Friday, October 18, 2013

Aku Berkorban Keranamu Ya Allah

Assalam'mualaikum

Teks: Hasnita Sawal
Foto: Sendiri dan ihsan Kak Mirie




Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana hari ni saya berjaya melaksanakan ibadah qurban. Selama hidup hampir 40 tahun, inilah kali pertama saya buat ibadah qurban. Terukkan saya!

Saya sedih dengan diri sendiri. Selama ini Allah bagi nikmat rezeki, saya rasa masih  tak cukup untuk buat ibadah qurban. Saya biarkan sambutan Aidil Adha berlalu tanpa makna sebenar dalam diri saya. 

 Astagfirullahal 'adzim “Aku mohon ampun kepada Allah Yang Maha Agung."

Masa hendak buat keputusan untuk join ibadah qurban di ofis pun, saya berperang dengan diri sendiri. Antara hendak buat qurban atau tak payah. Dalam hati berkira-kira dengan duit yang ada konon hendak guna shopping handbag baru.

"Tak habis-habs ke nak beli beg baru Hasnita oiiiii," kata hati saya.

"Ala tapi dah lama tak shopping designer handbag," suara hati jahat masih lagi menghasut. 

Dalam pada berperang dengan diri sendiri dan tarikh akhir pengesahan nama untuk qurban semakin suntuk, saya dengan tidak sengaja asyik terdengar ceramah daripada ustaz tentang ibadah qurban.

Tak kira sama ada ketika di masjid atau semasa mendengar radio waktu memandu kereta. Biasanya selepas dengar ceramah ustaz, hati saya berkobar-kobar untuk melaksanakan ibadah qurban tahun ini.

Tapi selang beberapa hari kemudian, hati kembali menjadi suam. Oh! lemahnya iman saya. Walhal siang dan malam fikiran saya asyik memikirkan tentang ibadah qurban. Hati kuat menyuruh saya melakukannya. 

Tak boleh jadi ni, detik saya. Saya mesti buat ia kerana Allah SWT. Mungkin Allah sudah tunjukkan jalanNYA dengan membuka pintu hati saya untuk membuat ibadat qurban. Benarlah sabda Rasulullah s.a.w, sebesar-besar jihad adalah melawan hawa nafsu sendiri.

Subhanallah, sebaik saya mengesahkan nama dan membuat bayaran, saya rasa satu perasaan yang sangat luar biasa. Tak tahu nak cakap. 

Berlatar belakang lembu yang ada bahagian saya 

Saya rasa macam hilang satu bebanan. Rasa gembira dan bahagia sangat. Lebih indah perasaan yang dirasakan berbanding ketika baru membeli handbag LV dulu.

Saya tak rasa risau duit akan berkurangan. Saya tak risau tak dapat tambah koleksi handbag baru. Saya tersenyum dan bersyukur kerana erti pengorbanan sebenar dapat saya nikmati buat pertama kali.

Manisnya rasa apabila dapat mendahulukan Allah SWT dalam urusan kehidupan. 

"Semoga Allah SWT menerima ibadah qurban saya tahun ini," niat saya dalam hati tatkala menyaksikan titisan darah lembu yang disembelih membasahi tanah.

Semoga juga ia menjadi titik permulaan untuk saya menjadikan ia amalan setiap tahun dengan izinNYA. Bersyukur juga sebab saya telah membuat rekod peribadi. 

Berjaya mengawal nafsu shopping handbag. Mungkin bagi orang lain ia biasa-biasa tapi bagi saya ia pencapaian peribadi.

Wallahu a'lam
















1 comment:

  1. Dalam bahasa Arab, korban bermaksud dekatkan diri dengan Allah SWT. Bila kita dah dekat dengan Allah SWT, apa sahaja yang kita nak Dia mesti kasi :-)

    ReplyDelete