Ceritalah Lagi Mama

Assalam'mualaikum

Teks: Hasnita Sawal

"Mama kejap lagi temankan Aiman ye."

Itu dailog Aiman setiap malam apabila hendak tidur. Disebabkan memegang status anak bongsu, dia masih lagi hendak bermanja dengan saya walaupun usianya sudah hampir lapan tahun setiap kali hendak tidur.

Kadang kala bila tengah sibuk membereskan tugas di rumah saya jadi marah dengan kerenahnya. Tapi saya mudah kasihan dan akhirnya menemankan dia tidur juga.


                         Aiman yang manja dan lucu

Lagi satu permintaannya yang kadang kala boleh bikin hati jadi panas (bila mata saya sangat mengantuk) adalah bercerita.

Padahal saya sendiri yang mengajar 'bedtime stories' sejak anak-anak kecil. Konon mengikut budaya barat. Tanpa mengetahui kelebihannya kepada perkembangan si anak.

Sejak anak pertama lagi saya suka bercerita dengannya sebelum tidur. Mulalah saya selongkar semua cerita-cerita lagenda dan khayalan yang pernah saya dengar ketika kecil dahulu. 

Dulu emak saya juga suka bercerita, cuma emak tidaklah sampai ada sesi 'bedtime stories' seperti ibu-ibu moden sekarang. Kita jadi khayal dan selesa apabila mendengar butiran cerita yang keluar dari mulut emak sampai mata jadi layu dan terpejam.

Saya masih ingat lagi ketika Alya berusia tiga tahun, saya kehabisan cerita daripada stok simpanan. Puas memikirkan cerita apa hendak disampaikan, akirnya saya mencipta cerita sendiri. Maka bermula dari malam tersebut saya mula mencipta cerita kanak-kanak.

Sayangnya saya tidak terfikir untuk merekodkan cerita-cerita tersebut. Ia hilang begitu sahaja. Kebanyakan cerita rekaan saya berkisar tentang kisah teladan yang membabitkan anak dan ibu bapanya.

Tujuan cerita saya lebih menjurus supaya anak saya menjadi anak yang baik dan mendengar kata. Memang eksperimen saya menjadi sama ada pada anak pertama mahupun anak kedua.

Tetapi semakin mereka membesar, cerita-cerita dongeng dan khayalan tidak sesuai dengan mereka. Kalau saya cerita kisah tersebut alamatnya mereka akan kata "mama ni buat cerita tipulah."

Saya akhirnya membuat carian di encik goggle. Mencari cerita kanak-kanak. Dalam pencarian itu terjumpa himpunan cerita dari al-Quran dan kisah-kisah Nabi.

Dalam hati terdetik, kenapalah selama ini saya tidak ceritakan kisah-kisah benar yang ada dalam al-Quran serta kisah para Nabi dan Rasul. Menyesal saya atas kejahilan diri. 

Bermula dari situ saya tidak menoleh lagi. Cerita pilihan setiap malam mestilah yang diambil daripada kisah dalam al-Quran atau kisah para nabi dan sudah tentunya kisah Rasulullah s.a.w. Tiada lagi koleksi certa dongeng dan khayalan watak 'orang putih'.

Berceritalah wahai ibu kerana daripada penceritaan, kita sebenarnya menanamkan nilai-nilai akidah dalam diri anak-anak. Kita juga menanamkan rasa kagum dalam diri anak-anak terhadap kehebatan ciptaan Allah SWT dan membuahkan rasa sayang terhadap junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Anak-anak saya tidak pernah jemu mendengar cerita yang sama tentang kisah Rasulullah s.a.w. Bahkan sehingga sekarang, Aiman masih boleh ingat kisah-kisah Nabi yang saya sering ceritakan sejak usianya lima tahun.

Biasanya selepas dengar cerita perjuangan dan akhlak mulia Rasulullah s.a.w, mereka akan rasa kagum yang amat sangat, terus berselawat ke atas Nabi sambil hendak tidur. Adakalanya Alya dan Aiman akan sedih dan kasihan dengan kesusahan yang dilalui oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Ketika itulah kita ambil peluang untuk memasukkan nasihat dan pesanan kepada mereka agar mengikut ajaran Rasulullah kalau benar kita sayang dan kasihan kepada Baginda. Biasanya minda anak-anak yang dalam keadaan tenang dan rasa disayangi mudah menerima cas-cas positif yang dimasukkan dalam jiwa mereka.

Sekarang saya semakin jarang bercerita dengan anak-anak. Sebenarnya mereka masih mahu saya bercerita cuma kadang kala saya sibuk dengan urusan sendiri sampai tidak sempat bercerita. Oh, teruknya saya. 

"Maafkan mama ye anak-anak. Mama akan cuba mencari ruang bercerita lagi."

Baru-baru ini, saya mendapat cara baru untuk terus bercerita dengan mereka. Syukur Alhamdulillah kerana Allah mengilhamkannya. Selepas membaca al-Quran bersama-sama mereka usai solat Maghrib berjemaah, saya bercerita kisah terjemahan terus dari al-Quran.

Menakjubkan! Anak-anak masih lagi terlopong mulut seperti biasa apabila mendengar saya bercerita. Bezanya kali ini, ia bukan cerita ciptaan saya tetapi kalam Allah yang benar belaka. 

Semalam Saya bacakan terjemahan firman Allah SWT dalam surah Al-Haqqah (Hari Kiamat). Ia benar-benar  meninggalkan kesan mendalam dalam diri anak-anak saya. Mereka jadi gerun dan takut dengan  janji Allah tentang hari kiamat. Mereka terus berjanji nak jadi anak yang soleh dan solehah. 

Terima kasih Ya Allah dengan ilham dariMU ini. Semoga anak-anak akan menjadi lebih bertakwa dengan Allah SWT. Doa saya semoga cerita daripada setiap surah yang Allah turunkan itu akan dijadikan panduan oleh mereka serta mengamalkan dalam kehidupan seharian.

Mulakanlah bercerita dengan anak-anak. Tak perlu pening memikirkan karektor kartun hero heroin dari barat mana satu yang patut jadi idola anak kita. 

Ceritakan sahaja kisah Rasulullah s.a.w sejak dari dalam kandungan ibunya sehingga kisah perjuangan Baginda menegakkan Islam. Sesungguhnya hanya Baginda yang layak menjadi sanjungan kita sepanjang hayat.

Wallahu a'lam

Mama ita










Comments

Popular posts from this blog

Cerita Susu Ibu Di Petang Hari

Betul Ke Kajian Kata Makan Pedas Boleh Kuruskan Badan?

Zikir Penenang Jiwa, Hadiah Allah Untuk Kita