Kempen Satu Hari Doa Satu

Assalam'mualaikum

Teks: Hasnita Sawal

       Buku doa yang menjadi rebutan Alya dan Aiman sejak kempen dilancarkan

Musim persekolahan semakin menuju ke garisan penamat. Anak-anak semakin gelisah untuk menghabiskan hari persekolahan.

Mama dan baba juga semakin risau melihat masa mereka banyak dibazirkan dengan menonton tv dan bermain hand phone sahaja.

Jika ditanya apa aktiviti di sekolah selepas selesai peperiksaan, jawapannya "main dengan kawan-kawan je."

Nak dibiarkan berseronok sahajakah mereka ini sampai ke hujung tahun? 

Tahun lepas saya biarkan mereka melepak di rumah. Pastinya tv menjadi sahabat paling akrab mereka. Akibatnya Aiman lupa hafazan surah al-Mulk.

Kalau dibiarkan memang anak-anak akan enjoy melayan keseronokan tersebut, jadi sebagai orang tua kita mesti menyediakan aktiviti berguna untuk mereka.

Satu malam en.suami memberikan tugasan kepada Alya supaya menghafal doa. Sebenarnya dia sangat 'hangin' dengan anak daranya yang sudah terlupa doa selepas solat yang sudah dihafalnya sejak tahun lepas (ujian betul kepada saya apabila anak-anak lupa doa dan ayat al-Quran yang sudah dihafal).

"Aha," detik hati saya. 

"Alhamdulillah, syukur Allah bagi ilham," ucap saya dalam hati.

Satu hari satu doa. Kempen terbaru yang saya dan en.suami lancarkan di rumah.

Seisi keluarga diberi tugasan menghafal satu doa setiap hari dan pastinya anak-anak perlu sentiasa bersedia bila-bila masa untuk disuruh membaca doa itu.

Alhamdulillah anak-anak seronok dengan tugasan baru tersebut. Sekurang-kurangnya terisi jua masa terluang mereka untuk menghafal doa.

Walaupun si Aiman akan memilih doa-doa yang pendek dan mudah dihafal sahaja untuk menyelesaikan tugasan tersebut tetapi saya bersyukur kerana usahanya itu.

Dengan izin Allah SWT  dalam tempoh seminggu sudah lima doa dihafalnya. Malah hafalannya lebih laju daripada saya serta memotong kakaknya.

Setiap kali selepas solat, saya akan menyuruh mereka bergilir-gilir membaca doa. Saya juga suka buat kejutan dengan menyuruh mereka bacakan doa yang sudah dihafal ketika dalam kereta.

Ini merupakan salah satu cara untuk membolehkan doa yang sudah dihafal terus lekat di ingatan. 

Saya selalu mengingatkan mereka yang doa itu senjata seorang mukmin. 

Kata saya lagi, orang yang malas berdoa adalah orang yang sombong dengan Allah SWT.

"Allah paling sayang dengan orang yang asyik meminta dan merayu dengan Allah melalui doanya.

Allah kan Maha Pemurah, jadi kalau Alya dan Aiman nak sesuatu minta sahaja dengan Allah, mesti Allah bagi melalui Mama dan Baba." 

"Ye ke Ma?" tanya Aiman lalu terus mengangkat tangan dan berdoa apa yang dia mahukan.

Siapa kata kita tidak boleh mendidik mereka menjadi khalifah Allah yang cemerlang. Gunakan sahaja kreativiti dan kepakaran kita sebagai orang tua.

Anak-anak usia kecil tidak suka cara pembelajaran secara paksaan. Dunia mereka lebih kepada bermain, bermain dan bermain. 

Jadi gunakan kaedah belajar sambil berseronok. Menghafal doa juga merupakan satu pelajaran. Bahkan lebih mulia dan mendapat ganjaran pahala. Lagipun anak-anak kecil masih cerdas mindanya.

Daya ingatan mereka sangat cepat. Daripada membiarkan mereka menghafal lirik lagu atau dialog kartun lebih baik salurkan bakat tersebut ke jalan yang lebih berfaedah. 

Wallahu a'lam

Mama Ita










Comments

Popular posts from this blog

Cerita Susu Ibu Di Petang Hari

Betul Ke Kajian Kata Makan Pedas Boleh Kuruskan Badan?

Kerisauan Seorang Ibu