Peluklah Anak Walaupun Tak Cemerlang


Assalam'mualaikum

Teks : Hasnita Sawal - nitasawal@gmail.com
Foto : Google image


Tajuk entri hari ini lebih kepada pujukan buat diri saya sendiri. Seperti sedia maklum hari ni result UPSR sudah keluar. Tahniah diucapkan kepada yang mendapat result cemerlang 5A. Yang tak dapat A penuh pun tahniah juga. Teruskan usaha dan jangan putus asa.

Beberapa hari sebelum result keluar, Alya asyik mengadu takut dan risau. Saya pesan kepadanya supaya banyak berzikir kerana ia ubat terbaik menenangkan jiwa. 

Tipulah kalau saya kata tidak risau. Tentu sahaja saya seperti semua ibu lain, mahukan anak mendapat result yang cemerlang.

Saya juga pesan supaya dia persiapan diri menerima apa sahaja keputusan nanti selepas segala usaha, doa dan tawakal telah dilakukan. Saya juga sudah persiapkan mental untuk redha dengan apa jua keputusan yang dia dapat.

Akhirnya debaran Alya dan saya berakhir pada jam 11.30 pagi tadi. Biarpun bukan berita gembira yang saya terima tapi saya berlapang dada dengan takdir yang tertulis. Tangisan Alya bukan tangisan gembira seperti kawannya yang  mendapat 5A tetapi saya sambutnya dengan pelukan yang erat.

Saya tahu hanya pelukan daripada seorang ibu yang mampu memberi kekuatan semula kepada dirinya yang hampir jatuh tersungkur kerana terlalu kecewa tidak mendapat 5A seperti yang dia impikan.

Saya dapat rasakan kesedihan dan kekecewaannya. Pasti sahaja dia sedih dan kecewa kerana tidak mendapat 5A seperti kawan-kawannya.Perasaan halus seorang ibu tidak boleh lari daripada berkongsi kesedihan dengan si anak tapi saya perlu kuat. Ketika ini, Alya perlukan kekuatan daripada saya untuk bangun semula. 



"Alya tak payah nangis, ok apa dapat juga A walaupun bukan semua," pujuk saya.

"Mama, sorry ya Alya tak dapat 5A," ucapnya dalam esakan tangis yang masih belum reda.

Dia terlalu kecewa kerana tidak dapat menggembirakan hati saya dan Babanya. 

Kekecewaan yang dia alami tak perlu ditambah lagi. Pelukan dan kata-kata pujukan sudah cukup mengembalikan semula semangatnya yang terbang melayang.

Jika anak menghulurkan slip result yang tidak cemerlang, peluklah dia dan katakan yang dia boleh berusaha lagi di masa depan. Jika bukan kita, siapa lagi yang dapat memberinya sokongan. Ketika anak jatuh tersungkur, kitalah yang perlu menghulurkan tangan. Janganlah diherdik dan ditambah kekecewaan yang dialami. 

Saya percaya anak-anak yang tidak cemerlang akan lebih cemerlang di masa akan datang dengan izin dariNya asal sahaja ibu bapa terus menyokongnya. Doa saya tidak pernah putus untuknya. Mungkin kali ini Allah belum makbulkan doa kami.

Pesanan untuk anakku Alya Izzati

Ketika Alya mengeluh: "Alya sedih sangat..." ALLAH menjawab : La Tahzan, Innallaha Ma'ana. Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah beserta kita" (At-Taubah : 40)

Tak cemerlang hari ini bukan maknanya tak boleh cemerlang hari esok.

Jangan putus asa, terus bersemangat untuk berusaha lebih gigih.

Aturan Allah itu adalah yang terbaik untuk Alya kerana Dia Lebih Mengetahui. Bersangka baiklah dengan Allah.

Allah bagi ujian kepada Alya kerana tahu Alya mampu melaluinya. 

UPSR hanya permulaan untuk perjalanan hidup yang lebih panjang dengan izinNya. Masih ada peluang untuk Alya dapat banyak A asal saja Alya berusaha.

Perbaiki diri dan akhlak, jagalah hubungan dengan Allah sebaiknya, In sha Allah kejayaan akan mengikut.

Mama sentiasa doakan yang terbaik untuk Alya di dunia dan akhirat.

Wallahu a'lam

Mama Ita




Comments

Popular posts from this blog

Cerita Susu Ibu Di Petang Hari

Betul Ke Kajian Kata Makan Pedas Boleh Kuruskan Badan?

Kerisauan Seorang Ibu