Semua Atas Izin DariNYA


Assalam'mualaikum



Teks : Hasnita Sawal - nitasawal@gmail.com



Syukur Alhamdulillah. Semuanya dengan izin dariNya. DIA yang melorongkan setiap apa yang berlaku dalam hidup kita. Saat detik mencatat entri ini saya masih teruja kerana akhirnya cita-cita untuk menyertai pasukan pengasas kelas asas penulisan dan blog Masayu Ahmad dan guru online baru NettyAh Hiyer dipermudahkan. Amin...

Kerja menulis sudah menjadi darah daging saya sejak 14 tahun yang lalu. Bermacam ilmu dan pengalaman menjadi sebahagian daripada diri saya. Tidak pernah terfikir hendak berkongsinya dengan orang lain. Tapi semuanya berubah apabila mendengar nasihat cikgu Ayu dan tentunya apabila pintu hati dibuka oleh Sang Pencipta.

Katanya rugi kemahiran menulis kita tidak digunakan dengan sebaiknya. Jika kena gaya, catatan harian juga boleh nampak menarik dan pastinya ilmu yang dikongsi akan mendapat pahala berpanjangan selagi mana ia terus dikongsi. In shaa ALLAH.

Tiada lagi alasan kekangan masa kerana ALLAH memberikan kita masa 24 jam untuk kita menyusun dengan sebaiknya. Saya mengaku sebelum ini selalu bagi alasan tiada masa untuk ini, tiada masa untuk itu. Semuanya tiada masa. Konon terlalu sibuk.

Kehidupan harian sibuk dengan urusan kerja di pejabat dan rumah. Memang tak pernah habis-habis dibuatnya. Penat lelah bekerja hilang saat mata dilelapkan untuk seketika dan rutin harian bermula lagi sebaik hari baru bermula.

Pernah tak kita terfikir saat sedang dalam kesibukan itu malaikat maut datang mencabut nyawa kita? "Eh janganlah cakap pasal mati." Tentu sahaja itu yang akan kita ucapkan apabila ayat itu yang kita dengar. Rasa macam tak nak dengar pasal kematian sedangkan ia dituntut oleh agama.

Tetapi persepsi saya tentang masa jadi berubah apabila pintu hati saya dibukakan oleh ALLAH untuk melangkahkan kaki ke rumahNya. Bukan tidak pernah ke masjid selama ini. Tetapi sebelum ini sekadar singgah mendirikan solat tatkala berpergian dalam perjalanan.

Semuanya bermula pada Oktober tahun lepas apabila hendak memilih pusat tuisyen anak yang akan menduduki peperiksaan UPSR. Saya dan suami sepakat memilih yang bersebelahan Masjid Al-I'tisam TTDI Jaya. Niat asal supaya lebih berkat sebab dekat dengan masjid. Tetapi kemudian kami terfikir mengapa kami tidak sahaja bersolat jemaah di masjid sementara menunggu anak habis kelas. Dapat juga pahala berjemaah.

Hari pertama pergi ke masjid saya seperti 'alien'. Berbalas senyuman dan bersalaman dengan ahli masjid muslimat adalah jalan terbaik untuk menghilangkan rasa malu. Kebanyakan mereka dalam lingkungan usia 4 series dan 5 series. Dalam hati sempat berkata, memang masjid ni untuk mereka yang dah usia emas sahjakah? Saya juga sedang berkira sama ada hendak memanggil kakak atau makcik? Hmmm...

Istimewanya Masjid Al-I'tisam adalah masjid yang 'hidup'. Mengapa saya kata 'hidup'? Ia hanya bangunan masjid yang lama dan tidak begitu canggih seperti masjid-masjid lain yang baru. Tetapi seperti ada NUR tersendiri apabila berada di dalamnya. Patutlah masjid ini sentiasa ramai jemaahnya. Setiap kali lalu di laluan depan masjid, saya dan suami sentiasa memuji dengan kehadiran jemaah yang ramai setiap lima waktu solatnya. Boleh dapat markah penuhlah kiranya.

Akhirnya rahsia itu terbongkar apabila saya turut menjadi salah seorang jemaahnya (walaupun hanya untuk solat Isya' sahaja... Alhamdulillah). Setiap malam akan ada kuliah yang disampaikan oleh para ustaz yang bukan calang-calang. Ada ustaz youtube, ustaz tv, ustaz majalah bahkan ustaz yang belum terkenal.

Terasa diri amat kerdil tatkala mendengar ceramah ustaz di hari pertama (tak ingat namanya). Terasa sayu menyelubungi diri. Betapa alpanya saya selama ini dengan kesibukan duniawi. Terasa seolah diri ini akan diberi peluang untuk bertaubat apabila usia emas datang menginjak. Hakikatnya mati itu akan datang pada bila-bila masa sahaja sama ada di usia muda atau tua. Kita tidak pernah tahu bila, bahkan apa yang akan berlaku kepada kita satu saat daripada sekarang juga kita tidak tahu. Allahuakhbar!

Tajuk kuliah Tanda-Tanda Hari Kiamat amat menggerunkan saya. Bukan selama ini tidak berasa gerun tetapi rasa gerun itu sekadar di pinggiran bibir sahaja. Selepas mendengar kupasan sebenar detik kedatangan hari kiamat saya jadi panik. "Ya Allah, janganlah Engkau datangkan hari kiamat lagi, sesungguhnya aku belum bersedia," doa saya dalam hati sambil air mata berlinangan kesedihan dan ketakutan. 

Antara isi kuliah hari kiamat yang paling saya ingat adalah tentang matahari yang akan terbit dari arah barat sebagai tanda kiamat sudah dekat. Ketika itu ALLAH memerintahkan matahari berubah arah naiknya daripada timur ke barat. 

Kata ustaz lagi, tanda perubahan yang paling ketara apabila kita akan rasakan malam yang cukup panjang iaitu dua kali ganda daripada malam biasa. Walaupun sudah puas kita tidur sampai penat tetapi hari tetap tidak cerah juga. Orang yang paling cepat menyedari waktu malam itu malam terakhir adalah mereka yang selalu bangun solat subuh di awal pagi dan selalu bangun solat malam. 

Ketika itu juga semua orang akan berbincang tentang malam hari yang panjang itu dan akan dibincangkan di seluruh dunia. Tidak lama kemudian fajar menyinsing tetapi dikejutkan dengan kejadian pelik apabila matahari terbit di tempat terbenam. Mereka tahu kiamat sudah dekat!

Orang-orang beriman akan menangis dan bertaubat kepada ALLAH. Untunglah orang-orang beriman. Pada hari itu juga semua orang menjadi tidak keruan. Semua orang tidak lagi pergi bekerja dan paling takut pada masa itu pintu taubat sudah ditutup oleh ALLAH. Manusia meraung-raung, memekik-mekik dan mula hendak meminta taubat tetapi sudah terlambat kerana ALLAH sudah membuka pintu taubat yang panjang jaraknya 70 tahun sejak dulu hinggalah saat matahari terbit dari barat.

Ya ALLAH meremang bulu roma mendengar kuliah ustaz tersebut. Apakah bekalan saya bila tiba hari tersebut nanti? Banyaknya masa saya dibazirkan dengan perkara sia-sia. Terima kasih Ya ALLAH kerana Engkau Maha Penyayang. Masih lagi engkau lorongkan aku mencari ilmu yang benar agar tiada lagi masa dipersiakan tanpa berisi. Sejak hari itu sedaya-upaya saya cuba perbaiki diri. Hati terasa dipanggil-panggil untuk terus ke rumahNYA. Semakin banyak belajar semakin banyak kekurangan diri saya rasakan. Sesungguhnya ilmu ALLAH itu sangat luas seluas-luasnya. 

Pesan ustaz lagi, tuntutlah ilmu walau hingga ke liang lahad. Bahkan menyebarkan ilmu ALLAH juga merupakan satu daripada kategori jihad. Justeru apabila ada peluang menuntut ilmu termasuk belajar asas penulisan dan blog, akan saya rebut biarpun sudah lebih sedekad saya bergelar penulis. Saya tetap merasakan diri saya masih kekurangan ilmu. Setiap hari adalah hari saya belajar dan menuntut ilmu. Saya berazam dengan diri sendiri supaya jangan pernah berkata malas dan tiada masa lagi. Mintalah dengan DIA agar dipermudahkan segala urusan. In shaa ALLAH dimakbulkan olehNYA.

Untung saya membuat catatan nota untuk setiap kuliah yang saya hadiri, In shaa ALLAH akan dikongsikan kelak sebagai ilmu yang bermanfaat kepada semua.

Wahai anakku, sesungguhnya orang yang hatinya terpaut dan cinta akan masjid, sebenarnya ia telah berhasil membina stamina keimanannya kepada ALLAH. Seperti firman ALLAH SWT dalam Surah At Taubah ayat 18: "Hanyalah orang yang memakmurkan masjid-masjid ALLAH ialah orang yang beriman kepada ALLAH dan hari kemudian."

Gambar sekadar hiasan




Salam manis,
 

Mama ita

Comments

  1. Semoga diberi peluang untuk mengunjungi masjid...bila ad 'hdbang kecil' ni agak susah utk ke rumah allah itu. Tapi memg rs janggal bila x pernh pegi then kita pergi. Rs mcm semua pndg...ye lemprln shj senyuman dan jemaah akn membalasnya. Natijhnya saya dapat tahu tempt taska yg bgs (ketika cr tempt untuk my kid)...ats nasihat jemaah surau...ye lps ini makin byk info berguna jika rajin kunjunginya...

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerita Susu Ibu Di Petang Hari

Betul Ke Kajian Kata Makan Pedas Boleh Kuruskan Badan?

Kerisauan Seorang Ibu