Didik Anak Cinta Al-Quran



Assalam'mualaikum

Teks :  Hasnita Sawal - nitasawal@gmail.com

Saya memang mengidam anak-anak bergelar Tahfiz dan Tahfizah satu hari nanti. Entah kenapa hati terpaut melihat kejernihan wajah anak-anak penghafal Al-Quran. Apatah lagi apabila mengetahui ganjaran yang bakal dinikmati. Maka saya selalu bercerita dengan anak-anak, Alya Izzati dan Muhammad Aiman tentang kelebihan bergelar penghafal Al-Quran.

Harapan saya agar sedikit sebanyak dapat menanam minat belajar ilmu Al-Quran dalam jiwa anak-anak seterusnya mengamalkan ia dalam kehidupan. Anak-anak kecil memang sangat bersih hatinya. Apa yang dilihat akan menjadi contoh ikutannya. Pada usia enam tahun ke bawah minda mereka ibarat sebuah span yang basah. Semakin banyak nilai murni diserap masuk semakin positiflah perkembangan diri mereka. Oleh itu pentingnya setiap ibu bapa mengetahui ilmu merangsang perkembangan anak-anak agar mereka membesar cerdas dan bijak.

Bermula saat itu saya memasang niat dan memohon dengan Allah agar ditunjukkan jalan yang mudah biarpun ia masih jauh lagi. Tetapi sekurang-kurangnya saya menggunakan senjata ampuh seorang ibu iaitu doa. Saya tidak pandai dan tiada kemahiran mengajar anak menghafaz ayat Al-Quran. Tapi Alhamdulillah, Aiman anak yang terang hati. Semuanya bermula tahun lepas masa Aiman darjah satu. Ustazah di sekolah agama memilihnya menghafal surah Al-Mulk untuk membuat persembahan sempena majlis berbuka puasa.

Dari situ saya perasan Aiman punya potensi untuk menghafal Al-Quran. Setiap hari selepas solat magrib, saya akan duduk bersamanya dan menghafal. Kami menghafal ayat pertama bersama-sama tetapi selang beberapa hari, Aiman sudah berjaya menghafal lima ayat sedangkan saya masih lagi sekadar satu ayat. Huhuhu adakah punca faktor usia? 

Biarpun ustazah sekadar menyuruhnya menghafal 10 ayat sahaja untuk persembahan tersebut tetapi Aiman tetap meneruskan hafalannya sehingga ke ayat 30. Alhamdulillah pada penghujung sesi persekolahan 2012 dia lancar menghafaz surah Al-Mulk.

Malangnya akibat kealpaan saya mengekalkan prestasi latihan hafazan menyebabkan Aiman terlupa hafazan surah tersebut pada tahun ini. Saya sedih, dia lagilah sedih. Kesibukan dan kealpaan menyebabkan kami kerugian. Saya anggap ia peringatan daripada ALLAH SWT. 

Tidak berputus asa, saya 'memaksa' Aiman menghafal kembali surah tersebut kerana dia masih ingat lagi dalam 50% hafalannya. Walaubagaimana sifat seorang kanak-kanak yang suka bermain tetap tidak boleh dihalang. Ia adalah fitrah semulajadi mereka. Mereka punya mood tersendiri. Tetap suka bermain game dan jika tidak dikawal memang boleh memudaratkan.

Saya mengaku akibat kesilapan membiarkan Aiman terlalu asyik bermain game di Ipad dan menonton tv, akhirnya dia lupa surah yang sudah dihafal. Nampaknya saya perlu kembali mengeluarkan 'taring' jika mahu prestasi Aiman menghafaz cemerlang. Bermain game dan tengok tv bukan tidak boleh tetapi perlu berjadual. 

Muhammad Aiman khusyuk mengaji Al-Quran


Tip ajar anak mengaji :

* Ajar anak mengaji Iqra' seawal usianya. Sekarang lagi mudah dengan bermacam kaedah mengaji yang canggih.

* Anak kecil cepat bosan bila kita paksa dia mengaji, jadi untuk meningkatkan semangatnya, bagi dia ganjaran berbentuk objek lukisan yang dia paling suka. Contoh paling mudah, lukiskan objek senapang/pedang untuk kanak-kanak lelaki pada muka surat yang dia habis mengaji. Jika dia hendak lukisan objek lain maka dia perlu lebih cepat menguasai muka surat seterusnya. Dengan cara ini, anak akan cepat habis dan lancar bacaan Iqra'nya.

* Tetapkan sasaran anak untuk mula mengaji Al-Quran pada usia yang kita mahukan.

* Istiqomah membaca Al-Quran setiap hari. Semua ahli keluarga mesti bersama-sama mengaji terutama selepas solat magrib berjemaah. 

* Tetapkan sekurang-kurangnya satu ayat perlu dihafal setiap hari. Peruntukkan masa untuk semak hafazan surah anak-anak. Kadang-kadang tengah tengok tv, main atau dalam kereta pun boleh suruh dia hafaz surah tersebut.

* Untuk ayat-ayat lazim dan ayat kursi, sejak usia anak dua tahun lagi saya akan membaca ayat-ayat tersebut secara nyanyian sebelum mereka tidur. Alhamdulillah mereka hafal dengan sendirinya ayat tersebut dalam tempoh beberapa minggu. Hati anak kecil masih bersih jadi mereka cepat hafal apa yang dicurahkan setiap hari. 


Selamat malam, moga kita semua dirahmati ALLAH selalu. Amin

Mama ita






Comments

Popular posts from this blog

Cerita Susu Ibu Di Petang Hari

Betul Ke Kajian Kata Makan Pedas Boleh Kuruskan Badan?

Kerisauan Seorang Ibu