Jom Ikut Sunnah Nabi

Assalam'mualaikum

Teks: Hasnita Sawal

Allahumma salli ala Muhammad wa ala ali Muhammad

    Muhammad Aiman di samping atuk tersayang. Jadi anak yang cintakan Rasulullah ye nak!

Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Berapa kali kita berselawat ke atas Nabi setiap hari?

Sudahkah kita memberitahu anak-anak supaya mereka sentiasa berselawat ke atas Nabi? Jom budayakan amalan berselawat ke atas Nabi sejak anak-anak kecil lagi. Saya juga sedang berusaha ke arah itu.

Kata ustaz dalam kuliah di masjid, didiklah anak-anak cinta kepada Nabi Muhammad s.a.w dan cinta kepada seluruh ahli keluarga Nabi serta mengamalkan sunnah-sunnah Baginda.

Motivasi Nabi dalam menangani pelbagai permasalahan hidup manusia di dunia ini patut kita jadikan panduan dalam kehidupan seharian.

Nabi Muhammad s.a.w seorang yang berlemah lembut dalam perkara yang halal dan bertegas dalam perkara yang haram.

Saya sendiri sedang dalam usaha memperbaiki diri agar sebanyak mungkin mengikut sunnah Nabi. Jika anak-anak buat nakal, saya cuba untuk tidak marah membabi-buta serta menghukum mereka serta merta. Kalau dulu memang naik angin la jawabnya. Kini saya berusaha untuk mengikut akhlak Nabi.

Nabi sentiasa menunjukkan akhlak yang baik dalam menyelesaikan sesuatu perkara walaupun ke atas musuh yang membenci Baginda. Contoh akhlak Nabi mesti kita ambil dalam soal mendidik anak-anak. 

Jika kita hendak anak yang baik, maka kita perlulah jadi role modelnya. Anak-anak mengikut apa yang mereka lihat dan contohi setiap hari. 

Jangan pernah berangan anak-anak rajin solat dan mengaji al-Quran sekiranya kita tidak pernah melakukannya. Sebaiknya kita sama-sama tunjukkan contoh yang baik, In shaa Allah anak-anak akan mengikutnya.

Saya masih ibu yang tidak sempurna. Masih perlu banyak belajar dan perbaiki diri. Alhamdulillah, saya dapat rasakan sedikit perubahan dalam mengawal api kemarahan.

Sekarang kalau rasa hendak naik angin dengan kerenah anak-anak yang kadang kala menguji kesabaran, saya akan mengingati cerita Rasulullah s.a.w menghadapi kesusahan dalam perjuangannya tapi tidak pernah marah walaupun dihina oleh musuh-musuhnya.

Kalau Alya atau Aiman buat perangai, saya akan cakap "Rasulullah tak sayang umat yang suka bergaduh adik-beradik atau melawan cakap mama dia tau."

Kesannya mereka akan berhenti bergaduh atau meminta maaf sebab melawan cakap mama (walaupun mulut masih muncung sedepa) tapi bila disebut nama Rasulullah s.a.w terus jadi cair dan tak jadi meneruskan perbuatan nakal.

Lagi satu yang paling terkesan pada diri saya apabila anak-anak akan segera berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w sebaik mendengar nama Nabi disebut walaupun ketika itu mereka sedang berperang mulut, membaca komik atau bermain game di dalam kereta. 

Alhamdulillah perasaan cinta kepada Nabi sudah tertanam dalam diri mereka.

Tinggal hendak membajanya dengan sebaik mungkin supaya ia mencambahkan tuaian yang terbaik di masa depan. In shaa Allah. Senyum

Wallahu a'lam

Mama Ita







Comments

Popular posts from this blog

Cerita Susu Ibu Di Petang Hari

Betul Ke Kajian Kata Makan Pedas Boleh Kuruskan Badan?

Zikir Penenang Jiwa, Hadiah Allah Untuk Kita