Ajaibnya Sebuah 'Whiteboard'

Assalam'mualaikum

Teks: Hasnita Sawal
Foto: Kamera iPad

    Whiteboard ini memang banyak memudahkan proses pembelajaran anak-anak.

Ahad lepas saya memberikan tugasan menghafal 25 nama rasul kepada anak lelaki saya, Aiman. Tugasnya kelihatan mudah tetapi jika tiada kesungguhan sukar untuk menghafalnya.

"Aiman ingat tak homework yang Mama bagi untuk hafal 25 nama rasul?" tanya saya setiap hari.

"Ya Aiman ingat!" jawabnya dalam nada agak jengkel kerana asyik diingatkan perkara yang sama.

Hakikatnya bila disuruh menyebut nama-nama Rasul tersebut, Aiman masih gagal menyebutnya dalam nada yang lancar. 

Saya mula ligat memikirkan kaedah pembelajaran yang lebih berkesan untuk kanak-kanak seperti Aiman. Dia bukan jenis budak yang boleh duduk diam membaca dan menghafal dalam masa yang lama. Dia cepat menjadi bosan.

Saya akan hairan kalau nampak dia duduk senyap tidak bergerak. Pasti ada sesuatu yang boleh membuatkan dia duduk diam. Kalau bukan game, sudah tentu komik yang mampu membuatnya asyik. Barangkali memang kelakuan anak lelaki sedemikian. 

Tiba-tiba saya mendapat ilham. Terima kasih Allah kerana mendatangkan ilham ini demi untuk mendidik khalifahMu menjadi anak  yang sentiasa mencintai ilmu keranaMu.

Saya terus terfikir untuk mencatat nama-nama Rasul yang perlu dihafal di atas whiteboard yang sedia ada di atas meja belajar. Whiteboard tersebut memang dibeli oleh En.suami untuk memudahkan  anak-anak membuat kiraan Matematik tetapi sejak Alya habis peperiksaan UPSR, ia seolah-olah terbiar sepi.

Sesekali saya gunakan untuk mencatat tarikh penting sesuatu acara atau apa-apa peringatan untuk saya yang pelupa ini. 

   Bukan mudah nak tengok Aiman duduk diam dan rajin belajar macam ini. Gambar ini segera saya rakamkan apabila melihat dia tiba-tiba jadi rajin di meja belajar.

Selepas menulis 25 nama Rasul, saya meminta Alya mengajak Aiman membaca bersama mengikut rentak lagu yang memang sedia ada. Oh ya, saya terlupa hendak memberitahu bahawa muzik banyak membantu anak-anak kecil mengingat sesuatu.

Tentu anda biasa melihat bagaimana hebatnya anak-anak kecil menghafal lirik lagu-lagu popular. Kecil-kecil lagi mereka sudah mampu menghafal lagu-lagu tersebut. Pengaruh muzik memang amat kuat kepada kanak-kanak.

Jadi gabungan muzik dan catatan di atas whiteboard yang besar itu memang menjadi! Aiman tambah seronok dengan tugasan menghafal. Tiada lagi muka masam mencuka menghafal tanpa arah tujuan.

Oleh kerana minda kanak-kanak mempunyai keupayaan menghafal dalam masa yang pantas jika dia fokus, Aiman berjaya menyelesaikan tugasan hafalannya dalam masa tidak sampai satu jam! Alhamdulillah.

"Adam, Idris, Nuh, Hud, Salleh...." irama lagu nama-nama Rasul menjadi siulan Aiman setiap masa.

Dia seolah-olah menjadi sebati dengan lagu itu. Tidak kira sama ada dia sedang melayan game di hand phonenya atau sedang melukis di dalam bilik, lagu nama Rasul terus bermain di bibirnya.

Bagi memastikan keberkesanan kaedah pembelajaran itu, saya akan memintanya menghafal kembali pada bila-bila masa. Alhamdulillah, setakat ini Aiman masih lancar dengan apa yang diingati.

Nampaknya esok saya kena tukar tajuk hafalan baru jika mahu anak-anak terus istiqamah dengan ilmu yang mereka perlu pelajari sebagai seorang Muslim.

Tak salah mencuba pelbagai kaedah pembelajaran yang boleh kita reka sendiri mengikut kesesuaian tahap usia dan keupayaan anak kita. Perlu diingat mungkin kaedah ini tidak sesuai untuk semua kanak-kanak. Tetapi tidak salah trial and error asalkan ia tidak bertentangan dengan hukum syarak. Semuanya demi kebaikan mendidik khalifah Allah jua.

Wallahu a'lam

Mama Ita








Comments

  1. Assalamualaikum puan,selepas membaca entri ni,saya pun berminat meletakkan satu whiteboard di rumah untuk proses pembelajaran anak-anak.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerita Susu Ibu Di Petang Hari

Betul Ke Kajian Kata Makan Pedas Boleh Kuruskan Badan?

Kerisauan Seorang Ibu