Cermin Ajaib Ke Cermin Pecah?

Assalam'mualaikum

Teks: Hasnita Sawal - nitasawal@gmail.com
Foto: Kamera iPad

"Wah! Cantiknya bulan malam ni!"

"Mama, kita kena cakap Subhanallah kalau tengok benda yang Allah cipta tu cantik," beritahu Aiman tulus.

Oh, saya jadi termalu alah pula. Ditegur anak yang belum mencecah usia lapan tahun.

Tapi apa salahnya kalau yang ditegur tu perkara yang betul. Sebenarnya saya sendiri yang mengajar dia tentang perlunya menyatakan rasa kagum melihat ciptaan Allah SWT dengan ucapan yang betul.

Suatu hari, saya berborak dengan Aiman.

"Aiman nak kumpul banyak pahala tak"?

"Nak..nak.."

Bagi kanak-kanak, pahala itu umpama gula-gula. Walaupun tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi mereka menginginkannya kerana mahu masuk ke syurga Allah.

Syaratnya, kita perlu selalu ceritakan kepada mereka  tentang syurga dan neraka, dosa dan pahala pada bila-bila masa sahaja. Kanak-kanak mempunyai sikap ingin tahu yang sangat tinggi.

Dari situ nanti mereka akan asyik bertanya sehingga mendapat jawapan yang memuaskan hati. Bersyukurlah ketika anda sedang melalui fasa anak asyik bertanya kerana itu petanda anak membesar dengan cerdas.

"Senang je. Kalau Aiman tengok apa-apa saja yang Allah cipta tu cantik, cakaplah Subhanallah. Contohnya bulan yang cantik, matahari yang cantik, laut yang luas, bintang yang banyak kat langit atau kucing yang comel," beritahu saya.

"Kalau ada orang puji Aiman ni hebat atau dapat sesuatu yang Aiman nak sangat, cakaplah Alhamdulillah. Tu tanda kita terima kasih kat Allah. Sebab puji-pujian tu hanya layak untuk Allah saja."

Kalau anak-anak mengadu susah nak tidur kerana takut atau sebagainya, saya dan en.suami akan suruh mereka berzikir

"Mama, semalam Aiman tak boleh tidur tapi Aiman kejam je mata lepas tu zikir banyak-banyak, lama-lama tertidur pun," ngadunya kalau dia susah tidur walaupun lampu rumah sudah tutup semuanya.

Itu antara pesanan saya masa anak-anak berusia antara lima hingga enam tahun. Rupanya dia masih ingat pesanan saya sehingga sekarang.

Betullah mengikut teori perkembangan anak yang mengatakan anak kecil dari usia lahir sehingga enam tahun sama seperti sebuah span yang basah. Pelajaran awal yang mereka terima atau lihat akan kekal dalam memori.

Sebagai ibu bapa kita mesti penuhkan setiap inci pemikiran anak-anak dengan segala ilmu yang bermanfaat. Satu hati nanti ia akan mengeluarkan semula pelajaran tersebut mengikut situasi yang sesuai.

Ketika kita terlupa yang kita pernah mengajar mereka hal tersebut, anak yakin memberitahu itu yang diajar oleh kita. Bayangkan kalau kita tunjukkan contoh tidak baik di depan mereka. Jangan marah kalau mereka juga lakukan perkara yang sama satu hari nanti.

Petang semalam semasa memandu pulang ke rumah, saya jadi emosi dengan kereta di hadapan saya. Sudahlah dia memandu kereta mewah jenama BXX, dengan selamba dia membuang sampah keluar dari kereta.

"Eh, dia ni, suka ati je buang sampah merata-rata," kata saya seorang diri kerana anak-anak sedang tidur.

Saya memang jenis manusia yang paling pantang tengok orang buang sampah suka hati dari kereta. Saya terfikir seorang diri. Kalau anaknya ada bersama dalam kereta itu, mesti dia tengok perbuatan ibu/ayahnya.

Kalau anaknya masih kecil dan tidak tahu lagi membezakan perkara baik atau buruk mesti beranggapan perbuatan membuang sampah keluar dari kereta adalah betul.

Patutlah saya selalu nampak kanak-kanak dengan selamba mencampak sampah  dari dalam kereta ke jalan raya tanpa rasa bersalah. Rupa-rupanya itu yang diajar ibu bapa mereka. 

Jadi jangan hairanlah kenapa negara kita ni banyak sangat sampah sarap bersepah dan masalah itu tak akan selesai kerana tabiat buruk membuang sampah merata-rata memang diwarisi.

Kita kan cermin kepada anak-anak. Oleh itu, jadilah cermin paling hebat di mata anak-anak. Nak jadi cermin ajaib ke atau nak jadi cermin pecah? Semuanya terletak di tangan kita.

    Aiman sayang sangat pada kucing. Katanya kucing haiwan kesayangan Rasulullah s.a.w, jadi dia pun nak ikut macam Baginda. 

Wallahu a'lam

Mama Ita











Comments

Popular posts from this blog

Cerita Susu Ibu Di Petang Hari

Betul Ke Kajian Kata Makan Pedas Boleh Kuruskan Badan?

Zikir Penenang Jiwa, Hadiah Allah Untuk Kita