Sebuah Kisah Seribu Makna

Assalam'mualaikum

Teks: Hasnita Sawal
Foto: Sumber Google

              Jadilah seperti sepohon pokok yang dapat memberi manfaat kepada manusia yang berteduh di bawahnya. 

Empat hari lamanya saya tidak mampu menyiapkan tugasan demi mengejar 44 entri yang dituntut cikgu online saya. Entah mengapa ada halangan yang mengganggu fikiran sehingga menjejaskan keupayaan untuk berfikir bagi menghasilkan sebuah penulisan.

Seorang penulis tidak mampu menghasilkan sebuah kisah yang hebat untuk tatapan pembacanya sekiranya fikirannya sendiri bercelaru. Fikiran bercelaru ditambah pula dengan keadaan tangan kanan yang sakit, gabungan mantap yang menyukarkan keadaan.

Saya redha. Sakit itu ujian Allah. Tanda Allah sayang akan kita hambaNYA. Semoga ia menjadi penghapus dosa-dosa kecil saya selama ini. 

Apabila sakit kita jadi lebih menghargai diri dan nyawa yang dimiliki. Mulalah menyesal kerana selama ini mengabaikan kesihatan diri, mulalah berazam jika diberi kesembuhan akan mengamalkan gaya hidup sihat, akan makan makanan yang berkhasiat sahaja dan meminta keampunan dariNYA.

Tetapi ketika dikurniakan kesihatan kembali, manusia mudah menjadi lupa. Lupakan cita-cita dan azamnya dahulu. Lupakan kesengsaraan yang pernah dirasakan. Itulah sikap manusia. Tidak pernah sempurna dan serba kekurangan.

Sebab itu kita diajar oleh agama agar sentiasa membandingkan diri kita dengan orang yang lebih susah daripada kita.  Ia dapat mengajar diri menjadi lebih menghargai akan nikmat yang Allah SWT kurniakan.

Saya masih ingat lagi ketika bergelar wartawan majalah Pa&Ma dulu, saya merupakan penulis ruangan Anak Istimewa. Satu kolum berkisar tentang kehidupan anak yang dilahirkan istimewa dengan pelbagai ketidakupayaan atau menghidap sesuatu penyakit.

Hampir lapan tahun mengendalikan kolum tersebut bermacam kisah suka duka anak-anak kecil yang menghidap pelbagai jenis penyakit atau dilahirkan istimewa dapat saya selami. Secara peribadi saya amat suka mengendalikan ruangan tersebut.

Terasa puas apabila dapat berkongsi sedikit rasa kesusahan dan kesedihan yang ditanggung oleh anak istimewa dan keluarganya. Walaupun sekejap sahaja masa yang saya habiskan bersama mereka, tetapi ia memberi impak yang besar dalam diri saya.

Ia menerbitkan rasa keinsafan dalam diri saya. Ia menyentuh naluri keibuan saya. Ia membuatkan saya menitiskan air mata sambil membuka mata hati saya seluas-luasnya bahawa hidup ini hanyalah sementara. Sekurang-kurangnya anak istimewa yang kita anggap malang itu bertuah di sisi Allah. Mereka sudah tentunya mendapat tempat di syurga Allah kelak. 

Sesungguhnya mereka insan terpilih. Ibu bapa anak-anak tersebut sangat bertuah kerana dipilih Allah untuk menerima ujian maha berat itu. Tatkala bertemu, hati menjadi kagum dengan semangat mereka.

Setiap kali berhadapan dengan tugasan menemubual ibu bapa anak istimewa, saya perlu persiapkan emosi diri. Selalunya saya tewas. Tak mampu hendak melawan deraian air mata yang laju mengalir apabila terpandangkan anak-anak istimewa tersebut.

Lebih memilukan lagi apabila kehidupan susah turut menjadi pakej yang perlu mereka terima tanpa kompromi. Sedaya upaya saya cuba hadamkan cerita dari mulut si ibu agar mampu menghasilkan penulisan yang dapat dirasakan oleh pembaca. 

Kesedihan saya kadang kala tidak berakhir setakat hari temu bual sahaja. Beberapa kali juga saya menerima kiriman sms daripada ibu atau ayah anak istimewa tersebut yang membawa khabar duka.

Saya sendiri sudah tidak ingat berapa hitungan anak-anak suci tersebut telah dipanggil menghadap Ilahi. Biasanya selepas kisah penderitaan mereka disiarkan (dua bulan selepas temu bual) ada sahaja khabar sedih yang menyusul.

Hanya kiriman Al-Fatihah dan ucapan takziah sahaja yang mampu saya kirimkan mengiringi titisan air mata yang berlinangan. Biarpun bersedih dengan pemergian mereka tetapi saya tahu anak-anak itu telah bahagia berada di dalam syurga milik Allah.

Kisah adik kecil (tidak ingat namanya) yang berusia dalam lingkungan usia setahun menderita sakit Billary Atresia merupakan tugasan terakhir saya untuk ruangan Anak Istimewa sebelum saya bertukar ke jabatan lain.

Perjalanan jauh dari Shah Alam ke kediaman ibunya di Kuala Langat disambut dengan tangisan halus yang meruntun jiwa. Saya melihat betapa deritanya anak kecil itu menanggung kesakitan. Keadaan perutnya yang membuncit dan tubuhnya yang kecil serta asyik merengek sepanjang masa cukup menyentap hati saya.

Dalam hati saya berkata, "sedangkan kita yang tua pun boleh merengek kesakitan jika diserang sakit gigi atau demam, apatah lagi anak kecil ini."

Tidak berapa lama selepas kisahnya tersiar di majalah Pa&Ma, saya menerima panggilan telefon daripada seorang pemanggil lelaki yang menyatakan rasa sedih dengan kisah si kecil tersebut.

Katanya cerita saya membuatkan dia terpanggil untuk mendermakan hatinya kepada adik itu. Saya terkejut kerana ada juga insan berhati mulia yang ingin membantu sehinggap tahap sanggup mendermakan sebahagian organnya demi melihat adik itu sihat kembali.

Namun Allah SWT lebih menyayangi si cilik. Selang beberapa hari kemudian saya mendapat berita sedih daripada ibu anak istimewa tersebut yang memberitahu anaknya sudah kembali ke rahmatullah.
Inalillahiwainalilahirojiun.

Saya terdiam seketika. Tak sempat hendak membantu anak itu menerima bantuan pemindahan hati agar dia mampu sihat dan membesar dengan senyuman kerana dia terlebih dahulu kembali menghadap Yang Maha Esa.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh anak-anak kecil yang kisahnya pernah meyentuh hati saya. Saya tahu mereka sedang tersenyum kebahagiaan di dalam syurga Allah SWT di sana.

Semoga Allah juga memberikan ganjaran pahala kepada ibu bapa mereka. Saya sentiasa berdoa tulisan saya juga turut mendapat balasan pahala daripada Allah SWT. Sesungguhnya menulis kisah-kisah kemanusiaan sentiasa menjadi kegemaran saya kerana ia dapat membuatkan saya bermuhasabah diri.

Al-Fatihah.

Wallahua'lam

Mama Ita













Comments

Popular posts from this blog

Cerita Susu Ibu Di Petang Hari

Betul Ke Kajian Kata Makan Pedas Boleh Kuruskan Badan?

Zikir Penenang Jiwa, Hadiah Allah Untuk Kita