check' barangan peribadi mereka seperti hand phone, beg sekolah, buku-buku dan bilik tidur. Macam-macam kejutan yang menanti kita! Biasanya jika menemui bahan bukti yang mencurigakan atau melanggar peraturan, saya akan mengenakan denda dan tindakan tatatertib.


Saya rasa walau sesibuk mana pun kita dengan urusan kerja, jangan abaikan sedikit perhatian kepada anak-anak. Perhatian bukan sekadar menyediakan makan minum serta keperluan material mereka sahaja.


Perhatian melibatkan diri dalam pembangunan rohani anak-anak perlu lebih menjadi keutamaan. Jangan terlalu kagum apabila anak-anak kita hebat pengetahuan dalam bab duniawi sedangkan bab agama kita terabaikan.


Apatah lagi menjadi kewajipan kita sebagai pemegang amanah dari Allah untuk mengajar anak-anak mengenali Allah SWT, al-Quran, sunnah Rasulullah s.a.w dan tanggungjawab sebenar sebagai khalifah di muka bumi ini.


    Dua amanah Allah yang perlu diberi perhatian sebaiknya.


Wallahu a'lam


Mama Ita











 


 

Comments

  1. thats a great way... mendidik anak kita dengan sesuatu cara yang tidak memudaratkan nya...

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerita Susu Ibu Di Petang Hari

Betul Ke Kajian Kata Makan Pedas Boleh Kuruskan Badan?

Kerisauan Seorang Ibu