Thursday, October 3, 2013

Kerisauan Seorang Ibu


Assalam'mualaikum

Teks: Hasnita Sawal - nitasawal@gmail.com


Surah Al-Luqman ayat 13
Bismillahirrohmanirrohim~
[Ayat 13] Dan ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: “Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.”

Semakin hari kerisauan semakin menebal. Kerisauan yang bertamu tidak pernah surut. Mungkin itu naluri semulajadi seorang ibu yang Allah SWT kurniakan.

Sewaktu menjawab soalan seorang ibu di wall facebook Pa&Ma saya memahami perasaannya. Dia risau bayi sulungnya yang berusia setahun sembilan bulan masih belum pandai bercakap serta malas hendak menyebut mama atau ayah. 

Seorang ibu tidak akan berhenti berasa risau biarpun si anak sudah dewasa dan bersuami kelak.

Ceritanya begini, anak sulung saya Alya baru dihadiahkn smart phone daripada Babanya. Ia sebagai menepati janji yang En.suami buat tahun lepas sekiranya dia mendapat keputusan 8A dalam peperiksaan UPKK (Ujian Penilaian Kelas KAFA) bagi sekolah agama.

Nah...tup..tup anak dapat merealisasikan cabaran bapanya. Tapi disebabkan dia menghadapi peperiksaan UPSR tahun ini, jadi En.suami menangguhkan sehingga selesai semua peperiksaan termasuk PSRA (Penilaian Sekolah Rendah Agama) minggu lepas. 

Apa yang saya risaukan, Alya semakin rancak dan asyik dengan dunia barunya. Saya beranggapan mungkin dia masih kemaruk punya gajet sendiri sebab selama ini hanya meminjam daripada saya sahaja kalau hendak membuka facebooknya.

Menerima mesej whastapp daripada sepupu yang menetap di Abu Dhabi mengenai status yang ditulis oleh Alya memeranjatkan saya. 

Mesejnya seperti marahkan seseorang dan saya tidak sangka anak saya pandai pula menulis status tersebut. Saya jadi tak senang duduk di ofis. Tak sabar rasanya hendak memarahi dia. Tapi saya bertenang dan beristigfar.

Akhirnya saya membuat keputusan untuk menghantar mesej whatsapp kepada Alya memintanya delete statusnya yang saya rasa tidak sesuai ditulis. Ok, sekembalinya ke rumah saya tidak memarahinya seperti biasa. 

Saya belajar bertenang dan berfikir secara rasional. Apabila fikiran lebih tenang, kecenderungan kita untuk memarahi dan mengamuk pada anak berkurangan. 

Ya, mereka membuat kesilapan. Saya mengaku dulu saya seorang yang cepat naik angin. Pantang anak-anak buat salah saya segera memarahinya. Tetapi selepas itu saya akan menyesal. 

Bukan saya tidak tahu bahawa anak-anak kecil terutama di bawah usia enam tahun perlu disayangi dan dibelai. Jika berbuat salah, mereka sebenarnya masih belum faham erti kesalahan tersebut. Rasulullah s.a.w sendiri mengajar umatnya mendidik anak mengikut empat peringkat usia.

* 0-6 tahun anak dibelai dan disayangi. Bergurau senda dan bermain dengan mereka agar anak-anak tahu ibu bapa adalah tempat terbaik untuk dirujuk apabila ada masalah.

*7-14 tahun anak dididik penuh kasih sayang tapi penuh ketegasan, arahan dan disiplin serta memberi mereka tanggungjawab. Didik mereka tentang solat, puasa dan ibadah lain.

*15-21 tahun anak dididik dengan cara berkawan. Bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi tidak bertentangan dengan syariat.

*21 tahun ke atas, ibu bapa hendaklah memberikan kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat. Ibu bapa hanya bertindak sebagai penasihat agar tindakan mereka sentiasa terkawal.

Oh! Alangkah indahnya ajaranmu Ya Rasulullah. Tetapi kadang kala kita alpa dan terlalu mengikut nafsu amarah sehingga terlupa bahawa anak itu adalah amanah dan tanggungjawab daripada Allah SWT.

Saya beritahu Alya bahawa bila sudah ada handphone sendiri perlu bertanggungjawab dengan harta tersebut. Jaga dengan baik hadiah daripada Baba dan jangan gunakan untuk perkara buruk.

"Alya tau tak yang facebook tu boleh jadi tempat kita kumpul pahala dan dosa. Ni mama dengar ustaz yang cakap dalam kuliah kat masjid,"

"Oh ye ke? Macam mana tu"?

"Kalau kita tulis status yang teruk macam marahkan orang, mencarut kat orang tu dengan perkataan yang tak sedap dibaca, jadi status tu akan terus dibaca oleh orang lain dan selagi itulah dosa akan tercatat kepada kita."

"Tapi kalau kita kongsi perkara yang baik, info berguna dan kata-kata yang elok, contohnya macam apa yang Alya dapat setiap kali dengar ceramah agama, banyaklah pahala yang tercatat untuk Alya."

"Mama tau ke status Alya tadi"?

"Alya tulis status apa"?

"Oh ok la Alya delete, sorry sebab Alya tak tau."

Saya perlu tersedar daripada jaga. Saya kini bukan lagi berhadapan dengan anak kecil. Cara saya bercakap dan mengatasi kerenah anak sulung perlu berbeza. 

Pendekatan saya perlu diubah. Saya perlu belajar dan cari ilmu membesarkan anak yang melangkah ke alam remaja.

Mendidik anak perlukan ilmu pengetahuan yang cukup dan role model. Sudahlah dunia sekarang sangat menakutkan. Banyak musibah yang Allah SWT turunkan kepada manusia. Semuanya kerana kelalaian manusia sendiri. Saya jadi takut. 

Mungkin akan banyak lagi kesalahan dan kesilapan yang dia akan lakukan sepanjang meniti alam remajanya. Saya perlu bersedia menghadapinya. 

Apa lagi cara terbaik kalau bukan membekalkan diri dengan ilmu keibubapaan. Jadikan sahaja Rasulullah s.a.w sebagai role model terbaik kita. 

Saya sendiri sentiasa mengucapkan nama Rasulullah s.a.w di bibir setiap kali menasihatkan anak. Saya tidak pedulu jika mereka kata saya asyik cakap perkara yang sama. 

Saya hanya memikirkan keselamatan anak-anak bukan sahaja di dunia ini tetapi juga di sana kelak. Di alam akhirat yang kekal abadi.

Wallahu a'lam

Mama Ita






3 comments:

  1. APA AGAKNYA YANG ALYA TULIS...ISH..RISAU GAK ANAK DARAKU PUN KDG2 BEGITU...SIAP POST GMBR2 DLM FB...MUJUR SEKARANG BENEFIT SUDAH DITARIK ABAHNYA...

    ReplyDelete
  2. Kita kena jadi kawan kepada anak dan lakukan aktiviti bersama mereka barulah hubungan lebih mesra.

    ReplyDelete
  3. saya sokong mamamitt. anak anugerah Allah utk dibelai dan disayang. bukan utk dimarah2. insaf.

    ReplyDelete