Perkongsian Bermakna Yang Menyentuh Jiwa

Assalam'mualaikum

Teks: Hasnita Sawal - nitasawal@gmail.com

   Saya dan rakan-rakan wartawan merakamkan gambar kenangan dengan ayah dan ibu Ahmad Ammar

Bismilahhirahmannirahim. Entah kenapa beberapa hari ini saya tidak mampu menulis entri baru. Ada sahaja halangan dan kekangan. Padahal idea terasa mencurah-curah. Rasa banyaknya cerita hendak dikongi dengan orang lain.

Tapi siapalah kita, manusia yang lemah ini. Kita hanya merancang tetapi Allah jua yang menentukan. Biasalah, penulis juga manusia biasa, kadang kala ada masanya kekeringan idea juga. Ada masa banyak idea tetapi tak mampu mencoretkan dalam sebuah cerita. Bagaimanapun hari ini saya perlu berusaha gigih untuk menghasilkan entri.

Disiplin itu penting! Ya kata kuncinya adalah disiplin. Sebenarnya antara tip sesebuah kejayaan yang biasa dikongsi oleh orang-orang yang berjaya adalah soal disiplin. Istiqamah dengan disiplin yang diamalkan lebih memantapkan lagi kejayaan. Sebenarnya memang beberapa hari ini saya kurang berdisiplin dengan rutin menulis blog. Akibatnya tiada satu pun hasil!

Sebenarnya saya ingin sangat berkongsi tip mendidik anak seperti yang dikongsikan oleh ibu bapa arwah Ahmad Ammar yang mencetuskan fenomena baru-baru ini.  Kisah Ammar menjadi sebutan malah video mengenai kisah remaja berusia 20 tahun yang merantau jauh semata-mata mahu mendalami ilmu Islam itu disaksikan lebih sejuta pelayar YouTube.

 

Ammar digambarkan sebagai mujahid yang disayangi ramai bahkan jenazahnya disemadikan bersebelahan dengan makam sahabat Rasulullah SAW, Saidina Abu Ayub al-Ansari, di pemakaman Eyub di Turki. Satu-satunya jenazah rakyat Malaysia yang dikebumikan di sana. Kisah sedih permergian Ammar menjadi bualan di seantero dunia.


Kita tinggalkan kisah arwah kerana saya yakin ramai yang sudah menyaksikan video mengenai kisahnya dan cerita kehebatan anak muda itu. Pertama kali saya menonton video itu hasil kiriman seorang sahabat di dalam grup whatsapp.


Ketika itu saya sedang bersiap hendak ke tempat kerja. Sebaik tamat video berdurasi 20 minit itu, air mata saya mengalir laju menyaksikan cara pemergiannya yang sangat mulia. Hati tertanya-tanya bagaimanakah amalan beliau? Siapakah ibu bapa arwah? Betapa tenangnya wajah ibu dan ayah berhadapan dengan pengebumian anak. Beruntung sungguh mendapat seorang anak yang soleh. Tentu sahaja di sebalik kesedihan pemergian si anak, terselit kesyukuran dan kebahagiaan di hati mereka melihat kemuliaan yang diterima oleh arwah anak tersayang.


Kematian Yang Menghidupkan


Keinginan saya membuak-buak untuk mengetahui cara didikan ayah dan ibu arwah. Alhamdulillah, Allah makbulkan keinginan saya. Rupanya pada Isnin lepas, ibu bapa Ahmad Ammar ada sesi perkongsian dengan media di Karangkraf mengenai kisah anaknya.


Tanpa melepaskan peluang, saya segera turun ke auditorium sebaik terdengar pengumuman yang dilaungkan Yani (receptionist ofis Karangkraf) meminta staf yang berkelapangan mendengar perkongsian tersebut.


Senyuman dan ketenangan wajah Ahmad Azam Abd Rahman, dan Nur Azlina Abdul Aziz sangat saya kagumi. Tatkala video kisah hidup dan pengebumian arwah anaknya ditayangkan sebelum sesi perkongsian bermula, saya mencuri-curi melihat reaksi mereka. Sesekali saya ternampak lelaki tabah itu mengesat matanya. Mungkin masih bersisa lagi kesedihan tatkala menatap wajah anak yang telah sebulan (pada 2 Disember itu) meninggalkannya di video itu. 


Apabila diminta tampil di pentas untuk sesi perkongsian, mantan Presiden ABIM itu melemparkan senyuman dan berjanji tidak mahu lagi mengalirkan air mata. Katanya cukuplah air mata yang keluar sebelum ini, kerana selepas ini dia punya tanggungjawab untuk berkongsikan pengalaman mendidik anaknya untuk melahirkan lebih ramai anak muda berjiwa besar seperti arwah Ahmad Ammar.


Katanya pemergian Ammar umpama kematian yang menghidupkan. Kisahnya memberi impak yang besar. Ia menghidupkan kembali iman yang tidur selama ini. 


Ada tujuh tip yang diterapkan dalam diri anaknya sejak kecil. Dia merasakan tip didikan tersebutlah yang memberi garis panduan kepada anaknya hingga membesar sebagai insan yang bukan sahaja bijak tetapi berakhlak mulia dan sangat mencintai perjuangan Islam.


1. Ajar anak-anak wawasan/visi ummati. Visi amat penting bagi setiap umat Islam dalam mengejar cita-cita menegakkan Islam di muka bumi. Sentiasa memberitahu anak-anak supaya satu hari nanti mereka menjadi salah seorang manusia yang dapat memberi kebahagian serta kemuliaan kepada Islam.


2. Memberi nama yang  sesuai dengan wawasan supaya mereka mengikut contoh kepada individu tersebut, misalnya nama Muhammad.


3. Didik mereka mengenai kepentingan memiliki ketinggian adab dan akhlak kepada ALLAH, Rasul, ulama, ibu bapa, guru dan orang yang lebih tua. 


4. Ajari mereka menghayati al-Quran kerana ia adalah mukjizat daripada ALLAH Taala. Al-Quran juga adalah senjata paling mujarab yang melimpah ruah, mata air yang tidak mungkin kering, di dalamnya penuh dengan nur hidayah rahmat dan zikir.


5. Memelihara solat wajib dan menunaikan solat sunat tahajud kerana ia kekuatan sebuah ummah. 


6. Menguasai ilmu yang diperlukan pada zaman itu. Beliau memilih mengajarkan Ammar tentang sejarah Islam supaya dia bersemangat untuk memperjuangkan agama ALLAH.


7. Ajar anak-anak supaya mempelajari bahasa asing (sebab itu beliau menghantar Ammar ke Turki supaya dia faham sejarah Islam Uthmaniah dan dapat memberi sumbangan kepada Islam satu hari nanti, namun ALLAH lebih menyayangi arwah).


Saya sangat terkesan dengan perkongsian Ahmad Azam mengenai wawasan yang dirancang untuk anaknya. Namun siapalah kita sebagai manusia. Kita merancang sebaiknya tetapi rancangan ALLAH itu adalah yang lebih baik. 


Dalam ucapannya, beliau sangat berharap agar wakil media dapat menyebarkan perkongsiannya kerana dia mahu lebih ramai lagi Ahmad Ammar akan lahir selepas ini. Semoga kita dapat mempraktiskan tip yang berguna itu dalam mendidik anak-anak menjadi khalifah ALLAH.


Wallahua'lam


Mama Ita


Comments

  1. beruntung mak pak dia kan.. tapi.. sbb merekalah anak anak pun jadi anak yg soleh dan solehah

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerita Susu Ibu Di Petang Hari

Betul Ke Kajian Kata Makan Pedas Boleh Kuruskan Badan?

Zikir Penenang Jiwa, Hadiah Allah Untuk Kita