Anak Gadis Jambatan Ke Syurga


Assalam'mualaikum

Teks : Hasnita Sawal - nitasawal@gmail.com

   Wahai anakku, jadilah anak yang menyenangkan hati ibu bapa
      
Malam semalam, anak saya Alya menyerahkan borang permohonan ke sekolah agama berasrama (Maahad Tahfiz Integrasi Sains dan Teknologi) yang diberikan oleh ustazahnya.

Semasa mengisi borang tersebut saya bertanyakan Alya, sama ada dia betul-betul berminat untuk masuk ke sekolah tersebut atau tidak.

Katanya dia memang berminat tetapi tidak lagi minat bidang Sains. Jadi bagaimana, sedangkan dahulu cita-citanya hendak menjadi seorang Saintis.

“Mama, betul ke Cikgu cakap makin kita besar, cita-cita kita semakin berubah-ubah?

Dulu masa kecik, Alya ada banyak cita-cita tetapi sekarang ni Alya rasa tak minat semua cita-cita tu.”

Oh saya jadi risau. Adakah ini satu lagi simptom peralihan usia anak ke alam remaja?  Sudah tidak punya cita-cita. Sudah keliru dengan apa yang dia perlu jadi bila dewasa nanti.

“Bukan ke Alya bagitau Mama yang Alya nak jadi businesswoman?” tanya saya kepadanya.

“Sebenarnya Alya nak jadi seorang yang banyak duit…” Tegas sekali bunyinya. Dalam hati sempat bersuara, adakah anak saya akan menjadi seorang yang terlalu cintakan dunia Ya Allah!

Jauhkanlah dia daripada mencintai dunia melebihi  akhirat Ya Allah, doa saya dalam hati.

“…menjadi anak yang solehah, yang ikut perintah Allah SWT, yang boleh tolong ramai orang dengan duit Alya yang banyak tu, yang boleh pergi Umrah dan Haji dengan Mama dan Baba bila-bila masa sahaja,” sambung Alya sambil tersenyum menampakkan lesung pipitnya yang dalam.

Hati saya jadi cair. Cair secair-cairnya mendengar impian seorang anak yang masih suci hati dan perasaannya. Semoga Allah SWT memakbulkan impianmu wahai anak.

“Alhamdulillah, bagusnya cita-cita Alya. Mama doakan tercapai cita-cita Alya tu.”

Anak yang seorang ini memang macam-macam ulahnya. Kadang kala kita boleh jadi marah dengan kerenahnya tapi ada kalanya hati jadi tersentuh dengan keprihatinannya.

                          Ada-ada saje gaya posing si Alya ni

Ketika saya ke Vietnam minggu lepas, En.suami dan anak-anak (termasuk saya sendiri) diserang demam dan batuk teruk.

Walaupun berat hati meninggalkan mereka tetapi kerana komitmen sudah terikat maka saya perlu  pergi juga. Mesej whatsapp yang saya terima daripada Alya ketika saya sudah hampir masuk ke dalam pesawat, benar-benar menyentuh hati saya.

Dia bertanyakan sama ada saya sudah berangkat atau belum. Kemudian dia meluahkan kerisauannya terhadap kesihatan si bapa. Katanya dia risau dengan Babanya yang asyik batuk dan bunyinya kedengaran teruk sambil menghantar wajah ikon ‘smiley’ sedang menangis.

Saya jadi sedih dan bersalah. Perasaan itu bercampur-aduk. Alya memang begitu. Dia nampak bersahaja dan tidak mengambil berat, hakikatnya dia seorang yang prihatin terhadap keadaan ahli keluarganya.

Biarpun dia sering bergaduh dengan satu-satunya adik yang dimiliki tetapi jika saya memarahi si adik, dia cepat kasihan dan meminta saya jangan memukul atau memarahi Aiman. Dia juga mudah sedih melihat adiknya dalam kesusahan seperti tidak siap kerja sekolah atau kehabisan duit di sekolah. 

Dia rela tidak membeli makanan asalkan dapat memberi duit tersebut kepada adik (walaupun selepas itu akan mengungkitnya).

Saya bukan hendak memuji Alya. Dia juga tidak sempurna. Masih perlu bimbingan dan  panduan dalam melalui kehidupan penuh pancaroba ini. Tetapi saya percaya didikan awal membentuk dirinya menjadi anak yang bertanggungjawab.

Adakalanya bebelannya lebih keras dan panjang berbanding saya, jika si adik berperangai  ‘nakal’ dan tidak mendengar kata. Katanya kita tak boleh terlalu manjakan Aiman, nanti dia tak dengar kata.

Biasanya apabila berdekatan, si anak sukar menunjukkan sifat tanggungjawabnya tetapi apabila berjauhan dia akan bersifat sebaliknya. Ini menunjukkan betapa pentingnya mempengaruhi jiwa anak-anak sejak usia mereka kecil lagi.

Menjaga anak perempuan dan anak lelaki memerlukan pendekatan yang berbeza. Anak perempuan mempunyai emosi yang sangat halus dan mudah sensitif. Sejak kecil saya suka bercerita, berbual dan mendengar cerita Alya.

Sejak Alya bayi lagi, saya suka bisikan di telinganya agar menjadi anak yang solehah dan berakhlak mulia. Doa saya tidak pernah putus meminta perkara itu. Setiap malam apabila anak-anak sudah tidur, saya akan menjenguk mereka di dalam bilik.

Saya akan usap kepala mereka, memberitahu mereka yang saya sayangkan mereka. Tidak lupa saya cakap dengan mereka agar jadi anak yang soleh dan solehah dan patuh perintah Allah SWT sebelum diakhiri dengan ciuman di dahi.

Itu rutin apabila hendak cepat. Ada masa (sepatutnya diamalkan setiap hari) saya akan membaca “Ya Latif” sebanyak beberapa kali (diajar oleh mak saya) dan tiupkan pada ubun-ubun kepala anak-anak supaya Allah melembutkan hati mereka menjadi anak yang mudah menerima ajaran dan didikan ke jalan yang diredhaiNYA.

Saya suka bertanyakan tentang hal sekolahnya, kisah kawan-kawannya, cerita cikgunya dan apa sahaja dengan Alya. Alya, anak yang suka bercerita. Jadi setiap hari saya akan mendengar macam-macam ceritanya.

Saya kenal hampir kesemua kawan-kawannya. Jika sudah lama saya tidak mendengar cerita salah seorang kawannya, saya akan bertanyakan kepadanya.

Dalam buku Prophetic Parenting Cara Nabi Mendidik Anak tulisan Dr. Muhammad Nur Abdul Hafizh Suwaid yang saya baca, ada memberitahu betapa pentingnya mendidik anak perempuan dengan mencukupkan bekalan agama dan akhlaknya.

“Seorang ibu, apabila menjadi ibu yang baik, maka tunggulah anaknya akan menjadi manusia yang sempurna.” Demikian antara petikan ayat dalam buku tersebut. Saya berdoa semoga saya juga mendapat manfaat tersebut.

Ibu adalah guru pertama seorang anak. Anak kita ibarat kain putih yang bersih. Terserahlah kepada kita mencorakkannya menjadi apa. Masih ingat lagi kata-kata seorang ustaz dalam kuliah di masjid yang mengingatkan saya tentang tanggungjawab berat yang dipikul sebagai ibu bapa. 

Katanya "anak gadis adalah jambatan ke syurga bagi ibu bapa." Jom semak diri kita. Sudah siapkah jambatan kita itu?

Salam malam

Mama ita








Comments

  1. Kak Ita, saya pun bacakan Ya Latif untuk diri sendiri. Sebabnya dalam diri saya pun ada sifat degil yang susah nak cerita.. hehehe..

    ReplyDelete
  2. Cita-cita Acik Naros dan Alya seakan sama. Mungkin Acik Naros lain sikit sebab dah tua dan banyak fikir. Tapi, inti patinya sama iaitu nak jadi KAYA. Hehehe...

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerita Susu Ibu Di Petang Hari

Betul Ke Kajian Kata Makan Pedas Boleh Kuruskan Badan?

Kerisauan Seorang Ibu