Anak Cemerlang Cara Rasulullah s.a.w


Assalam'mualaikum

Teks: Hasnita Sawal - nitasawal@gmail.com

Semoga anak-anak menjadi aset terbaik saya menuju syurga ALLAH SWT

Malam tadi entri yang sudah 80% siap ditaip hilang kerana kesilapan teknikal. Oh! Rasa mahu menjerit tetapi saya beristigfar. Ada hikmah yang tersembunyi daripada semua itu. 

Cuba memujuk hati yang terkilan kerana sudah tentu hasil tulisan pertama yang dinukilkan tidak akan sama dengan idea selepas itu. Mungkin lebih baik atau mungkin juga lagi teruk. Wallahu a'lam. Hanya ALLAH jua yang mengetahui.

Saya terus tutup Ipad dan tidur awal. Sebenarnya mulai malam semalam saya sudah berazam untuk tidur awal. Bukan saya sahaja tetapi seluruh ahli keluarga. 

Bukan tidak pernah tidur awal tetapi tidur awal mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. Ilmu yang baru kami pelajari dalam kuliah maghrib di masjid. Ia antara rahsia mendidik diri dan anak-anak menjadi cemerlang dunia dan akhirat

Semasa mengendalikan kolum Soal Jawab Psikologi Anak dalam majalah Pa&Ma dulu, antara soalan popular yang sering ditanyakan oleh ibu bapa adalah mengapa anak kecil mereka (dalam lingkungan usia empat tahun ke atas) sukar tidur malam.

Kebanyakan anak-anak sekarang suka menonton kartun di televisyen atau bermain game di tablet. Akibat tidak mahu anak mengamuk di tengah malam, ibu dan ayah turutkan sahaja kemahuan anak. Asalkan anak mahu diam. Akhirnya si anak terbiasa tidur lewat, bahkan ada yang selewat tiga atau empat pagi. Apa?

Kasihan anak tersebut. Ekoran dari itu si anak sukar bangun pagi untuk dihantar ke taska atau sekolah tadika. Mengamuk dan buat perangai di pagi hari. Kasihan juga ibu dan ayah kerana tidak dapat tidur yang berkualiti.

Kita perlu berubah! Saya tersentak seketika apabila mendengar kuliah ustaz malam tadi (maaf lupa nak catat namanya) yang berasal dari Terengganu tetapi sudah 16 tahun berhijrah di negeri Sabah kerana berdakwah. Terasa macam kena smash di muka.

Katanya kalau kita mengidamkan anak-anak yang soleh, cemerlang akademik dan agama, maka kita perlu mencontohi amalan Rasulullah s.a.w. Rumah adalah tempat pendidikan terbaik. Ibu bapa perlu menjadi contoh tauladan yang baik kepada anak-anak.

Semuanya ALLAH SWT telah ceritakan dalam al-Quran. Al-Quran sebagai mukjizat terhebat memberikan nikmat yang hebat kepada manusia jika mengamalkannya. Nikmat al-Quran perlu dijelmakan dalam hidup ini dan ia diajarkan kepada kita oleh Pesuruh ALLAH, Nabi Muhammad s.a.w.

Berikut antara tip yang saya kongsikan jika mahu anak kita kuat dan hebat dalam pendidikan dan akhlaknya :

1. Pastikan mengejut anak bangun sebelum solat subuh. Bangun awal dan terus mandi sebelum masuk waktu subuh sangat bagus. Antara kebaikannya ia dapat memulihkan penyakit zahir manusia. Saya pernah mendengar satu ceramah dalam radio IKIM yang memberitahu Rasulullah s.a.w mengamalkan mandi pagi sebelum subuh.
Waktu pagi sebelum dan selepas subuh juga adalah masa paling bagus untuk menghafaz. Jika tidak mendengar kuliah, banyakan membaca al-Quran, berzikir dan beristigfar sehingga matahari terbit.

2. Ibu bapa mesti bangun solat malam. ALLAH berfirman dalam Surah Muzzamil ayat 1-3 yang bermaksud “Wahai orang yang sedang berselimut, bangunlah mengerjakan solat malam, walaupun sedikit.”  Ini antara yang paling sukar diamalkan oleh saya walaupun dalam hati sentiasa berniat untuk bangun. Nampaknya selepas ini saya perlu melawan bisikan syaitan demi mengikut amalan sunnah Rasulullah s.a.w.

3. Tidur seketika sebelum waktu Zuhur atau disebut Qailullah. Ia adalah amalan sunnah Rasulullah s.a.w. Tidur dalam masa setengah jam hingga 45 minit ini mempunyai kebaikannya. Menurut Nabi, ia dapat memberikan tenaga untuk bangun awal di tengah malam.

Paling mengejutkan saya, apabila ustaz memberitahu amalan tidur seketika itu dipraktiskan oleh pelajar-pelajar di Jepun yang tidur (membaringkan kepala di atas meja) pada waktu tengah hari di sekolah. 

Masya Allah, amalan ini diamalkan oleh orang kafir, mengapa kita yang menjadi umat Nabi Muhammad s.a.w tidak mengamalkannya? Oh! Ruginya kita.

Jangan guna masa selepas zuhur untuk menghafaz. Sebaliknya masa itu untuk membuat latihan matematik, lukisan dan sebarang aktiviti melibatkan pergerakan.

4. Selepas solat asar pula, amalkan buat aktiviti riadah yang dapat mengeluarkan peluh. Cukuplah selama ini kalau kita membiarkan anak leka bermain game atau menonton televisyen.

5. Selepas solat isyak dan solat sunat, segera masuk tidur. Kata Syeikh Abdullah Nasir Ulwad, anak-anak yang dibiarkan tidur di waktu petang akan berjaga di waktu malam. Anak-anak ini akan mengalami kerosakan. 

   Kerana apa? Kerana apabila mereka berjaga sehingga lewat malam, mereka akan menonton televisyen yang kebanyakannya merosakan fikiran anak. Nabi Muhammad s.a.w sendiri, selepas solat isyak, solat sunat empat rakaat dan solat sunat witir tiga rakaat akan segera tidur supaya mudah bangun solat malam.

6. Jaga pemakanan anak-anak. Ajar anak minum air masak dua hingga tiga liter sehari. Ia terbukti baik untuk tubuh hasil kajian kesihatan. Rasulullah s.a.w berpesan jika mahu cerdas fikiran, minum air masak secukupnya.

Alhamdulillah, pagi ini dengan izinNYA, kami berjaya mengaplikasikan teknik yang diajar Rasulullah s.a.w. Saya berdoa semoga saya dan keluarga istiqomah melakukan amalan tersebut. 

Semoga kita semua dapat menjadi ibu bapa yang mampu melahirkan anak-anak cemerlang di sisi ALLAH SWT.

Pagi tadi, pertama kali Aiman mengikut En.suami solat subuh berjemaah di surau. Sebelum keluar ke sekolah, dia sempat berkata, “terasa seperti dilahirkan semula.” 

Kami hanya berpandangan dan tersenyum sambil dalam hati bersyukur kepadaNYA.

Dia sangat ceria dan tidak moody. Untuk kuatkan semangatnya yang mengantuk ketika baru dikejut, saya kata, “Aiman kan nak jadi umat Rasulullah yang kuat dan hebat, sebab tu kena bangun awal sebelum subuh.”

Dia diam dan mungkin cuba menghadam kata-kata saya. Selepas mandi, dia ceria dan kata “tak ngantuk dah mama.” Saya hanya tersenyum.

Wallahu a'lam

Mama Ita


Comments

  1. Alhamdulillah, moga kami mengikut jejak- jejak ini. Tiada istilah terlambat. Better late than Never.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerita Susu Ibu Di Petang Hari

Betul Ke Kajian Kata Makan Pedas Boleh Kuruskan Badan?

Kerisauan Seorang Ibu