Jadi 'BFF' Anak Dara
Assalam'mualaikum
Teks: Hasnita Sawal - nitasawal@gmail.com
Foto: Selfie dari kamera Samsung Alya
"Mama...Mama...hmmm...nak cakap sesuatu jap lah. It's girl talk," Alya si dara sunti sibuk mahu memberitahu saya sesuatu.
Anak sulung saya tu memang banyak sangat ceritanya. Adakalanya tak sempat kita duduk, dia dah sibuk memberitahu itu ini. Semput nafas dibuatnya. Kalau kita tak ambil perhatian apa yang dia nak cakap, mulalah 'sentap'.
"Ok tak pelah kalau Mama tak nak dengar," katanya sambil terus masuk bilik.
"Cepat sangat merajuk. Sabarlah kejap. Ok sekarang Mama nak dengar. Ceritalah..."
Saya dan anak perempuan memang selalu 'bertengkar'. Ada sahaja yang saya akan bebelkan dia. Tetapi dalam masa yang sama, kami juga sangat rapat. Banyak perkara yang kami boleh bualkan dan kongsikan (memang kongsipun. Baju, kasut, tudung, skincare dan macam-macsm lagi milik saya semua anak nak pinjam). Nak buat macam mana, badan dah lebih kurang sama saiz, berkongsi jelah, sekurang-kurangnya boleh jimat kos hehehe.
Saya rasa kebanyakan kawan-kawan yang ada anak perempuan sebaya anak saya akan bersetuju dengan hal ini. Sebenarnya bebelan dan marah-marah sayang seorang ibu tu bukan tanda dia bencikan anak. Tapi sebagai tanda sayang dan ingin anak jadi anak solehah yang membahagiakan ibu bapa.
Kadang kala anak-anak ni tak faham. Dia ingat bila kita tegur atau membebel, maksudnya kita tak sayang dia. Teringat perbualan dengan kawan-kawan yang ada anak dara lebih kurang usia anak saya. Mereka mengadu rasa geram dengan perangai anak dara yang menyakitkan hati. Saya mengaku dulu saya pun macam tu juga.
Ketika Alya masih kecil, saya memang rapat dengannya. Terutama ketika adiknya masih usia bayi. Sesekali saya akan keluar berdua-duaan dengannya. Kami keluar bersama, tengok wayang, makan-makan dan window shopping. Kedengarannya aktiviti yang sangat cliche bagi kaum perempuan tapi itulah yang disukai. Tetapi apabila Alya semakin membesar dan sibuk dengan aktiviti sekolah, dan saya sendiri sibuk dengan urusan kerja, saya kurang menghabiskan masa berdua dengannya.
Sesekali dia rindu akan saat itu. Dia akan bertanya kenapa kami sudah lama tidak keluar berdua.
"Mama jomlah kita girls day out. Macam dulu-dulu."
"Nampak tak Mama ni sibuk! Lain kali je lah. Lagipun kalau kita keluar berdua, Aiman pun mesti nak ikut," jawab saya tegas.
Kadang kala tanpa sengaja kita telah mengabaikan perasaan anak terutama anak perempuan. Saya akui saya juga pernah melakukan perkara yang sama. Menyaksikan banyak keruntuhan akhlak berlaku di kalangan gadis remaja, amat menakutkan saya. Saya mula memikirkan yang buruk-buruk. Saya bimbang Alya akan berubah sikap apabila dia mula rapat dengan kawan-kawan yang saya tidak kenali. Saya mesti bertindak! Saya perlu menjadi BFF nya. Biar saya jadi orang pertama yang mengetahui apa jua rahsia atau perasaan hatinya.
Saya suka bertanya cerita Alya dan kawan-kawannya. Saya kenal hampir semua kawan-kawannya termasuk nama mereka. Saya juga akan melayan cerita yang dia kongsikan. Kadang kala kami seperti dua sahabat karib yang asyik bersembang sehinggakan anak lelaki saya memberitahu Babanya kami tak habis-habis dengan 'girl secret'.
Saya berpendapat seorang ibu perlu rapat dengan anak-anak kerana ayah sibuk bekerja mencari nafkah (dan ada kalanya ayah agak garang denganan anak-anak) jadi sudah tentu masanya agak kurang bersama anak-anak. Mungkin dalam situasi saya yang mempunyai hanya sepasang anak, agak kurang masalah kekangan masa untuk memantau aktiviti anak-anak.
Selain daripada berkongsi barang (mujur citarasa kami tak jauh beza), berkongsi cerita dengan anak perempuan juga salah satu cara merapatkan hubungan. Macam mana kita nak tahu apa yang dia lakukan kalau kita tak tahu apa kesukaan anak. Anak dara saya sekarang amat menggilai video Bethany Mota di Youtube (blogger remaja popular dari USA. nak tahu lebih lanjut, sila google sendiri). Pantang ada masa lapang, pagi petang siang malam asyik video Bethany yang ditontonnya. Hasil siasatan, saya dapati video yang berkongsi idea kreatif DIY memasak dan mendekorasi itu melepasi tapisan saya untuk ditonton.
Saya akan menyiasat apa video yang kerap ditontonnya di Youtube, memeriksa akaun facebook (termasuk segala perbualan inbox dengan kawan-kawannya, mesej whatsapp dan instagramnya). Dia perlu tahu ada garis sempadan yang tidak boleh dilepasi sesuka hati. Amaran saya mudah sahaja, "kalau Alya rasa Mama tak tau Alya buat apa yang tak elok tak apa sebab walau kat mana sekalipun Alya sembunyikan perbuatan tu, ALLAH sentiasa tahu." Biasanya dia akan menafikan sekeras-kerasnya dan In shaa Allah saya mempercayainya.
Selain daripada pantauan dan berkongsi cerita, pelukan dan kata-kata sayang mesti diluahkan. Biarpun kami garang dengan anak-anak tetapi, saya dan en.suami kerap memeluk dan menyatakan I love you kepada anak-anak. Ada teman saya yang terlajak merasa malu untuk memeluk dan memberitahu kepada anak yang dia sayang akan anaknya secara terus terang. Pada pendapat saya kita perlu biasakan amalan memeluk dan menyatakan rasa sayang sejak anak kecil lagi. Barulah tak kekok untuk mengucapkannya atau memeluknya bila-bila masa. Percayalah kasih sayang dan sentuhan yang ditunjukkan akan menghasilkan ikatan erat ibu bapa dan anak-anak.
Jadi, kepada yang masih 'ala-ala' renggang dengan anak perempuan, rapat-rapatlah dengan mereka. Fahami minat mereka, kongsi cerita mereka dan pelajari istilah mereka. Ia berguna untuk kita mendekatkan diri dan memberi panduan menjalani kehidupan sebagai anak solehah. Jangan terlambat sebab takut nanti apabila dia semakin membesar, anak perempuan lebih selesa bercerita perasaan atau apa sahaja dengan kawan-kawannya berbanding dengan ibu sendiri.
Apa kata mulai hari ini kita mulakan kempen berkawan rapat dengan anak dara sendiri (tak kisah berapa usianya). Biar kita yang menjadi BFF atau BBE (Best Buddy Ever) mereka. Hmmm macam-macam istilah anak-anak sekarang.
Jangan kita lupa tentang hadis berikut. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa yang memiliki tiga anak perempuan,lalu dia bersabar dengan kerenah,kesusahan dan kesenangan mereka,nescaya Allah S.W.T akan memasukkannya ke dalam syurga dengan kelebihan rahmat-NYA untuk mereka.”
Seorang lelaki bertanya,
“Juga untuk dua anak perempuan wahai Rasulullah?”
Sabda baginda,
“Juga untuk dua anak perempuan.”
Seorang lelaki berkata,
“atau untuk seorang wahai Rasulullah?”
Rasulullah s.a.w menjawab,
“Juga untuk seorang.”
(Hadis Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)
Mendidik anak perempuan memang mencabar, tetapi cabaran yang besar itu jika dilakukan dengan kesungguhan serta sabar dengan kerenah mereka, Allah Taala dan Rasul-Nya telah menjanjikan balasan yang amat besar.
Berbanggalah jika kita mempunyai anak perempuan kerana dengan didikan sempurna mereka boleh membawa kita ke dalam syurga Allah S.W.T.
Wallahu a'lam
Mama Ita
Comments
Post a Comment