Saturday, October 12, 2013

Mama Tak Pernah Berhenti Membebel

Assalam'mualaikum

Teks: Hasnita Sawal

 Solat itu tiang agama wahai anak-anakku. Jangan sesekali kau tinggalkan solat! Ingat pesan mama

Jika ditanya apakah cabaran paling sukar sekali menjadi ibu bapa, saya akan menjawab menyuruh anak bersolat. Kenapa bersolat? Sebab solat adalah ibadat utama yang akan dihisab di hari akhirat dan anak-anak kecil sangat sukar bila disuruh bersolat.

Solat juga jatuh di tangga kedua dalam 'ranking' rukun Islam. Bahkan solat juga adalah tiang agama. Jika solat tidak terjaga, runtuhlah umat Islam. Pernah tak anda merasa kecewa apabila anak-anak liat hendak bersolat?

Saya sangat kagum dengan mereka yang berjaya mendidik anak-anak mengerjakan solat tanpa disuruh. Bertuahlah mereka mendapat nikmat tersebut. Teringin rasanya hendak tahu rahsia mereka didik anak bersolat tepat pada waktunya.

Saya sendiri tidak pernah berhenti membebel apabila tiba waktu solat sehinggakan si Aiman akan kata yang saya suka cakap benda yang sama.

"Mama why you always keep remind me the same thing"? tanyanya bila mulut saya 'start' membebel menyuruhnya ambil wuduk dan solat bila azan sudah berkumandang.

Dia memang tahu mamanya akan membebel dan tahu yang dia perlu bersolat. Tetapi jika tidak disuruh dan dibebel, alamat lambatlah bergerak. Kebaikannya, apabila sering diingatkan anak-anak akan menyegerakan solat.

Oleh itu saya rela menjadi 'alarm' kepada anak-anak untuk mengingatkan mereka bersolat. Alhamdulillah ada juga kebaikan yang Allah bagi kepada saya akibat daripada sikap suka membebel itu.

Anak-anak saya suka menghabiskan masa pada hujung minggu di perpustakaan awam di Shah Alam (PPAS). Jadi saya selalu menghantar mereka dua beradik di situ selepas Zuhur dan menjemput mereka pulang sekitar jam 5 petang.

Satu hari Aiman kalut mencari jam tangannya (yang jarang dipakai) sebelum ke perpustakaan. 

"Apasal sibuk sangat nak  pakai jam? Selalu tak heran pun dengan jam tu"? tanya saya.

"Nanti senang Aiman nak tahu dah masuk waktu Asar ke belum. Aiman nak solat kat surau dalam perpustakaan tu."

Saya terkesima dengan jawapannya dan tidak sangka yang dia akan bersolat tanpa disuruh oleh saya.

Mengejutkan anak-anak solat subuh juga satu cabaran bagi saya. Sedangkan orang tua pun kadang kala liat hendak bangun solat subuh apatah lagi kanak-kanak. Tapi walaupun mencabar saya tidak peduli. 

Mungkin ada sesetengah ibu bapa merasa kasihan hendak mengejutkan anak-anak sekecil usia enam tahun bangun solat subuh. Tapi percayalah, kalau anda mulakan sejak usia kecil, In sha Allah mudah hendak kejutkan mereka bangun solat subuh.

Saya juga pernah buat silap. Saya tidak praktiskan cara tersebut semasa anak pertama dulu. Kononnya kecil lagi untuk dikejutkan solat subuh. Ya Allah, jahilnya saya. Bukankah Rasulullah s.a.w mengingatkan ibu bapa agar mengajar anak bersolat sebaik usia tujuh tahun? Maafkan aku wahai Rasulullah.

Akibatnya, bila sudah usia sembilan tahun baru hendak dikejut bangun solat subuh sudah tentu agak liat bagi anak sulung saya. Ia mengambil masa dan menguji kesabaran. Semuanya salah saya. Ampunkan aku Ya Allah!

Jangan mudah putus asa! Saya nekad tidak akan buat perkara yang sama pada anak kedua. Apa nak jadi jadilah. Walau terpaksa mengejut 10 kali pun tak mengapa. Tiada istilah kasihan untuk mengejutkan anak kecil bangun di pagi yang sejuk. 

Betulah kata orang tua-tua, hendak seribu daya tak nak seribu dalih, melentur buluh biar dari rebungnya. Aiman lebih mudah dikejutkan bangun solat subuh pada usianya. Saya mula kejutkan dia solat subuh pada usia enam tahun.

Biarpun kadang kala muncungnya panjang sedepa, tanda protes mengantuk dan marah dikejut tapi dia tetap bangun bersolat subuh. 

Sehingga hari ini saya tak pernah berhenti membebel mengingatkan mereka untuk bersolat. Saya tak peduli walau mereka tidak suka. Saya lebih peduli apa yang saya akan jawab bila disoal Allah SWT nanti. 

Okay, saya kongsikan cara saya didik anak bersolat. Semoga mendapat manfaat. Kalau orang lain ada cara yang boleh dikongsi, saya sangat hargai dan alu-alukan.

Cara saya didik anak solat

1. Biasakan anak melihat ibu bapa solat sejak mereka bayi lagi.
2. Ajak anak solat sama sebaik mereka boleh mendengar arahan.
3. Amalkan solat berjemaah sekeluarga. Kalau lima waktu solat lagi bagus.
4. Kejut anak solat subuh seawal usia mereka enam tahun, kalau lima tahun dah boleh bangun solat subuh lagi bagus.
5. Bila anak sudah pandai membaca, tampal di bilik mereka tentang azab seksa yang diterima dari Allah jika meninggalkan lima waktu solat.
6. Kalau anak bermain atau ketawa waktu solat, hukum mereka ulang sekali lagi solat tersebut.
7. Kalau anak solat di dalam bilik yang bertutup dalam masa yang sangat pantas, suruh mereka solat semula di hadapan kita.
8. Rotan mereka kalau tinggalkan solat (ikut ajaran Rasulullah).
9. Pantau bacaan solat mereka untuk memastikan ia betul.
10. Jangan pernah berhenti membebel dan mengingatkan anak tentang waktu solat dan pentingnya tidak meninggalkan solat.
11. Amalkan bacaan doa ini :

Surah Ibrahim ayat 40 yang bermaksud: 

"Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku."


Yang baik datang dari Allah, yang buruk datang dari diri saya.
Wallahu a'alam

Mama Ita







1 comment:

  1. Dalam apa-apa hal sekalipun, kita mesti jadi contoh kepada anak-anak. Kepimpinan melalui teladan :-)

    ReplyDelete