"Kenapa Kena Selawat Mama?"

Assalam'mualaikum

Teks: Hasnita Sawal
Foto: Koleksi kamera iPad



"Allahumma salli 'ala muhammadin wa'ala ali Muhammad," ucap Aiman apabila mendengar nama Nabi Muhammad s.a.w disebut oleh ustaz dalam ceramah di radio Ikim.

"Alhamdulillah pandainya anak Mama ni. Banyak dapat pahala," saya berikan pujian.

Bukankah memberikan pujian itu salah satu cara didikan mengikut sunah Nabi s.a.w terutama kepada anak-anak kecil. Dalam pendidikan awal kanak-kanak juga, ibu bapa amat disarankan memberi pujian kepada anak yang membuat kebaikan.

Tujuannya untuk memupuk semangat dalam jiwa mereka agar terus membuat kebaikan. Sedangkan kita yang tua pun suka apabila dipuji, apatah lagi anak-anak kecil.

Tapi jangan lupa beritahu pujian itu sebenarnya hanya layak diberikan kepada Allah Taala sahaja apabila mereka semakin besar.

"Mama, kenapa kalau kita dengar sesiapa sebut nama Nabi, kita kena berselawat?" tanya Aiman yang memang suka bertanya.

Bagus juga si kecil menyoal terutama ketika saya 'ala-ala' mengantuk memandu di waktu pagi dalam cuaca dingin menghantar mereka ke sekolah.

"Itu sebagai tanda sayang dan kasih kita kepada Nabi, jadi kita kena doakan kesejahteraan Nabi Muhammad s.a.w.

Rasulullah s.a.w mesti jadi manusia pertama yang kita sayang dan rindu sekali," jelas saya.

"Oh! Maksudnya Aiman kena sayang Mama dengan Baba yang kedua?" tanyanya lagi.

"Yalah, Mama dengan Baba mesti yang kedua selepas Nabi s.a.w. Bila kita selalu berselawat, bertambahlah rasa cinta, kasih dan rindu kita kepada Nabi. Aiman mesti sentiasa rindu pada Nabi tau."

"Aiman nak tak dibangkitkan bersama-sama Rasulullah di hari  akhirat nanti?" tanya saya pula menguji pengetahuannya.

"Nak..." yakin sekali dia menjawab.

"Kalau nak, rajin-rajin selawat ke atas Nabi ok. Lagipun nanti kita nak mintak syafaat daripada Nabi. Kalau tak berselawat macam mana Nabi nak tolong kita di hari akhirat. Betul tak?" 

"Betul...berul...Aiman nak rajin selawatlah sekarang," katanya semangat.

Moga istiqamah ya anakku!

"Nak tau tak apa lagi yang paling best?" pancing saya lagi membakar semangat paginya.

"Apa dia Ma?" tanya Alya pula.

"Bila kita banyak berselawat, Allah akan doakan kita juga dengan kebaikan dan kesejahteraan. Bukan satu tapi 10 kali. Dari Allah tau! Special kan...?" saya berkongsi ilmu yang diperoleh daripada motivasi pagi di radio Ikim.

"Wow! Special sangat...best tu," sahut Aiman kagum.

Aiman terus menyambung selawat ke atas Nabi s.a.w. 

Mungkin nampak biasa bagi kita orang dewasa tetapi bagi anak-anak, ia sesuatu yang besar maknanya. 

Gunakanlah masa singkat yang kita ada semasa berada di kereta untuk berkongsi cerita yang dapat meninggalkan kesan dalam hati mereka.

Anak-anak lebih suka cara didikan yang santai dan banyak cerita. Lagi banyak kita bercerita lagi fokus mereka mendengar. 

Mereka mudah tertarik dengan perkara yang menyeronokkan. Jadi terserah kita bagaimana hendak memberi nasihat supaya mereka mengikutnya. 

Wallahu a'lam

Mama Ita










Comments

Popular posts from this blog

Cerita Susu Ibu Di Petang Hari

Betul Ke Kajian Kata Makan Pedas Boleh Kuruskan Badan?

Kerisauan Seorang Ibu