Penenang Hati Mama

Assalam'mualaikum

Teks: Hasnita Sawal

Untuk kali keduanya entri yang sudah siap ditaip dan diolah hilang lagi. Oh malang sungguh nasib saya. Sedikit peringatan dari Allah SWT atas kecuaian sendiri. Saya menepis bisikan yang menyuruh saya menyalahkan orang lain. 

Bayangkan perasaan saya apabila cerita yang sudah siap ditaip dan hanya tinggal tekan butang 'publish' hilang tanpa sempat di 'save'. Sangat dalam rasa kecewanya. Mungkin bagi orang lain, ia masalah remeh tetapi bagi seorang penulis, ia dugaan berat yang mesti dihadapi.

Ketika sedang cuba menaham amarah, dua orang kanak-kanak menghampiri saya dan seperti biasa menanya apa yang tidak kena dengan saya apabila melihat wajah murung si ibu.

Biasanya, kalau ikutkan hati yang marah, kita tidak suka orang mengganggu tatkala emosi sedang tidak stabil. Lebih-lebih lagi kalau si anak yang sibuk bertanya. Tapi ada magis yang berlaku pada diri saya. 

Saya tidak marah. Saya memberitahu apa yang berlaku kepada Alya dan Aiman. Mereka berdua terus duduk disebelah saya dan meminta saya bersabar. Saya masih diamkan diri lagi sambil cuba mengingat ayat-ayat pertama yang telah dinukilkan. Tetapi tidak berjaya. 

Dalam hati saya berkata, ini peringatan untuk saya, ia dugaan buat saya dan tentu ada sebabnya ia berlaku. Hanya Allah jua lebih mengetahui. Dalam masa yang sama Alya berkata,

"Sabarlah mama, kan mama selalu cakap setiap yang berlaku tu mesti ada hikmahnya dari Allah."

Kemudian diikuti oleh Aiman, "Ma, doa kat Allah supaya kerja mama jumpa balik." 

Saya terus berdoa agar Allah permudahkan tugas saya sambil diaminkan oleh sepasang anak amanah Allah ini. 

Mereka tersenyum dan saya rasa sangat tenang. Saya redha dengan kehilangan itu. Saya bersyukur kerana Allah hantar anak-anak yang mempunyai hati penuh rasa cinta dan percaya dengan Allah. 

   

Anak-anak saya percaya setiap apa yang berlaku dalam hidup ini adalah di atas ketentuan dan keizinan dariNYA. Saya selalu berpesan kepada mereka sekiranya dalam kedukaan dan kesedihan, percayalah yang Allah akan memberi kita hikmah yang lebih baik.

Saya juga selalu ingatkan kepada mereka agar tidak putus asa berdoa meminta pertolongan dari Allah jika mahukan sesuatu, dalam kesusahan, kesedihan dan bersyukur jika diberikan kegembiraan. Rupanya apa yang saya ajar selama ini meresap dalam jiwa mereka.

Syukur Ya Allah kerana Engkau kurniakan aku anak-anak penenang jiwa. Anak-anak yang roh mereka sudah diresapi kepercayaan yang tiada bandingannya kepada Sang Pencipta. 

Didikan awal yang ditanamkan dalam jiwa anak-anak mencambahkan perasaan tersebut. Walaupun kadang kala kenakalan sebagai kanak-kanak tidak dapat lari daripada diri mereka. Tetapi asuhan nilai murni yang sering dipupuk menjadikan anak-anak mempunyai hati yang sentiasa mengingati Allah SWT.

Mungkin ini hikmah yang Allah hendak tunjukkan kepada saya. Walaupun sedih hilang entri yang sudah  siap, tapi Allah berikan saya kegembiraan atas kebaikan hati anak-anak. Bersyukurlah wahai diri. 

Firman Allah yang bermaksud: 

"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?" - Surah Ar-Rahman ayat 13

Saya bukan berniat hendak riak tetapi sekadar berkongsi pengalaman. Saya tahu semua yang menjadi ibu bapa mahukan anak-anak yang soleh dan solehah. Jadi kita mesti minta dari Allah dan dalam masa yang sama berusaha mendidik mereka ke arah itu.  In shaa Allah pasti berjaya. Mulakan didikan awal sejak anak dari dalam kandungan lagi. 

Wallahu a'lam

Mama ita


Comments

Popular posts from this blog

Cerita Susu Ibu Di Petang Hari

Betul Ke Kajian Kata Makan Pedas Boleh Kuruskan Badan?

Kerisauan Seorang Ibu