Kualiti Masa Yang Berkualiti

Assalam'mualaikum

Teks: Hasnita Sawal - nitasawal@gmail.com
Foto: Google image

"Good night mama, Assalam'mualaikum mama, sweet dream mama, I love you mama, I love you very very much in the world mama!"

Itu ucapan daripada anak saya Aiman, setiap malam sebelum dia tidur. Saya terasa sangat 'manis' sekali setiap kali menerima ucapan itu. Ucapan yang sama akan diulang untuk Baba dan kakaknya juga.

Kemudian kami akan saling menjawab setiap ucapan tersebut dan suasana sebelum tidur begitu meriah sekali. Itu cara kami mengeratkan hubungan sebelum tidur. Saya percaya setiap kita mesti punya cara yang dipraktiskan untuk mengikat kemesraan keluarga. Betul tak?

Sebenarnya saya hendak cerita pasal masa istimewa atau 'quality time' kata orang putih bersama anak-anak. Dalam membesarkan anak-anak sudah tentu banyak masa kita tertumpu kepada mereka terutama ketika mereka masih di bawah usia empat tahun.

Bila mereka sudah mula masuk tadika, percayalah kita juga semakin sibuk (apatah lagi masa itu sudah bertambah bilangan anak) dalam masa yang sama, merasakan anak sudah pandai menguruskan diri sendiri. Akhirnya kita biarkan mereka besar sendirian dengan sekali sekala teguran berbentuk tengkingan atau kemarahan kerana berbuat silap.

Si anak jadi keliru. Salahkah saya? Bukankah seorang anak belajar daripada  kesilapan. Mana ada budak kecil yang terus pandai dan tak buat silap dalam proses tumbesarannya. Tapi ayah dan ibu kadang kala terlupa, terlupa yang anak masih perlukan bimbingan dan panduan. 

Memang fizikal mereka sudah besar, sampai kadang kala sama besar saiz fizikal kita tapi hakikatnya mereka masih kanak-kanak. Tapi kita mengharapkan semuanya sempurna daripada mereka. Oh! Tidak adilnya kita. (peringatan untuk diri sendiri yang kadang kala terlupa juga)

Semakin hari anak-anak semakin membesar. Perhatian kepada mereka juga sudah tentu berbeza dibandingkan ketika kecil dulu. Menjaga dan memahami emosi anak-anak yang sedang membesar sangat mencabar dan memerlukan kesabaran.

Kesibukan tugas harian, tidak kiralah sama ada ibu bekerja atau suri di rumah atau juga ibu bekerja di rumah, membuatkan sesekali kita alpa dengan perhatian untuk anak-anak. Bukan tidak beri perhatian tetapi mungkin kurang sedikit berbanding dulu.

Saya sendiri jadi terkesima apabila mendapat teguran daripada si kecil, Aiman. 

"Mama ni sekarang serius je. Asyik sibuk dengan kerja, Tak nak pun layan kita orang. Tak nak pun have fun dengan kita orang!" luahnya yang membuatkan saya tersentak.

"Teruknya saya!" hanya itu yang terluah di hati.

"Wahai anak, percayalah mama tidak bermaksud mengenepikan dirimu. Apa sahaja yang mama lakukan semuanya demi kebaikan untuk kalian juga," kata-kata yang hanya mampu diluahkan dalam hati sahaja.

"Mama sibuk sikit la. Ada kerja nak settlekan ni. Sorry la...," saya memberikan penerangan kepada Aiman.

Saya jadi terfikir. Mungkin saya rasakan kerja saya terlalu penting dan mesti dibereskan segera. Sampai saya lupa ada hati kecil yang sedang menyimpan perasaan. Ada mata yang sedang memerhati. Ada  diri yang mahukan perhatian dan belaian. Saya fikir mereka sudah dewasa. Sebenarnya mereka hanya mahu sedikit sahaja masa saya untuk diluangkan dengan mereka. 'Quality time' secara eksklusif!

Saya hentikan kerja yang sedang dilakukan dan mengikut aktiviti yang dilakukan anak-anak demi memenuhi 'have fun' yang diinginkan. 

Bukan lama, sekejap sahaja. Berbaring sama sambil menonton tv, bergurau geletek mereka sampai ketawa tak henti atau mendengar cerita mereka tentang apa sahaja, biasanya itulah 'have fun time' anak-anak saya. 



Anda sendiri macam mana? 

Wallahu a'lam

Mama Ita




Comments

Popular posts from this blog

Cerita Susu Ibu Di Petang Hari

Betul Ke Kajian Kata Makan Pedas Boleh Kuruskan Badan?

Opsss....Saya Sedia Membantu