Cook With Iman

Assalam'mualaikum

Teks: Hasnita Sawal - nitasawal@gmail.com
Foto: Kamera iPad


Hidangan makan malam hari ini yang simple tapi tak habis-habis dipuji suami dan anak-anak. Terus bikin mama kembang setaman. Alhamdulillah Ya Allah atas rezeki yang Kau kurniakan hari ini.

"Jangan nak ngade sangatlah Ita. Sakit sikit je pun," bisik saya dalam hati.

Sakit ni kalau dilayan memang menjadi-jadi nanti. 

Anak-anak mengadu kelaparan tetapi baik hati mengaku tidak lapar pula apabila melihat mama kesakitan. 

En.suami sudah bergegas keluar kerana urusan bisnes usai solat maghrib. Pesannya supaya saya bawa anak-anak pergi makan di kedai depan rumah tetapi saya pula yang tak lalu.

Saya bingkas bangun dari katil sambil meluruskan tangan kanan yang sengal-sengal.

"Mama tak pelah. Rehat je, kita orang tak lapar sangat. Kita orang makan biskut je. Kesian mama sakit tangan," kata Alya.

Tak sampai hati pula melihat mata mereka yang bulat memerhati sambil menahan perut yang lapar (itu sudah pasti).

Saya terus meminta Alya membantu mengupas bawang untuk memasak sup daging. Daging yang memang sudah direbus sejak malam semalam memudahkan tugas untuk memasak di malam hari.

Sambil mengupas bawang dan kentang, Alya sempat bercerita ada kawan-kawan sebayanya masih tidak pandai mengupas bawang. 

Katanya mereka langsung tidak pernah membantu ibu memasak di dapur. 

"Habis tu kalau mama diaorang masak, diaorang buat apa"?

"Diaorang chatting dengan kawan ke, tengok tv ke," jawab Alya.

Saya selalu pesan pada Alya supaya jangan malas menjenguk ke dapur. 

Sekurang-kurangnya kena pandai buat tugas asas di dapur. Alhamdulillah, Alya sudah mampu memasak nasi, goreng telur dadar, cheese burger dan makaroni goreng selain membasuh pinggan mangkuk dan mengemas dapur.

"Oh kalau saya dulu mau kena bebel sepanjang hari dengan emak kalau malas ke dapur."

Saya masih ingat lagi, ketika seusia Alya, saya suka membontoti pergerakan mak di dapur. Saya suka perhatikan cara emak memasak. Di situlah bermulanya pelajaran pertama saya memasak.

Dapur emak menjadi kelas memasak saya yang pertama. Sergahan dan teguran emak menjadi santapan telinga saya. 

Jangan sesekali silap cara potongan bawang atau cili mengikut jenis masakan, alamat kena marah dengan emak. Sampai sekarang saya masih lagi bertanya emak jenis potongan bagaimana yang dikehendaki apabila membantunya memasak.

Pelajaran asas yang paling saya tidak suka buat iaitu menumbuk kunyit, halia atau bawang. Boleh dikatakan selang sehari saya perlu menumbuk kunyit dan halia iaitu bahan asas utama masakan asam pedas Johor.

"Asyik masak asam pedas je mak," kata saya sambil menumbuk kunyit dan halia dalam lesung batu.

Ketika kecil saya jadi bosan asyik dihidangkan lauk ikan masak asam pedas hampir setiap hari. Dalam hati hairan kenapalah emak tak bosan-bosan makan asam pedas. 

Tetapi apabila saya meningkat dewasa dan sudah merantau jauh dari rumah emak, asam pedas ikan parang mak menjadi lauk yang saya rindui. 

Emak saya tukang masak keluarga yang hebat. Pernah meniaga kedai makan dan menjadi tukang masak kantin sekolah, membuatkan hasil air tangannya sentiasa dirindui anak-anak. 

Emak memang hebat dalam bab memasak. Bila kami semua adik-beradik pulang ke kampung, emak tak berhenti memasak di dapur. Ada sahaja juadah yang disediakan mengikut kegemaran anak-anak.

Emak juga tak pernah lupa membawa bekalan makanan wajib iaitu ayam kicap, sambal goreng dan rendang daging siat setiap kali ke rumah anak-anak.

Kalau tahu emak hendak datang ke rumah, bukan saya yang menyediakan masakan untuk menyambut kedatangannya tetapi saya pula yang tak sabar menyambut kedatangan emak bersama hidangan lazatnya itu...hehehe

Sudah puas berpesan supaya mak tak payah susah-susah memasak kalau hendak berjalan, tapi dia tetap bertungkus-lumus demi memastikan anak-anak dan cucunya gembira. Itulah emak saya yang hebat dan istimewa.

Betapa hebatnya air tangan seorang ibu. Mengikat kasih abadi dalam diri anak-anak. Tidak perlu taburan wang ringgit dan hadiah yang mahal. Cukup menghidangkan anak-anak dengan makanan yang dimasaknya dengan penuh kasih sayang.

Ke mana saja kami pergi, kasih emak sentiasa di hati. Air tangan emak yang menjadi darah daging ini membuatkan dirinya kami letak di tempat yang teristimewa. 

Saya juga ingin lakukan perkara yang sama terhadap anak-anak. Saya mungkin tidak sehebat emak yang mampu masak pelbagai jenis juadah. Kekangan masa kerana bergelar ibu berkejaya membuatkan ada kalanya saya tidak dapat memasak.

Tetapi saya berusaha sedaya upaya bangun seawal 5 pagi memasak bekalan makan tengahari untuk anak-anak. Terasa puas dapat membekalkan mereka air tangan saya setiap hari ke sekolah. Walaupun masakannya 'simple' tetapi pujian diberi tinggi melangit.

Saya rasa semua ibu pun akan menerima pujian daripada anak-anak tentang masakan. Semua anak akan mengatakan masakan ibu mereka yang paling sedap di dunia.

Teringat pula saya kata-kata lucu yang spontan keluar dari mulut Aiman satu ketika dulu.

"Mama lain kali mama masak penuh kemarahan dan kebencian lah," kata Aiman tiba-tiba.

"Eh kenapa pulak,"? tanya saya hairan.

"Yelah kalau mama masak penuh kasih sayang nanti sedap sangat. Aiman nak makan banyak nanti," jawabnya selamba.

Ada-ada saje budak Aiman ni. Kelakar pula saya dengar kata-katanya yang lurus itu. Ada pulak dia suruh mama masak penuh kebencian.

Saya masih ingat lagi kata-kata seorang ustaz semasa kuliah di masjid pada bulan Ramadan lalu. Katanya orang perempuan ini bertuah kerana banyak perkara yang dilakukan boleh menjana kepada pahala.

Bemula celik mata bangun dari tidur sehinggalah tutup mata hendak tidur, orang perempuan boleh kumpul banyak pahala asalkan dia niat ikhlas melakukan tugas harian sebagai isteri dan ibu kerana Allah Taala.

Memasak antara tugas mudah yang boleh mengumpul pahala. Kata ustaz 'cook with iman' amat menarik hati saya. Sehingga sekarang saya ingat kata-kata itu. 

Memasaklah untuk keluarga kerana Allah, In shaa Allah keluarga yang makan juga mendapat ganjaran pahala dan aliran kasih sayang. 

Akhlak anak-anak dapat dibentuk melalui masakan seorang ibu. Doa seorang ibu dalam setiap masakannya mampu melembutkan hati anak-anak. 

Amalan membaca surah-surah al-Quran setiap kali memasak atau mengalunkan zikrullah sudah pasti memberikan ganjaran pahala berlipat kali ganda kepada diri sendiri dan ahli keluarga.

Ikatlah suami dan anak-anak dengan air tangan kita. In shaa Allah kasih sayang yang terbina kerana Allah akan berpanjangan ke akhir hayat.

Jom kita masak dengan iman!

Wallahu a'lam

Mama Ita














Comments

  1. untung masih punya emak..saya juga rindu masakan emak saya..

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerita Susu Ibu Di Petang Hari

Betul Ke Kajian Kata Makan Pedas Boleh Kuruskan Badan?

Zikir Penenang Jiwa, Hadiah Allah Untuk Kita