Thursday, January 23, 2014

Dilema Pilih Nama Anak

Assalam'mualaikum

Teks: Hasnita Sawal - nitasawal@gmail.com
Foto: Koleksi lama


Hari ini ketika sedang mengemaskini data peserta peraduan bayi anjuran laman web Pa&Ma, saya jadi asyik membaca nama mereka. Memang unik dan menarik nama-nama mereka. Seronok pula saya membaca nama-nama yang indah itu. Mulalah berangan kalau ada baby nak beri nama macam tu juga. Hehehe beranganlah sangat!

Rata-rata bayi mempunyai lebih daripada satu nama seorang. Tapi dalam pada itu saya terfikir kalau seorang anak ada empat nama, agaknya yang mana satu akan dipanggil ye? Bayangkan kalau nama anak yang diberi Nur Qistina Batrisya Nadhirah, mau terbelit lidah bakal suaminya nanti ketika hendak akad nikah.

Paling tak tahan bila anak sudah mula melangkah kaki ke sekolah. Kasihan si anak terpaksa menghafal ejaan nama sendiri yang panjang. Tambah kasihan apabila hendak menulis nama sendiri pada buku sekolah. Yang pasti ketika itu tentulah si ibu atau ayah yang akan membantu menulis nama anak pada buku sekolah. Masa itu, saya pasti kebanyakan ibu bapa tentu berharap kalaulah nama anak mereka adalah nama yang pendek tentu tak lenguh tangan dibuatnya. 

Tapi ada juga yang tidak kisah kerana mereka sudah lakukan persiapan awal. Tempah sahaja pengecop nama. Senang kerja. Tetapi bukan itu yang menjadi persoalannya. Bukankah dalam Islam, memberi nama itu menjadi tanggungjawab ibu dan ayah. 

Islam mengajar ibu ayah memilih nama yang baik untuk anak-anak kerana ia menjadi identiti mereka sepanjang hayat. Bahkan nama tersebut akan dipanggil sampai hari akhirat. Nama panggilan tersebut seolah-olah satu doa untuk anak tersebut.

Disunatkan memberi nama yang baik dan elok kerana Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya kamu semua akan diseru/dipanggil pada hari Kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu. Oleh demikian, perelokkanlah nama-nama kamu.” (Riwayat Imam Abu Daud dari Abu Dardak r.a.)

Masih saya ingat lagi, ketika bertugas mengendalikan pendaftaran peserta pertandingan Si Manja Fotogenik Pa&Ma dalam Ekspo Mother & Baby ke-6 di Mid Valley pada November tahun lepas, seorang ibu yang ingin menyertai pertandingan itu mendaftarkan nama bayinya yang sangat pelik.
Bayangkan nama anaknya memang tak boleh hendak sebut. Tak silap saya ejaannya lebih kurang begini Nwenmexwnhek. Apa tu? Oh! saya sangat terkejut kerana membayangkan apakah jenis nama orang ini. Bila saya tatap wajah wanita tersebut, nyata wajahnya milik seorang Melayu. Saya terfikir kenapalah sampai hati dia memberikan nama anaknya sedemikian rupa. Walaupun mungkin suaminya seorang bangsa asing, tidak semestinya dia memilih nama begitu untuk diberi kepada si anak. 
Dulu hampir enam tahun saya mengendalikan ruangan Nama-nama pilihan dalam majalah Pa&Ma, macam-macam buku nama pilihan, laman web, facebook dan segala macam sumber saya 'korek' untuk mendapatkan hasil yang terbaik buat tatapan pembaca.
Kadang kala ada pembaca yang menghantar e-mel memberitahu nama anaknya diambil daripada majalah Pa&Ma. Kembang rasa hati bila apa yang kita tulis telah dimanfaatkan oleh orang lain. Saya dapat bayangkan bagaimana perasaan seorang bakal ibu (terutama yang pertama kali) yang teruja memilih nama paling best untuk zuriat yang bakal lahir.
Teringat ketika saya mengandungkan anak pertama 12 tahun lalu. Jenuh juga saya membelek buku nama-nama pilihan untuk memilih nama yang paling elok untuk anak tersayang. Zaman itu masih belum lagi meluas penggunaan internet, jadi hanya buku sajalah jadi rujukan. Sehingga saat anak lahir saya belum buat keputusan nama mana yang hendak diberi.
Saya berkeras hendak memberikan lebih daripada satu nama untuk anak saya. Kononya lebih mengikut trend sekarang. Walaupun sudah dinasihat oleh en.suami supaya memberikan satu nama sahaja. (Sorry sayang, sebab saya degil). Kini saya rasa ada betulnya cakap en.suami. Alangkah bagusnya kalau hanya satu nama sahaja saya beri kepada anak.
Dalam banyak nama yang saya senaraikan akhirnya nama Alya Izzati yang menjadi pilihan. Nama yang bermaksud ketinggian kemuliaan itu saya harapkan dapat membentuk diri anak sulung menjadi anak yang memiliki peribadi mulia mengikut syariat Islam. In shaa Allah.
Masa mengandung anak kedua dan hasil scan kuat menunjukkan jantina lelaki, saya kembali excited mencari nama untuk anak.  Entah berapa kali belek buku nama pilihan yang sama tapi masih lagi tak jumpa yang berkenan. 
Mula-mula kononnya nak pilih nama anak yang glamor, moden, sedap disebut tapi bila saya baca satu artikel memilih nama anak mengikut ajaran Islam, terus saya lupakan niat asal saya. Akhirnya saya dan en.suami sepakat memilih nama yang ringkas untuk anak lelaki saya.
Pangkal nama Muhammad tetap menjadi pilihan kerana mahukan dirinya membesar mengikut akhlak Rasulullah s.a.w. Nama Aiman yang bermaksud yang bertuah dipilih kerana senang sebutannya dan mudah diingat. Alhamdulillah, Muhammad Aiman membesar sebagai anak yang mudah diuruskan dan sememangnya dia anak yang bertuah kerana menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai contoh ikutannya.
Muhammad Aiman ketika berusia 3 tahun. Dia memang anak bertuah 
Di sini saya kongsikan sedikit info daripada artikel yang pernah saya tulis berkenaan panduan memberi nama anak. Semoga panduan berikut dapat membantu ibu-ibu hamil membuat pilihan nama bayi yang bakal lahir.
1.    Nama lelaki dan perempuan
Biarpun ujian imbasan berupaya mengesan jantina bayi dalam kandungan, namun kesahihannya bukan 100%. Ada baiknya anda menyediakan dua nama untuk jantina berlainan.

2.    Maksud yang baik
Kata orang, nama yang  baik mencerminkan peribadi pemilik nama tersebut. Jadi, pilihlah nama-nama yang membawa maksud yang baik. Rujuk daripada koleksi buku nama-nama pilihan bayi.

3.    Ejaan yang betul
Nama yang sedap didengar dan mempunyai maksud yang baik seharusnya dieja dengan betul dan tepat seperti yang tertera di dalam buku. Jika ragu-ragu, anda boleh bertanya kepada mereka yang pakar seperti ustaz atau pun ustazah. Langkah ini penting kerana jika tersalah eja, dikhuatiri akan membawa maksud yang lain. Hindarkan daripada memilih nama-nama yang sukar disebut sehingga susah untuk dieja.

4.    Nama yang panjang
Kini, ramai ibu bapa suka memberikan nama anak mereka lebih daripada dua nama. Contohnya seperti Nur Dhalila Qistina Batrisya Ahmad Danial. Bukankah ia menyukarkan. Fikirkanlah, betapa susahnya anda sendiri, anak atau pun orang lain hendak menyebut, mengingat dan menulis nama dalam borang yang menyediakan ruang yang terhad.

5.    Senarai nama
Sebagai satu langkah bijak, sediakan senarai nama pilihan bersama maksudnya sekali. Anda boleh meminta pendapat ahli keluarga terdekat berkenaan pemilihan nama tersebut.

Wallahu'alam

Mama Ita

Tuesday, January 21, 2014

Selamat Datang Rabiulawal

Assalam'mualaikum

Teks: Hasnita Sawal

Alhamdulillah sudah tamat tiga hari pertama tahun 2014. Sebelum ini saya lihat rata-rata teman di facebook seronok berkongsi gambar dan kisah anak-anak kembali ke sekolah. Macam-macam ragam anak-anak kita.

Tahun baru juga semua ibu berazam untuk menjadi ibu yang terbaik untuk anak-anak. Harap-harap azam tersebut istiqamah hingga ke hujung tahun ye hehe..
Malam ini juga baru saya diberikan keizinan oleh Allah untuk membuat entri pertama di tahun baru selepas pulang dari masjid seperti biasa. Kiranya ini malam pertama di tahun 2014 saya hadir ke majlis ilmu.

Aduh! Tepuk dahi saya. Masya Allah dalam sibuk mengambil tahu tentang kedatangan tahun baru 2014 saya terlupa yang hari ini sudah masuk bulan Rabiulawal. Alhamdulillah, bila hadir ke majlis ilmu barulah kita boleh 'update' diri yang sentiasa ketinggalan dalam bab agama ini. Astagfirullahhaladzim.

Ustaz memberitahu hari ini sudah 1 Rabiulawal 1435H. Bermakna kita sudah masuk ke bulan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Bulan yang sepatutnya sudah tersemat dalam hati dan sudah dihitung sejak Muharam lagi. Ia sebagai bukit rasa cinta agung kita kepada Baginda Rasulullah.

Jika hari ini sudah genap tiga hari dalam tahun 2014, mengikut kalendar Hijrah pula, hari ni kita baru masuk bulan ke-3 tahun Islam. Dalam sibuk menguruskan persekolahan anak-anak, jangan kita abaikan hal ini kepada anak-anak. Ingatkan mereka tentang kedatangan bulan ini. Bulan keputeraan Rasulullah yang kita cintai.

Pesan ustaz lagi, barangsiapa gembira dengan kedatangan bulan Rabiulawal, itu bukti cintanya kepada Rasulullah. Apa kata kita tingkatkan lagi kekerapan berselawat ke atas Baginda. Ajak sekali anak-anak berselawat. Kalau menghafal lagu-lagu popular tiada masalah bagi anak-anak kecil, apa kata tukarkan ia kepada lagu selawat.

Sekali kita berselawat ke atas Nabi, Allah akan doakan 10 kali kepada kita dengan kebaikan dan kesejahteraan. Jadi, jom kita ajar anak-anak menambah pahala dengan cara yang sangat mudah. Apa kata jadikan ia azam tahun baru. Bermula malam ini, jadikan cerita kisah kehidupan Rasulullah sejak kecil sebagai bed time story dengan anak-anak. Barulah si kecil mengenali siapakah insan agung yang dimuliakan oleh Allah SWT dan semestinya menjadi idola mereka sampai bila-bila. Ajarkan mereka tentang kemuliaan Rasulullah s.a.w menyebarkan agama Islam di bumi Allah supaya mereka turut bersemangat menjadi pejuang agama Allah bila dewasa kelak.





*Jika anda pun ada cerita pengalaman yang rasa hendak dikongsi dengan orang lain, mengapa tidak mencoretkannya dalam bentuk tulisan. Mana tahu ia mampu merubah sesuatu menjadi lebih baik. 

Di bawah Akademik Bekerja Dari Rumah, kami menawarkan kelas online:

1. Kelas asas blog dan penulisan

2. Kelas asas blog dan fan page khusus untuk bisnes

3. Kelas belajar iklan di mudah.my

4. Kelas penulisan kreatif online, pra daftar, kelas 


Kalau tak tahu cara, jangan malu-malu, PM saja saya menerusi e-mel seperti di atas, In shaa Allah saya boleh bantu


Wallahu a'lam

Mama Ita


Friday, January 17, 2014

Kasihku Tak Pernah Pudar Selamanya...

Assalam'mualaikum

Teks: Hasnita Sawal - nitasawal@gmail.com
Foto: Koleksi sendiri

Bila cerita tentang kasih sayang mesti wajah suami/isteri, anak-anak dan ibu bapa yang terbayang dalam fikiran kita. Cinta dan kasih sayang kita hanya untuk mereka. Rindu tak tertahan kalau sudah lama tidak bertemu. Itu memang lumrah kita bergelar manusia. 

Kalau orang tanya, siapa yang paling kita sayang atau rindu? Sudah tentu dengan pantas tanpa ragu-ragu kita jawab anak-anak, suami/isteri dan ibu ayah. Betul kan? Kelmarin, ketika saya sedang duduk bersantai di rumah, Aiman bertanyakan soalan yang sangat simple tetapi jawapannya mungkin tidak terfikir oleh saya.

"Mama, siapa orang yang paling mama sayang dan rindu sekali?" tanyanya tiba-tiba saja.

"Hmmm...mestilah kakak sebab kakak tak ada kat rumah sekarang ni," saya jawab dengan yakin memandangkan kini anak sulung tinggal di asrama.

"Tapi Aiman sangat rindukan Rasulullah s.a.w," beritahunya sambil tersenyum.

Jawapannya membuatkan saya terkesima seketika. Saya terkejut! Dalam masa yang sama kagum dengan kuasa Allah yang menjadikan sekeping hati milik anak kecil ini sangat tulus menyatakan rasa rindunya kepada yang lebih layak.

Kenapa saya kata begitu? Kerana memang sepatutnya sebagai seorang Muslim kita mestilah mencintai dan merindui Rasulullah s.a.w melebihi rasa cinta dan rindu kita kepada ibu bapa, suami/isteri dan anak-anak sendiri.

Hadis : Dari Anas bin Malik r.a : Rasulullah s.a.w bersabda, "Belum sempurna iman seseorang kamu sebelum ia mencintaiku melebihi daripada cintanya kepada anaknya, kepada bapanya dan kepada manusia semuanya.” (0035) Sahih Muslim. Juga terdapat dalam riwayat Bukhari, Ibnu Majah, Nasa’i, Ahmad, al-Darimi.

Mencintai Rasulullah s.a.w melebihi cinta kepada manusia semuanya bukanlah bermaksud membenci orang-orang lain. Tetapi apa yang dimaksudkan adalahmengikuti apa yang diperintahkan, serta menjauhi apa yang dilarang oleh Allah subhana wa Ta’ala dan Rasul-Nya.

Menangis kerana Rasulullah s.a.w
Tujuan saya berkongsi cerita tentang anak saya Aiman, bukanlah kerana hendak riak atau bangga. Tetapi sekadar berkongsi sikap positif yang dimiliki oleh anak kecil ini. Mungkin boleh memberi inspirasi kepada anak-anak lain. Siapa tahu.

Aiman tetap seorang kanak-kanak lelaki biasa yang adakalanya nakal, aktif bermain, menonton TV dan bermain game kesukaan. Tetapi saya perhatikan, walau sibuk atau asyiknya dia bermain, jika terdengar orang menyebut nama Nabi Muhammad s.a.w disebut, dia akan segera memberikan salam dan selawat ke atas Baginda.

Baru-baru ini ketika cuti Maulidur Rasul, Aiman sepatutnya mengikuti perarakan Mulidur Rasul yang dianjurkan oleh sekolah agamanya. Beberapa hari sebelum itu lagi dia sudah banyak kali mengingatkan saya agar menghantarnya seawal 7.30 pagi.

Nak dijadikan cerita, pagi tu, dia tertidur selepas solat subuh. Oleh kerana hari hujan saya tidaklah mengejutkannya. Bila dia sedar saja, Aiman terkejut kerana hari dah cerah. Apa lagi, dia merajuk sebab saya tak kejutkannya.

Saya paksa juga dia bersiap walaupun sudah lambat. Bila saya hantarnya ke surau tempat majlis sambutan Maulidur Rasul diadakan, dia tak jadi masuk. Katanya takut ustaz marah sebab datang lambat. Bila masuk dalam kereta, dia menangis pula. Saya pun mula rasa nak marah.

"Kenapa nangis pulak. Mama suruh masuk dalam surau tu kamu tak nak. Kenapa?" tanya saya dalam nada geram pula.

"Aiman nak pegi sambut Maulidur Rasul. Tapi tak dapat. Nanti Rasulullah tak sayang Aiman....," jawabnya dalam sedu sedan.

Jawapan ikhlasnya meruntun jiwa saya. Terdiam seketika.

"Ok tak pe, bukan Aiman sengaja tak nak pegi cuma Aiman tak sedar tadi. Aiman selawat banyak-banyak. Lebih banyak daripada biasa. Rasulullah s.a.w mesti sayang sangat kat umatnya yang nama Muhammad Aiman," saya memujuknya dengan kata-kata yang manis pula.
"Oh lupa pulak, malam ni kan kita nak pegi sambutan Maulidur Rasul kat masjid. So, maksudnya Aiman masih boleh sambut Maulidur Rasul kat masjid kan," saya mengingatkan dia tentang rancangan kami malam itu.

Barulah ada segaris senyuman di bibir kecilnya.
Malam itu Aiman duduk berselawat di barisan paling hadapan sekali ketika anak-anak tahfiz masjid berselawat penuh semangat di atas pentas.

Hidupkan sunnah Nabi

Saya berdoa semoga Aiman istiqamah mencintai Rasulullah s.a.w melebihi cintanya kepada manusia lain. Sebenarnya dia selalu meminta maaf kepada saya kalau dia kata yang dia mula-mula sekali sayang Allah, Rasul dan barulah saya dan babanya.

Sebenarnya saya teringat kisah Aiman tu bila petang tadi saya dengar rancangan Usrah fitrah dalam radio Ikim. Ustaz bertanyakan soalan pernahkah kita rasa rindu kepada Rasulullah s.a.w?

Saya rasa macam kena tumbuk je bila ustaz tanya soalan itu. Kita selalu cakap yang kita sayang Rasulullah s.a.w tapi sejauh mana sayang dan cinta kita? Bersama siapa kita hendak duduk di Padang Masyar nanti? Kita mesti mencintai Nabi, ahli keluarga dan sahabat-sahabat Baginda kalau hendak dihimpunkan bersama dengan Baginda nanti. Kita perlukan shafaat Baginda nanti, tapi kalau di dunia kita tak cinta dan berselawat ke atas Nabi s.a.w macam mana kita nak dapat shafaatnya.

Ustaz pesan, sebagai ibu bapa, kita mesti selalu ceritakan kisah Nabi kepada anak-anak dan setiap kali hendak nasihat atau beritahu sesuatu hal, jadikanlah Rasulullah s.a.w sebagai contoh.

"Dulu masa zaman Rasulullah s.a.w..." berbanding kita sebut "Dulu masa zaman atuk kamu atau masa zaman ayah/ibu..." 

Setidak-tidaknya anak-anak yang terbiasa dengan kisah Rasulullah s.a.w dari usia kecil akan kenal dan tahu pentingnya sayangkan Nabi melebihi segala-galanya. 

Tiba-tiba saya terfikir...

Sebenarnya itu yang saya praktiskan kepada Aiman. Saya baru teringat yang saya suka sangat sebut nama Nabi Muhammad s.a.w dalam setiap percakapan saya semasa menasihatkan Aiman kalau dia buat nakal atau ketika memberi kata-kata semangat kepadanya. Saya akan jadikan contoh akhlak Rasulullah s.a.w atau saya cakap "nanti Rasulullah s.a.w tak sayang kalau Aiman buat perangai tak elok macam ni."

Hasilnya Alhamdulillah. Tak hairanlah Aiman juga selalu menyebut nama Rasulullah s.a.w dalam banyak percakapannya dan dia cuba mengamalkan beberapa sunnah Nabi yang dia mampu lakukan antaranya Qailullah (tidur sebelum waktu zuhur), hafaz al-Quran, minum madu setiap hari, solat jemaah di masjid.

Hidupkan sunnah-sunnah Nabi s.a.w dalam kehidupan kita adalah bukti rasa cinta kita yang tinggi kepada Baginda. Jom ajar anak cinta Rasul dan amalkan sunnah Nabi dalam kehidupan. Mulakan hari ini!
Maaflah entri agak panjang lebar malam ni. Moga memberi manfaat kepada semua yang membaca. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w.
                                            "Rasulullah s.a.w is my idol," kata Aiman.

Salam Maulidur Rasul. 
Wallahu'alam.
Mama Ita.



















































Sunday, January 12, 2014

Zikir Penenang Jiwa, Hadiah Allah Untuk Kita

Assalam'mualaikum

Teks: Hasnita Sawal
Foto: Imej Google




Terasa diri sangat kerdil. Semakin banyak belajar semakin banyak tak tahu. Allahuakhbar! In shaa Allah malam ni saya hendak kongsikan betapa luasnya kasih sayang Allah terhadap kita. Kita sahaja yang kadang kala tidak menghargainya.

Kata ustaz, ilmu agama kalau sudah dipelajari hendaklah disebarkan kepada semua orang, agar semua mendapat manfaatnya. Malam tadi saya belajar bab kelebihan zikir dalam kuliah di masjid. Zikir merupakan satu ibadat yang mudah dilakukan dan balasan ganjaran dari Allah sangat hebat.

Bayangkan sambil buat kerja di pejabat atau di rumah, kita boleh kumpul pahala dengan mengingat dan menyebut nama Allah SWT sama ada di dalam hati atau di bibir. Masya Allah Maha Penyayangnya Allah kepada kita.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh seorang sahabat Nabi s.a.w, Abu Musa As'hari atau nama sebenarnya Abdullah bin Qais r.a. "Orang yang sentiasa ingat Allah yakni berzikir, hati dan badannya sentiasa hidup. Tapi orang yang tidak mengingat Allah seperti mayat hidup walaupun dia sibuk bekerja 24 jam dan sangat kaya raya tetapi hatinya mati."

Nauzubillahhiminzalik, jauhkan kita daripada tergolong dalam golongan orang-orang yang hatinya mati. Apa guna ada pangkat besar, kerja hebat, kedudukan tinggi, duit banyak tetapi rupanya hanyalah mayat hidup! 

Satu lagi hadis diriwayatkan daripada Abu Darda atau nama sebenar sahabat Nabi s.a.w ini adalah U'waimir bin Amir r.a. Nabi menyebut kepada sahabat: "Sebaik-baik amalan paling suci dan tinggi darjatnya, lebih baik daripada menderma emas dan perak atau lebih baik daripada kamu bertemu musuh dan kamu memegang leher mereka dan mereka memegang leher kamu (jihad fisabilillah dan mati syahid) adalah menyebut dan mengingat Allah SWT."

Jadi siapa orang paling sibuk, orang sakit, orang tua, kaum wanita, sentiasalah kita basahkan lidah dengan menyebut nama Allah walaupun tidak boleh pergi berjihad. Tak perlu ambil air sembahyang. Allah bagi tawaran istimewa secara percuma. Tepuk dada tanya iman! 

Jom mulakan hari ini. Lakukan zikir supaya Allah pelihara kebahagiaan kita dan seluruh keluarga.

Wallahu'alam.

Mama Ita


Friday, January 10, 2014

Kisah RM2 Dan Takut Allah

Assalam'mualaikum

Teks: Hasnita Sawal - nitasawal@gmail.com
Foto: Koleksi peribadi 


          Aiman, ketika mengikut Smart Solat Camp ketika cuti sekolah tahun lalu.

Ini kisah semalam. Saya tersenyum saat mendengar cerita Aiman sebaik pulang sekolah semalam. Dalam hati saya bersyukur kepada Yang Maha Esa. Saya perasan sejak kakaknya masuk asrama dan dia keseorangan, banyak perkara positif yang dikongsi dan ditunjukkan. Faktor tiada teman bergaduh mungkin membuatkan dia kurang menimbulkan hal. Alhamdulillah.

“Mama, tadi kat sekolah agama, Aiman jumpa duit dua ringgit!” dia memulakan cerita sebaik masuk ke dalam kereta.

“Aiman jumpa kat tangga sekolah agama. Aiman ambik nak bagi ustaz,” sambungnya macam tak sabar nak memberitahu.

“Bila Aiman bagi kat ustaz, ustaz suruh letak balik kat tempat yang jumpa tu.”

Saya pula berdebar menanti apakah yang dia buat dengan duit RM2 itu.

“Aiman masuk balik dalam poket, lepas tu pegi kat tangga tu. Dalam hati Aiman cakap, ‘nak ambiklah duit ni. Nanti boleh jadi banyak duit yang Aiman simpan. Eh! Tak boleh. Nanti Allah tengok Aiman ambik duit ni. Berdosa nanti.’ Terus Aiman letak balik kat tepi tangga tu Ma,” ceritanya membuatkan bibir saya mengukir senyuman sambil memandu.

“Kenapa tak jadi ambik?” saya sengaja mengaju soalan provokasi.

“Mana boleh, bukan kita punya. Allah kan nampak apa yang kita buat. Takut Aiman!”

“Alhamdulillah, bagus Aiman. Malaikat Atid mesti catat perbuatan baik Aiman. Banyaklah dapat pahala hari ni. Suka tak?” soal saya selepas memberikan pujian atas perbuatan baiknya.

“Suka,” jawabnya dengan seronok.

Kanak-kanak perlu diberikan pujian atas perbuatan baik yang dilakukan. Balasan pahala biarpun tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi amat difahami oleh kanak-kanak yang sudah dibiasakan mendengar cerita dosa pahala, syurga neraka.

Aiman yang dikasihi, doa mama dan baba tidak putus untuk Aiman dan kakak. Semoga kita semua akan menjadi hamba Allah yang bertaqwa, yang hanya dapat dicapai melalui ilmu dan amal dan seterusnya dapat memasuki syurgaNya. In sha Allah.

Saya sentiasa berusaha mendidik anak-anak menjadi anak yang soleh dan solehah. Saya hanya hamba yang jahil tapi proses belajar mencari ilmu tiada titik noktah selagi mata belum tertutup buat selama-lamanya.

Wallahu'alam

Mama Ita


Wednesday, January 8, 2014

Kisah Aiman Dan Sedekahnya

Assalam'mualaikum

Teks: Hasnita Sawal - nitasawal@gmail.com
Foto: Kamera phone


Setiap hari saya mesti bertanyakan soalan yang sama dengan anak-anak apabila mengambil mereka dari sekolah. Ia bagaikan kewajipan yang tidak pernah ditinggalkan. Walapun kini hanya tinggal Aiman sahaja yang perlu diambil dari sekolah, soalan sama tetap ditanya.

“Macam mana sekolah hari ni?” soal saya kepada Aiman memulakan perbualan.

“Ok ma.”

“Dah mula belajar?” sambung saya lagi.

“Sekolah agama belum tapi dah dapat buku. Sekolah pagi dah belajar sikit,” jawabnya sambil sibuk makan lollipop.

“Hmm…sedap nampak makan lollipop tu. Banyak ke belanja hari ni?” aju saya sebaik Aiman sudah selesa membetulkan kedudukannya dalam kereta. 

“Mama, nilah lollipop yang Aiman nak beli sangat," itu pula yang dijawabnya.

Sebenarnya bermula tahun ini, Aiman berazam untuk membawa bekal ke sekolah. Katanya hendak menyimpan duit belanja sekolah. Encik suami memberinya RM2 untuk sekolah kebangsaan dan RM2 untuk sekolah agama setiap hari.

Saya menyokong  azamnya itu walaupun tidak tahu berapa lama dia boleh bertahan dengan azam tersebut. Kononnya dia menyimpan duit kerana mahu membeli PSP game yang diidamkan sejak usia enam tahun lagi.

Sejujurnya saya tidak mahu membelikan dia PSP game kerana faktor moodnya mudah berubah menjadi pemarah setiap kali disuruh berhenti main game. Saya berpendapat cukuplah sesekali memberinya peluang bermain game menerusi ipad saya. Itupun hanya dibenarkan pada hujung minggu sahaja.

"Mama, hari ni Aiman bagi duit kat kawan singgit," tiba-tiba dia memberitahu.

"Kawan pinjam ke?" tanya saya kembali.

"Dia tak de duit, Aiman bagilah dia pinjam," jawabnya dengan wajah selamba.

"Tadi pun Aiman bagi baki beli lollipop ni 10 sen kat kawan Aiman," sambil menunjukkan lollipopnya.

"Hah!" Saya terkejut.

"Cukup ke nak beli barang dengan duit10 sen?"

"Dia tak cukup lagi 10 sen je," jawabnya jujur.

"Alhamdulillah, bagusnya anak mama ni. Pemurah orangnya. Suka tolong orang. Kira Aiman sedekah la tadi tu kan," sambil memuji saya cuba bertanya.

"Ha mama, baru Aiman ingat, kalau orang suka bersedekah nanti banyak pahala. Camtu Aiman nak banyakkan sedekahlah. Aiman dah kumpul duit 22 ringgit. Nanti Aiman nak sedekah la duit tu. Tak jadi  beli PSP," katanya yang membuatkan saya terkejut.

"Betul ke?" tanya saya tak percaya.

"Betul ma. Nanti Mama bagilah sesiapa  orang miskin. Aiman nak sedekah," ujarnya lagi penuh yakin.

Macam tak percaya je tapi itulah yang keluar dari mulutnya. 

                  Bergambar kenangan di hadapan Pusat Pengajian Seni USM

Cerita sedekah lagi

Itu kisah hari Isnin (maklumlah entri tertangguh atas masalah kekangan masa hehehe). Cerita sedekahnya berlaku dua kali dalam minggu ini.

"Mama, kawan Aiman tak de duit sebab mak dia tak bagi. Aiman kesian kat dia. Pastu Aiman bagilah dia duit."

"Mama, jangan marah ye sebab Aiman bagi duit kat Amirul Hakim sebab dia takde duit."

Macam tak percaya kan. Tapi itulah yang dia lakukan sejak Isnin lepas.

Tapi kata-katanya hari ini sangat terkesan di hati saya.

"Takkanlah Aiman nak biarkan dia tak de duit. Takkan Aiman nak cakap ahhh..lantaklah dia. Tak pe kan bagi kawan duit. Lagipun Aiman belanja singgit sekolah pagi dengan singgit sekolah petang. Bekal untuk tengahari Aiman tak makan pun. Aiman tahan je sebab nak bawak gi sekolah agama.Jadi Aiman boleh simpan duit hari ni," lancar dia memberitahu perancangannya sambil menunjukkan jumlah duit yang disimpan hari itu.

"Kan kalau lagi banyak kita sedekah lagi banyak dapat pahala. Aiman nak dapat banyak pahala!"

"Alhamdulillah, bagusnya anak mama suka tolong orang. In shaa Allah, Allah bagi banyak kebaikan kepada Aiman."

Gilalah saya kalau marah dia tolong kawannya. Kadang kala saya terkejut dengan kata-kata yang keluar dari mulut anak kecil yang baru genap usia lapan tahun Disember lalu ini. Aiman selalu mengeluarkan dialog yang saya tidak sangkakan. Yang pasti ia mesti dikaitkan dengan janji Allah sekiranya kita banyak membuat amal kebaikan.

Alhamdulillah setakat hari ini perilakunya menyenangkan hati saya. Semuanya bukan mudah untuk diperoleh melainkan dengan usaha gigih tanpa jemu.

Saya berpendapat disiplin yang diterapkan sejak setahun lalu iaitu bersolat jemaah, istiqamah membaca al-Quran setiap hari, membawanya ke masjid, mendedahkannya dengan kuliah agama, sering bercerita kisah Nabi dan Rasul membantu dia menjadi dirinya hari ini. 

Mama doakan semoga sikap pemurah Aiman akan berkekalan sehingga ke akhir hayat. Moga rahmat Allah sentiasa memayungi perjalanan hidupmu. 

Wallahu a'alam

**Kelas online asas bina blog penulisan terus berlangsung. Belajar cara menulis santai tetapi masih mengekalkan bahasa melayu formal. Ia salah satu cara menarik minat pembaca suka baca dan bertandang. BIna tapa awal memperkenalkan diri kepada pembaca/bakal pelanggan.

Teknik penulisan yang mempengaruhi pembaca datang dan datang lagi. Bergabung dengan lebih ramai blogger di akademi kami, kini sudah mencecah 340 blog untuk membantu aliran trafik ke blog.

Belajar mengetahui teknik yang betul, apa yang kita suka tulis dan cara konsisten untuk terus aktif menulis blog. Bagi yang sudah ada blog, tetapi masih tiada idea menulis juga dialu-alukan menyertai kelas ini.

Berminat menulis di blog dan berkongsi kepakaran, boleh sahaja e-mel saya seperti di atas.







Sunday, January 5, 2014

Wakafkan Anak Ke Jalan Allah

Assalam'mualaikum

Teks: Hasnita Sawal  - nitasawal@gmail.com
Foto: Kamera phone

"Krik krik, krik krik."

Itu dialog kegemaran Alya apabila dia buat lawak tetapi orang lain tak ketawa. Akhirnya dia ketawa sendiri. Oleh kerana lucu mendengar dia bersungguh ketawa, akhirnya kami pun ketawa.

Tapi malam ini rumah terasa sunyi sangat. Tiada lagi lawak jenakanya, tiada lagi adegan dia menyakat si adik, tiada lagi ketawa riangnya sambil menonton video youtube Bethany Mota kesukaan dan pelbagai lagi aksinya yang menceriakan rumah. Aiman yang selalu menjadi mangsa buli si kakak pun menangis kerana terlalu rindu kepada si kakak.

Padahal kalau ikutkan masa, baru sahaja beberapa jam kami berpisah. Namun rindu saya sudah membuak-buak kepadanya. Kami korbankan segalanya demi mencari keredhaan Allah. Menghantarnya masuk ke asrama maahad tahfiz bagaikan satu rahmat buat kami sekeluarga tetapi dalam masa yang sama kami perlu korbankan masa bersamanya.

Dia anak yang kuat semangat. Tegar dengan keputusan yang dibuat walaupun ada kalanya seperti kurang yakin dengan pilihannya. Memilih untuk bersekolah di maahad tahfiz bukan paksaan siapa-siapa tetapi pilihan Alya sendiri. Saya dan encik suami sekadar bertanyakan kepadanya sama ada dia berminat untuk bersekolah di situ atau tidak selepas keputusan peperiksaan UPSR lalu. 

Apabila dia menganggukkan kepala sambil tersenyum dan berkata 'Nak!", saya rasakan satu perasaan yang tenang dalam diri. Dalam hati saya sempat berkata "agaknya macam ni kot rasanya orang yang cakap sejuk perut ibu mengandungkan si anak."

Sebelum ini tak dapat bayangkan bagaimana rasanya sejuk perut ibu, tetapi saya mengagak mungkin perasaan damai dan tenang itu dirasakan apabila si anak membuat sesuatu perkara yang amat disukai oleh Allah SWT.

Izin Allah

Jujurnya saya tidak harap dia bersetuju kerana karektornya sendiri. Sebenarnya saya lebih memberi tumpuan untuk menghantar si adik ke sekolah tahfiz selepas dia tamat persekolahan rendah. Saya sudah bincangkan visi tersebut dengan Aiman dan dia bersetuju untuk mencapai visi tersebut. Alhamdulillah.

Bagaimana saya boleh tergerak hati untuk menghantar anak belajar tahfiz? Semuanya bermula selepas mendengar ceramah daripada seorang ustaz yang juga pemilik salah sebuah mahaad tahfiz di utara tanahair.

Dia telah bercerita bagaimana dia telah mewakafkan semua anaknya sejak usia seawal tujuh tahun untuk belajar agama di luar negara. 

"Apa? Wakafkan anak? Eh! biasanya orang wakafkan harta benda dan tanah yang dimiliki ke jalan Allah. Ustaz ni cakap wakafkan anak pulak. Boleh ke?"

Barulah saya tahu dengan menghantar anak-anak mendalami ilmu agama ia dianggap satu cara kita mewakafkan anak menjadi seorang pejuang agama Allah. Ia dikira satu jihad dalam agama. 

Sejak hari itu saya memasang niat untuk mewakafkan anak saya iaitu Aiman ke jalan Allah. Saya mohon dalam setiap doa selepas solat agar Allah SWT memakbulkan impian saya. Namun, kita hanyalah merancang yang terbaik tetapi perancangan Allah itu lebih baik. Dia lebih Maha Mengetahui. Dia memperkenankan doa saya lebih awal dengan membuka pintu hati Alya untuk menjadi anak penghafal al-Quran.

Masya Allah betapa hebatnya nikmat yang dikurniakan kepada kami. Percayalah semuanya berlaku dengan izin dariNYA. Saya hanya hamba lemah yang mampu berusaha dan berdoa sahaja. Selebihnya Allah yang menentukan.

Perjalanan anak saya baru bermula. Saya berdoa agar Alya lebih kuat dan tabah mengharungi liku-liku untuk bergelar penghafal al-Quran. Saya tahu pasti banyak onak dan duri yang perlu dia tempuhi. Saya akan terus berdoa dan memberi sokongan kepadanya. Walaupun hati seorang ibu sebenarnya tidak mahu berpisah dengan anak kesayangan yang telah dijaga sepenuhnya selama 12 tahun tetapi demi kecintaan kepada Allah dan Rasul saya ketepikan perasaan itu.


"Alya, walaupun mama sudah kehilangan seorang pembaca setia blog mama tetapi mama gembira dengan keputusan Alya memilih untuk belajar menghafal al-Quran.

Walaupun kesedihan berpisah denganmu belum habis sisanya tetapi mama akan cuba kuatkan diri demi sokongan kepadamu.

Bergeraklah ke depan, wahai anakku, jangan biarkan perkara silam mengganggumu. Yang lepas jadikan pengalaman, tidak perlu digenggam tak lepas tangan.

Jalan yang engkau pilih ini lebih mulia dan dianggap jihad dalam agama. Usah berputus asa, teruskan perjuangan, semoga Allah melindungi dirimu dan mempermudahkan pengajianmu."

Kelas online asas bina blog penulisan terus berlangsung. Belajar cara menulis santai tetapi masih mengekalkan bahasa melayu formal. Ia salah satu cara menarik minat pembaca suka baca dan bertandang. BIna tapa awal memperkenalkan diri kepada pembaca/bakal pelanggan.

Teknik penulisan yang mempengaruhi pembaca datang dan datang lagi. Bergabung dengan lebih ramai blogger di akademi kami, kini sudah mencecah 340 blog untuk membantu aliran trafik ke blog.

Belajar mengetahui teknik yang betul, apa yang kita suka tulis dan cara konsisten untuk terus aktif menulis blog. Bagi yang sudah ada blog, tetapi masih tiada idea menulis juga dialu-alukan menyertai kelas ini.

Berminat menulis di blog dan berkongsi kepakaran, boleh sahaja e-mel saya seperti di atas.