Rasulullah Is My Idol

Assalam'mualaikum

Teks: Hasnita Sawal - nitasawal@gmail.com
Foto: Kamera iPad


Serabut  kepala bila balik dari kerja, anak-anak sibuk bergaduh. Rasa hendak menjerit marahkan mereka tetapi perlu sabarkan diri. Padahal mereka tahu mama yang keletihan paling tak suka jika dengar orang bergaduh. Tapi biasalah budak-budak, diberitahu banyak kali pun tetap akan diulang kesilapan yang sama. 

Semakin mereka membesar, semakin kuat usik mengusik dan sesi 'perang' antara keduanya. Ada sahaja yang tak kena. Tapi bila time baik, bukan main mesra sangat.

"Korang ni boleh tak jangan bergaduh. Pening kepala mama tau!" 

"Eh kita orang tak gaduh la mama, gurau je ni," jawab keduanya selepas puas berkejaran entah apa yang direbutkan pun saya tak tahu.

Ada kalanya saya biarkan mereka bergaduh sampai puas. Hendak melihat sejauh mana pergaduhan mereka kerana akhirnya mereka berdua akan mencari satu sama lain. Mana mungkin bergaduh lama kerana itulah kawan bergaduh, itulah kawan bermain.

Saya percaya ramai kalangan ibu ayah yang berasa pening menghadapi kerenah anak-anak yang tak pernah puas bergaduh. Lebih-lebih lagi di musim cuti sekolah yang panjang. Bertambah banyak masa mereka untuk bergaduh.

Saya sendiri pernah berasa buntu apakah cara terbaik mengendalikan kerenah anak-anak. Saya pernah bertindak garang semata-mata hendak memastikan mereka takut. Jeritan dan tengkingan saya rasakan cara terbaik mengawal anak-anak yang 'nakal' dan asyik bergaduh. 

Mencari Pendekatan Terbaik

Saya terlupa tanpa disedari sudah membuat kesilapan menjadi role model yang 'tak betul'. Kesannya anak-anak juga suka bercakap menjerit sesama mereka. 

"Alamak, salah aku juga bagi contoh yang tak baik kepada anak-anak," bisikku dalam hati tanda menyesal apabila melihat Aiman 'naik angin' dengan kakaknya dan bercakap kasar.

"Aiman!" panggil saya.

"Ya Ma," jawabnya sambil datang ke arah saya dengan muka yang masam mencuka.

"Mama suka Aiman yang cakap lembut je macam dulu. Kenapa cakap tengking-tengking macam harimau nak makan orang je?" soal saya dalam nada bergurau.

"Kakak tu, suka cari pasal," jawabnya masih bernada marah.

"Aiman tahu tak, kalau kita marah-marah macam ni, syaitan lagi suka dekat kita. Dia kata yeay...budak ni boleh geng aku sebab dia suka marah-marah. Cuba Aiman bersabar kalau orang kacau. Istighfar banyak-banyak, biar syaitan kalah," pujuk saya dalam nasihat.

"Eeeee syaitan ni sibuk jelah nak dekat aku. Astagfirullahala'zim...," katanya sambil mengacukan penumbuk kononnya ke arah syaitan.

"Rasulullah tak pernah marah-marah. Tu bukan akhlak Rasulullah. Aiman kata nak ikut macam akhlak Rasulullah, jadi kena lah banyak bersabar," pancing saya lagi memujuknya.

Barulah dia kelihatan tenang dan kemarahannya mula turun sambil meminta maaf kepada saya atas perbuatannya.

Pendekatan secara meningkatkan kesabaran dalam menghadapi kerenah anak-anak bergaduh nampaknya berkesan. Nasihat dalam nada bergurau secara tidak langsung berjaya menurunkan tahap kemarahan si anak.

Bagaimanapun pendekatan ini memang sukar diguna oleh kebanyakan ibu bapa memandangkan biasanya kesabaran mereka terus lenyap apabila anak-anak mula bergaduh. Satu ketika dulu saya pun begitu. Tapi lama kelamaan saya menjadi penat asyik memarahi mereka tetapi kesannya langsung tiada.

Namun pendekatan yang lebih bersabar dan diselitkan dengan unsur nasihat serta contoh akhlak Rasulullah s.a.w membuahkan hasil cuma kita perlu bersabar dengan kaedah ini yang agak mengambil masa. 

Cara Nabi s.a.w

                Buku yang sering dijadikan rujukan untuk mendidik anak-anak

Sebenarnya saya tidak pernah berhenti mencari kaedah terbaik mendidik anak-anak. Banyak buku tentang kaedah mendidik anak yang saya baca. Daripada teori barat sehinggalah cara Nabi mendidik anak-anak. Akhirnya saya memilih untuk mencontohi cara Nabi s.a.w mendidik anak-anak kerana percaya ia  paling terbaik dijadikan panduan oleh ibu bapa Muslim. 

Saya lalu teringat sebuah kisah bagaimana Rasulullah mendamaikan pergaduhan antara kanak-kanak. 
Dari Jabir bin Abdullah berkata, "Ada dua anak yang bergaduh, seorang anak dari Muhajirin dan satunya dari Ansar.

Anak Muhajirin berteriak, "Wahai para Muhajirin!"

Anak Ansar juga menjerit, "Wahai para Ansar!"

Rasulullah keluar dan berkata, "Ada apa ini, ajakan orang-orang Jahiliyah?"

Mereka berkata, "Tidak, wahai Rasulullah, ada dua anak yang bergaduh, kemudian salah seorangnya memukul yang seorang.

Rasulullah berkata, "Tidak mengapa, hendaklah seseorang menolong saudaranya yang menzalimi dan dizalimi. Bila ia menzalimi, hendaklah seseorang melarangnya, maka ia telah menolongnya. Bila ia dizalimi, maka tolonglah ia."

Dengan bimbingan yang tulus dan nasihat yang tegas, Rasulullah memisahkan antara dua orang anak yang bergaduh itu. Baginda meluruskan pemikiran mereka dan mengajak mereka untuk menghalang daripada terjadinya kezaliman yang lebih besar.

Jom jadikan Rasulullah idola kita dalam mendidik anak-anak. Moga kita menjadi ibu bapa yang diredai oleh Allah SWT.

Wallahu a'lam

Mama Ita

Comments

Popular posts from this blog

Cerita Susu Ibu Di Petang Hari

Betul Ke Kajian Kata Makan Pedas Boleh Kuruskan Badan?

Zikir Penenang Jiwa, Hadiah Allah Untuk Kita