Bumi Allah Sangat Luas Wahai Anakku

Assalam'mualaikum

Teks: Hasnita Sawal

Malam tadi saya sibuk 'packing' pakaian untuk 'outstation'. Tapi bukan untuk saya. Untuk anak-anak yang nak pergi bercuti bersama Pak mereka (panggilan anak-anak untuk pak sedara mereka iaitu adik lelaki saya).

Ajakan daripada Emi (adik ipar) untuk membawa Alya dan Aiman serta seorang lagi anak saudara ke Kelantan memang tidak dirancang. Memandangkan saya sibuk dengan event Mini Fiesta Pa&Ma maka saya hargai pelawaan tersebut.

Mungkin sesetengah ibu bapa tidak membenarkan anak-anak mereka mengikut atuk nenek atau ibu/bapa saudara yang hendak membawa mereka berjalan tanpa ibu bapa di sisi kerana bimbang keselamatan dan sebagainya.

Tetapi saya benarkan anak-anak mengikut Pak mereka supaya mereka belajar berdikari apabila berjauhan daripada Mama dan Baba seketika. Kadang kala mereka perlu diberi peluang untuk belajar bertanggungjawab dan berdikari.

Sebenarnya saya mula biasakan Alya berjauhan dengan saya ketika usianya enam tahun lagi. Semasa cuti sekolah dia biasa tinggal di rumah Atuk dan Mak Nek dan ia berterusan sehingga kini.

Saya perhatikan anak-anak lebih belajar erti tanggungjawab, berdikari dan berdisiplin apabila ibu ayah tidak ada bersama. 

Saya sendiri berpendapat menghantar anak masuk sekolah berasrama salah satu cara mendidik anak erti tanggungawab dan berdikari. Ada orang hairan mengapa saya hendak menghantar anak-anak masuk sekolah asrama.

Saya ada alasan sendiri. Risau akan keselamatan anak? Siapa yang tidak risau. Tetapi saya lebih suka menyerahkan segalanya kepada Tuhan Yang Esa selepas kita berusaha sebaik mungkin.

Saya masih ingat cerita Ustaz Hj. Mohamad @ Fauze, Pengerusi sebuah sekolah Maahad di utara tanahair semasa kuliahnya di Masjid TTDI Jaya.

Dia menghantar anak-anaknya belajar agama di luar negara seperti Lubnan, Yaman dan India sejak usia mereka tujuh tahun lagi. 

Katanya, ibu bapa perlu korbankan anak-anak untuk menjadi pejuang agama Allah. Masyallah hebatnya pengorbanan dia.

Saya kagum kerana saya tidak mampu mencapai tahap seperti itu. Saya hanya mampu menghantar anak-anak ke kampung atau mengikut ibu/bapa saudara mereka berjalan sahaja.

Yang penting ajar anak-anak tentang kepentingan menjaga keselamatan diri di mana sahaja berada. Sudah tentunya pesanan paling utama sentiasa mengingati Allah SWT walau ke hujung dunia kita pergi.

Jika kita jaga Allah maka In shaa Allah, Allah akan jaga kita.

Pergilah ke mana sahaja engkau mahu wahai anakku kerana bumi Allah ini sangat luas. Semoga ia lebih mendekatkan diri kita dengan Allah SWT.



Wallahu a'lam

Mama Ita



Comments

Popular posts from this blog

Cerita Susu Ibu Di Petang Hari

Betul Ke Kajian Kata Makan Pedas Boleh Kuruskan Badan?

Zikir Penenang Jiwa, Hadiah Allah Untuk Kita