Monday, October 21, 2013

Anak-Anak Perhiasan Dunia

 Assalam'mualaikum

Teks: Hasnita Sawal

"Cayang nak shushu ye. Mama uwat ye..."

Dialog yang mungkin semua orang biasa dengar dituturkan oleh seorang ibu kepada anak kecilnya.

Ia kedengaran manja untuk si kecil yang manis dan sedang merengek. Tetapi hakikatnya tanpa disedari, ia telah mendorong anak kecil menerima ilmu negatif dalam dirinya.

Mengapa agaknya orang dewasa gemar bercakap pelat dengan anak-anak kecil?

Alasannya ia kedengaran cute dan sesuai untuk si comel yang masih kecil.

Memang anak kecil tidak mengerti apa-apa lagi tetapi bukan bermaksud mereka tidak boleh mengikut apa yang diajar.

Peliknya apabila anak semakin membesar dan mula bijak bercakap, si ibu ayah hairan pula mengapa anaknya bercakap pelat dan tidak seperti anak teman yang usia sebaya.

Ada pula yang risau dan bimbang apabila anak masih tidak boleh bercakap sedangkan anak orang lain sudah boleh menyanyi dan meniru percakapan orang.

Lebih malang apabila ada ibu ayah yang berasa lucu dan menganggap tutur kata anak yang pelat adalah lawak jenaka dan dibalas dalam bahasa yang pelat juga. Maka si anak pun terus menerus menerima pelajaran yang salah.

Tetapi semakin anak meningkat usianya, kita tidak boleh menerima kesalahan yang mereka lakukan. Kita impikan anak-anak yang sempurna. Tetapi kita terlupa mengapa mereka buat silap (peringatan unruk diri saya sendiri juga).

Kadang kala kita terlupa anak-anak adalah sehelai kain putih yang telah kita corakkan warnanya mengikut acuan kita. 

Kita terlupa mereka masih kecil. Masih perlukan ibu dan ayah untuk memandu mereka menuju jalan yang betul.

Kita marahkan mereka seolah-olah mereka sudah tahu membezakan mana yang salah mana yang betul.

Rasulullah s.a.w memberitahu bahawa setiap anak itu akan membesar mengikut pegangan agama kedua ibu bapanya. Maka jelaslah setiap orang tua memberi pengaruh besar dalam kehidupan si anak.

Sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan kedua orang tua untuk mendidik anak-anak mereka dan memberikan tanggungjawab ini kepada mereka berdua dalam firmanNYA

"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah menusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-NYA kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan" (at-Tahrim [66]: 6).

Oleh itu kita semua yang bergelar ibu ayah perlu ada usaha dan kerja keras secara berterusan dalam mendidik anak, memperbaiki kesalahan mereka dan membiasakan mereka mengerjakan kebaikan. Inilah jalan para rasul dan nabi.

Waima dalam soal mengajar anak bercakap. Nampak kecil peranannya tetapi besar impaknya. 

Usah ditengking anak bercakap pelat kerana kita sendiri yang mengajar dan memberi galakan.

Jangan diherdik apabila anak bercakap kasar dan meninggi suara kerana kita sendiri yang memberi contoh.

Jangan naik angin apabila anak tidak bersolat dan malas mengaji, sebaliknya tanyalah diri adakah kita beri teladan yang baik?

Berhentilah berkata, cara kita mendidik anak adalah yang terbagus hasil warisan cara ibu bapa kita dahulu kerana zaman sudah berubah.

Sebaik-baik cara didikan adalah mengikut cara Nabi mendidik zuriat-zuriatnya. 

Carilah ilmu keibupaan sebanyak mungkin namun mesti berlandaskan apa yang diajar Rasulullah s.a.w.

Anak-anak adalah perhiasan di dunia. Firman Allah dalam surah al-Anfal [8]: 28

"Dan ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan dan sesungguhnya di sisi Allah lah pahala yang besar"

Semoga kita semua mampu menjadi ibu bapa yang diredhai Allah SWT dan sentiasa dalam rahmatNYA.

            Perhiasan dunia yang mesti dididik berlandaskan al-Quran dan sunnah

Wallahu a'lam

Mama Ita












No comments:

Post a Comment