Tolong Habiskan Makanan Ya!

Assalam'mualaikum

Teks: Hasnita Sawal - nitasawal@gmail.com

Tengahari tadi saya beli piza untuk anak-anak di Domino's Bukit Jelutong.  Saya dan En.suami hendak keluar jam 1 petang, jadi kami 'tapau' kan mereka makanan. 

Sementara menunggu giliran piza masak, saya terkejut 'beruk' melihat seorang remaja lelaki mengambil pesanan pizanya yang sudah siap (sebelum tu dia beratur di depan saya). Dia memanggil adik lelakinya ke kaunter.

Saya kira usianya dalam lingkungan 13 tahun sementara adik lelakinya lebih kurang usia 9 tahun. Dengan berpakaian jersi bola, saya agak mereka baru selesai bermain bola sepak di padang tidak jauh dari kediaman mereka. 

Mereka mengangkat dua kotak piza bersaiz paling besar. Saya dan En.suami saling berpandangan melihat mereka membawa seorang sekotak piza.

Mulanya saya fikir mereka hendak membawa pulang piza tersebut tetapi rupanya mereka berdua membawa ke meja bersama sebotol besar air berkarbonat dan mula makan seorang satu kotak piza.

"Hahhh...makan sorang sekotak??? Boleh habis ke tu?" saya tanya En.suami.

Saya hairan sebab saya yang sudah tua pun tak akan habis makan piza saiz sederhana seorang, apatah lagi kalau saiz paling besar. Macam mana pula budak dua beradik itu boleh habis makan ya?

Ketika pesanan piza saya siap, mereka berdua masih belum selesai makan. Jadi saya tidak tahu apa kesudahan kisah mereka. Adakah mereka berjaya menghabiskan piza tersebut atau mereka buang sahaja kerana tidak habis, saya pun tidak tahu.

Saya harap mereka berdua dapat menghabiskan piza tersebut kerana jika tidak ia sudah dikira membazir. Bukankah membazir itu amalan syaitan. 

Saya kira mereka juga daripada kalangan anak orang berada memandangkan pada lokasi tempat tinggal mereka di salah sebuah kawasan elit di Shah Alam. Apatah lagi melihat jumlah duit yang dibayar semasa membuat pesanan di kaunter. Mungkin ibu atau ayahnya membekalkan sejumlah duit yang banyak untuk anak mereka.

Pada pendapat saya, anak-anak mesti dididik cara berjimat cermat dan berdisiplin sejak usia kecil lagi. Bukan soal ibu dan ayah mampu atau tidak tetapi didikan awal berjimat cermat serta berdisiplin terutama dalam bab makan dapat membentuk peribadi yang elok sehingga dewasa.

Amalan makan secara berdikit-dikit dahulu sebelum menambahnya jika mahu lagi menjadikan seorang anak lebih menghargai rezeki yang ada ketika itu. 

En.suami amat tegas dalam bab makanan. Sejak berkahwin dengannya saya takut kalau makan tak habis. Hehehe... dulu masa muda remaja, asal tak habis makan saja, selamba saya lontar ke dalam tong sampah.

Saya juga terkenal cerewet bab pilih makanan. Itu tak nak, ini tak suka. Ohhh...pendek kata memang kena sabarlah melayan kerenah saya makan. Tapi Alhamdulillah hasil didikannya, saya belajar memperbaiki diri.

Bersyukur dengan rezeki yang ada. Makan apa sahaja dan tak perlu banyak komplen. Itu juga kaedah yang digunakan dalam mendidik anak-anak. Mereka diajar supaya makan apa yang dihidangkan dan perlu menghabiskan makanan dalam pinggan masing-masing.

Tiada istilah membazir makanan ketika di meja makan. Pastikan semua makanan yang dimasak dihabiskan semasa makan, sebab itu ketika masak perlu disediakan dalam kuantiti secukupnya untuk sekeluarga.

"Alah biasalah budak-budak makan tak habis."

Mungkin itu ayat yang biasa diucapkan oleh sesetengah ibu bapa bila si anak tidak menghabiskan makanannya. Mengapa begitu?

Kita yang membentuk mereka. Jadi sudah pasti kita boleh mendidik mereka berdisiplin dalam bab makan. Kenapa kita tidak mendidik anak-anak mengikut sunah Rasulullah s.a.w yang sangat terpuji akhlaknya dalam bab makan.

Sedarkah kita bahawa makan juga boleh mendapat pahala?  Ya memang kita mengajar anak-anak membaca doa sebelum makan. Tetapi kadang kala kita terlupa mengingatkan mereka pentingnya adab-adab lain semasa makan seperti mana yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w.

"Rasulullah tidak sayang orang yang membazir makanannya. So, tolong habiskan makanan dalam pinggan ye." Itu yang selalu saya pesan kepada anak-anak.

Kenapa mesti menghabiskan semua makanan yang ada dalam pinggan kita? Selain daripada tidak membazir, kita juga tidak tahu makanan mana yang masuk dalam mulut kita itu yang berkat. Ditakuti makanan yang ditinggalkan itu rupanya yang berkat kepada kita.

Nabi kata, jika makanan kita makan ada tinggal lagi di pinggan, bersihkan dan makan. Kita tidak tahu mungkin yang jatuh/tertinggal itu yang berkat dan membuatkan kita lebih kuat beribadah pada Allah. 

Begitu juga halnya dengan amalan Rasulullah menjilat jari selepas makan. Berdasarkan riwayat Imam Muslim, Nabi berkata, "Kamu tidak tahu yang mana mendapat berkat dari makanan yang kamu makan."

Aiman sangat suka menjilat jari selepas makan, lepas tu cakap "ni ikut sunah Nabi tau."

"Kakak, Aiman ambik lauk yang depan ni dulu, kakak ambik yang depan pinggan kakak dulu. Rasulullah cakap macam tu tau adab masa makan."

Pesan Rasulullah, apabila makan hendaklah mengambil makanan yang paling dekat dengan kita. Ia adalah sebaik-baik adab ketika makan.

Selepas makan jangan lupa ucap Alhamdulillah. Tanda syukur Allah memberi rezeki kepada kita. Kata Nabi juga, bila seseorang sebut Alhamdulillah lepas makan, akan dapat pengampunan dari dosa-dosanya. 

Mengajar anak makan secara bersederhana juga cara mendidik mereka supaya beringat kepada orang-orang susah yang kurang berkemampuan membeli makanan. Janganlah sogokkan anak-anak dengan makanan mewah-mewah selalu.

Walaupun kita mampu tetapi mereka perlu diajar supaya tidak semua yang ingin dimakan mudah diperoleh tanpa perlu berusaha. Mungkin saya kelihatan sangat berkira, tetapi saya percaya anak-anak saya lebih menghargai makanan dan mengingatkan mereka ada orang lain yang sukar makan di dunia ini.

Begitu juga dengan disiplin makan makanan yang berkhasiat. Melihat gaya dua kanak-kanak lelaki makan piza sekotak besar seorang membuatkan saya terfikir, "beginikah gaya hidup mereka makan?"

Oh! Sangat tidak bagus untuk kesihatan. Jangan terkejutlah kalau mereka membina badan saiz XXL apabila dewasa nanti jika demikian amalan pemakanan mereka. 

Anak-anak saya tidak semudah itu boleh menikmati makanan segera. Bukan kedekut tetapi saya ajar mereka menghargai kesihatan yang dimiliki. Sesekali sahaja mereka boleh menikmati makanan segera.  Itu pun dalam dalam kuantiti yang sederhana sahaja. 

Takut tak cukup? Jangan risau, anak-anak saya akan makan sahaja apa yang ada walaupun seorang hanya dapat dua keping piza sahaja. Saya rasa kalau mereka lihat cara makan dua orang budak lelaki tadi, mesti mereka membulatkan mata tanda terkejut.

     Masa ni celebrate birthday Aiman yang ke-7 tahun lepas. Makan makanan macam ni hanya untuk hari istimewa sahaja. 

Wallahu a'lam

Mama Ita




















Comments

Popular posts from this blog

Cerita Susu Ibu Di Petang Hari

Betul Ke Kajian Kata Makan Pedas Boleh Kuruskan Badan?

Kerisauan Seorang Ibu