Saturday, December 28, 2013

Kadangkala Risau Kita Tak Bertempat!

Assalam'mualaikum

Teks: Hasnita Sawal -nitasawal@gmail.com
Foto: Koleksi perbadi

"Risaulah anak saya masih tak tau membaca. Tahun depan dah nak masuk darjah satu!" ngadu seorang kenalan di satu petang.

"Eh apalah agaknya yang cikgu kat sekolah ni ajar sampai anak aku masih tak boleh baca," kata seorang ibu dalam nada geram.

Ia senario biasa di kalangan mak-mak yang mempunyai anak baru masuk darjah satu menjelang hari persekolahan. Saya juga pernah mengalami rasa panik begitu satu masa dahulu. Risaunya bila anak kita seorang nanti yang tak pandai membaca di dalam kelas. Maklumlah budak-budak sekarang kebanyakannya pandai-pandai belaka. Saya kira ia perasaan normal yang terbit dengan sendirinya dari dalam hati sanubari seorang ibu.

Sebenarnya memang tidak salah berperasaan sedemikian tetapi sebelum itu tanya dulu diri kita, apakah wajar semua kesilapan itu kita sandarkan kepada guru anak-anak kita? Kita mesti lakukan sesuatu. Saya pun macam tu juga dulu. Tapi hendak atau tidak kita perlu gagahkan diri membuat sesuatu untuk anak kita. Tindakan drastik perlu dilakukan. 

Ketika menghadapi situasi tersebut saya mengambil keputusan membuat kelas intensif membaca secara 'one to one'  tanpa jemu di rumah. Misinya untuk memastikan anak lancar membaca sebaik hari persekolahan bermula kerana anak saya Alya hanya bersekolah tadika ketika usianya enam tahun. Sebelum itu saya hanya mengajarnya sendiri di rumah, jadi demi memastikan dia hebat membaca seperti kawan-kawan lain apabila masuk usia enam tahun, saya melakukan latih tubi membaca setiap hari.

Usaha saya membuahkan hasil! Lega rasanya kerana si anak sudah setaraf dengan kawan-kawan lain yang lancar membaca. Tidak risau lagi menghantarnya masuk sekolah. Ketika itu saya seolah-olah terlupa satu hal yang penting. Lebih penting berbanding kebolehan membaca seorang anak. Bukankah sepatutnya saya lebih bimbang sekiranya anak tidak pandai lagi mengerjakan solat?  Tanggungjawab mengerjakan solat sebagai tuntutan agama yang paling utama bagi seorang anak.

Astagfirullahhaladzim....untuk Alya, saya lambat sedikit menekankan tentang solat ketika usia kecilnya berbanding semasa Aiman seusia kakaknya. Kononnya usia lima hingga tujuh tahun, anak masih kecil, Kasihan hendak mengejutkan mereka bangun pagi solat subuh. Ya Allah jahilnya saya ketika itu, saya terlupa pesanan Rasulullah s.a.w di mana Baginda bersabda :

“Ajarlah anak-anakmu solat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukullah mereka (bila tidak melaksanakan solat) pada usia sepuluh tahun.” (Hadis Riwayat Tirmidzi).



Saya amat berharap agar pengalaman saya boleh dijadikan tauladan kepada semua yang membaca. Janganlah kita terlalu asyik memikirkan masalah anak yang belum mahir membaca tatkala dia hampir melangkah ke alam persekolahan. Sebaliknya risaulah kita sekiranya anak masih belum cekap mengambil wuduk dan tidak tahu lagi mendirikan solat ketika dia semakin masuk ke darjah satu.  Janganlah kita kasihan tidak bertempat kepada anak-anak, kononnya alasan masih kecil untuk dikejutkan bangun bersolat, sebaliknya kasihanlah kepada diri kita sendiri. 

Kitalah yang akan disoal oleh Allah Azza Wa Jalla di akhirat nanti apabila anak menunding jari sebagai tanda menyalahkan kita kerana tidak mengajarnya bersolat. 

*Jika anda pun ada cerita pengalaman yang rasa hendak di kongsi dengan orang lain, mengapa tidak mencoretkannya dalam bentuk tulisan. Mana tahu ia mampu merubah sesuatu menjadi lebih baik. Kalau tak tahu cara, jangan malu-malu, PM saja saya menerusi e-mel seperti di atas, In shaa Allah saya boleh bantu

Wallahu a'lam

Mama Ita



No comments:

Post a Comment