Dulu Lain Sekarang Lain

Assalam'mualaikum

Teks: Hasnita Sawal

    Tiga generasi - emak, kakak dan anak saudara saya

Biasanya kalau bersembang dengan rakan bergelar emak-emak, rata-rata mesti bercerita tentang perangai anak masing-masing. 

Kesimpulan yang boleh saya buat sendiri iaitu mencabarnya mendidik anak-anak zaman sekarang. Saya berpendapat sedemikian setelah bertanyakan kepada emak saya tentang cabarannya semasa mendidik saya dan adik-beradik lain.

Menurut emak yang memang terkenal dengan kegarangannya (saya merupakan antara anak yang sering menjadi sasaran akibat degil) anak-anak sekarang jauh beza dengan anak-anak dulu.

Kalau dulu masa saya kecil-kecil, jangan harap hendak 'menguping' perbualan antara emak dengan kawannya yang bertandang ke rumah. Tetapi anak sekarang selamba sahaja join sekali perbualan.

Isyarat mata yang dibesarkan sebagai tanda amaran daripada emak sudah cukup membuatkan kami kecut perut. Lagi menggerunkan bila emak buat isyarat tangannya seolah-olah sedang mencubit seseorang.

Memang saya cepat-cepat cabut lari supaya selamat daripada menjadi mangsa.

Belum lagi bab bangun dari tidur. Emak saya seorang yang tegas. Tak ada masa mengejut anak-anak dengan belaian dan suara yang lunak merdu.

Sebaliknya saya akan bingkas bangun apabila mendengar emak menepuk dinding bilik saya (jenis plywood) diikuti suaranya yang nyaring menyuruh bangun. Itulah alarm yang paling efisien sekali pada ketika itu.

Jika tidak bersekolah jangan berangan hendak duduk bersenang-lenang menonton tv. Paling tidak pun mesti duduk di dapur melihat emak memasak dan membantu mengupas bawang atau menumbuk cili. 

Biarpun kadang kala dalam hati ada sekelumit rasa geram dengan emak apabila saya kena marah tetapi tidak pernah sedikit pun menyimpan dendam. Semakin meningkat dewasa perasaan simpati saya kepada emak semakin menebal.

Saya jenis tidak sampai hati melihat emak membuat kerja-kerja rumah bersendirian. Bila sudah bersekolah menengah saya akan segera membantu membereskan kerja-kerja rumah seperti membasuh pakaian sebelum dan sebaik pulang dari sekolah. Kalau boleh saya tidak mahu emak penat.

Berkat didikan dan ajaran emak saya menjadi diri saya hari ini. Apabila mempunyai anak, emak tetap menjadi penasihat saya dalam bab mendidik anak-anak. 

Tetapi emak tidak pernah menganggap caranya mendidik kami dulu adalah yang terbaik. Emak masih tetap belajar ilmu keibubapaan daripada ceramah yang banyak didengari dan akan dikongsikannya dengan kami semua.

Emak turut mengaku dulu dia juga banyak membuat kesilapan dalam mendidik anak-anak. Mungkin ketika itu jiwa masih muda membuatkan sukar mengawal amarah. Pesan emak, jangan ditiru cara didikannya jika ia salah dan tidak mengikut cara didikan Nabi.

Anak-anak dulu kurang pengaruh daripada unsur-unsur luar tetapi anak-anak sekarang dengan gajetnya, tv 24 jam, internet, novel cinta, drama-drama tv yang lebih banyak unsur negatifnya dan kawan-kawan sebaya.

Semuanya menyumbang kepada pembentukan sikap negatif iaitu tidak suka ditegur oleh ibu ayah. Wah! kalau saya dulu mahu kena rotan dengan emak. Tapi anak sekarang memang mencabar kesabaran orang tua.

Benarlah seperti pesan Saiyidina Umar Al-Khattab, didiklah anak mengikut zamannya.

Menggunakan kekerasan terlalu kerap juga tidak boleh. Bersikap terlalu lembut pula takut dipijak kepala. Menjadi ibu bapa zaman sekarang perlu kreatif. Kreativiti berikut mungkin boleh dijadikan contoh:

1. Kreatif dalam mengendalikan kerenah dan perangai mereka. Ada masa perlu bertegas dan ada masa perlu menjadi kawan dan bergurau senda.

2. Pentingnya kita mengenali karektor setiap anak kerana pendekatan mendidik mereka perlu berbeza. 

3. Ciptakan hubungan yang erat antara orang tua dengan anak. Biarpun dimarahi anak tetap akan kembali kepada ibu dan ayah.

4. Beritahu anak-anak yang kita marah kerana ingin membetulkan kesilapan mereka bukan kerana membenci diri mereka. Biarpun ketika itu anak masih lagi muncung sedepa tapi selepas reda, dia akan kembali meminta maaf.

5. Peluk dan cium anak-anak selalu. Keberkatan kasih sayang yang disalurkan melalui pelukan dan ciuman mampu memberikan cas positif dalam diri mereka. 

Semoga kita semua menjadi ibu bapa yang dirahmati Allah SWT dan mampu mendidik anak-anak cemerlang dunia akhirat. In shaa Allah

Wallahua'lam

Mama Ita























Comments

Popular posts from this blog

Cerita Susu Ibu Di Petang Hari

Betul Ke Kajian Kata Makan Pedas Boleh Kuruskan Badan?

Zikir Penenang Jiwa, Hadiah Allah Untuk Kita