Monday, September 30, 2013

Bagaikan Lipas Kudung

Bunyi alarm telefon bimbit En. Suami terdengar mendayu-dayu sekali. Irama ketukan piano lagu A Thousand Years dendangan  Christina Perri memang sedap dinikmati. Mata yang terpejam seolah-olah terus rasa terbuai dengan alunan muzik tersebut apatah lagi dalam cuaca dingin selepas hujan turun dengan lebatnya lewat malam semalam.

Astagfirullahal ‘adzim,” saya beristigfar. Sudahlah telinga dibiarkan mendengar alunan muzik barat, sempat pula dalam hati turut menyanyi irama lagu tersebut.  Sepatutnya ucapan Alhamdulillah yang patut saya ucapkan kerana DIA mengembalikan saya semula dalam kehidupan selepas dimatikan saya seketika.  “Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami selepas mematikan kami dan kepadaNya kami akan kembali.”

Oh hari ini sudah hari Isnin. Bermula kembali rutin biasa seorang ibu berkerjaya. Kesibukan mengejar masa bermula seawal pagi sehingga malam adalah rutin biasa ibu berkerjaya. Membina kerjaya di bandaraya memerlukan ibu bertindak pantas dalam semua hal. Setiap saat begitu berharga bagi saya. Kalau masa lari daripada kebiasaan, alamat berteraburlah rutin yang sepatutnya berjalan lancar seperti biasa.

Saya masih ingat lagi peristiwa terlambat bangun daripada tidur pada hari persekolahan. Akibatnya anak sampai lewat ke sekolah dan menangis kerana takut cikgu marah. Saya juga terpaksa menghantarnya ke dalam kelas kerana tidak mahu moodnya terganggu pada hari itu. Rentetan daripada itu juga, saya sampai lambat ke pejabat. Ah, tentu sahaja ia mengganggu emosi saya pada hari tersebut. Kelam-kabut dan tergesa-gesa bukannya cara saya.  Semuanya gara-gara terlambat bangun tidur. Nampakkan betapa pentingnya pengurusan masa yang efisien apabila kita bergelar ibu berkerjaya.

Mungkin saya agak beruntung jika dibandingkan dengan kawan-kawan saya yang lain. Saya hanya perlu menguruskan sepasang anak yang sudah bersekolah rendah. Bayangkan kawan-kawan lain yang punya anak sehingga lima orang dan masih kecil semuannya. Memang tidak menang tangan melayan kerenah dan kehendak mereka. Anak-anak yang sedang membesar pula pastinya mahukan perhatian daripada ibu dan ayah. Saya yang beranak dua juga mengaku kadang kala terbabas juga kesabaran daripada landasan sepatutnya apabila berhadapan dengan kerenah mereka.  Maafkan mama, wahai anak-anak. Sesungguhnya mama bukanlah ibu yang sempurna (eh emosi pulak tiba-tiba. Dah lari tajuk ni hehe).

Sebenarnya nak cerita hari ini agak rileks sedikit kerana anak-anak tidak bersekolah. Semalam sekolah mereka mengadakan Hari Aerobikthon. Puaslah mereka berjimba bersama kawan-kawan dengan pelbagai aktiviti yang disediakan oleh pihak sekolah. Ada rumah hantu, water boat, lumba kereta, melawat kandang arnab dan bermacam lagi. Dah macam ‘fun fair’ pula sambutan kutipan sumbangan aerobiktohn sekolah. Hebat sekolah sekarang! Mungkin akibat kepenatan menguruskan acara tersebut, semua cikgu dan murid diberikan cuti. Sementara sekolah agama pula bercuti kerana murid-murid darjah lima menghadapi peperiksaan akhir UPKK. Jadinya, hari ini kurang sedikit kesibukan saya kerana hanya perlu menguruskan keperluan sendiri sahaja.

Saya masih ingat lagi satu artikel yang yang pernah disiarkan dalam majalah Pa&Ma mengenai pengurusan masa ibu berkerjaya. Tip pantas tersebut sememangnya bagus untuk dijadikan panduan oleh ibu-ibu lain yang bekerja. Saya juga punya tip pantas pengurusan rumah tangga yang menjadi amalan selama ini. Saya turut mengalu-alukan kepada yang ingin berkongsi tip mereka. Mana tahu ia turut membantu tugas orang lain menjadi lebih lancar. Bukankah sharing is caring J

Gambar sekadar hiasan


Kali ini saya fokuskan kepada tip pengurusan pakaian yang merangkumi mencuci, menyidai, mengangkat, melipat, menyimpan, menggosok dan memakai.

1. Cuci pakaian kotor setiap hari untuk mengelakkan daripada timbunan pakaian yang banyak pada hujung minggu jika ia dikumpul. Semasa anak saya belum bersekolah, pakaian kotor saya dan suami hanya dicuci tiga kali seminggu sementara pakaian anak (usia bayi) dicuci setiap hari. Tetapi apabila anak-anak sudah bersekolah, pakaian perlu dicuci setiap hari bagi menggelakkan berlakunya ‘pergunungan’ pakaian. Dalam kes saya, En.suami yang pulang awal dari kerja akan mencuci pakaian kotor.

2. Pastikan terus menyidai pakaian sebelum masuk tidur. Jangan simpan pakaian dengan alasan kononnya hendak sidai keesokkan hari. Takut berbau busuk semula akibat diperam tidak sempat disidai kerana kesuntukan masa.


3. Sebaik pulang dari kerja, segera mengangkat pakaian bersih. Saya amalkan cara tersebut. Sebaik masuk dalam rumah saya mulakan dengan tugas mengangkat pakaian kering. Kalau dibiarkan alamat tertangguhlah tugas yang mudah tapi remeh itu.

4. Jika tidak mahu berlaku ‘pergunungan’ pakaian, maka sebaiknya lipatlah pakaian setiap hari. Seperti dalam entri sebelum ini, saya beruntung kerana tugas ini diambil alih oleh En.suami. Tetapi untuk lebih memudahkan tugas melipat menjadi pantas, ajak anak-anak ‘rewang’ sekali tugas itu. Agihkan mengikut kumpulan pakaian masing-masing.  Secara tidak langsung anak-anak belajar melipat pakaian mereka sendiri.

5. Terus simpan pakaian berlipat dalam almari/laci masing-masing. Saya sendiri , memang mengajar anak-anak menyusun pakaian mereka sendiri dalam laci masing-masing. Mereka mesti bertanggungjawab menguruskan susunan pakaian mereka dengan teratur kerana saya akan membuat ‘spot check’ pada bila-bila masa.

6. Gosok pakaian sekolah dan kerja pada hujung minggu untuk kegunaan seminggu. Kemudian gantung pakaian yang sudah digosok berasingan bagi mengurangkan kedutan.

7. Jika mempunyai anak kecil berusia tiga hingga enam tahun, ajar mereka pakai baju sendiri. Ia dapat menjimatkan masa anda terutama di waktu pagi yang sibuk. Bagaimana mengajar anak memakai baju sendiri? Nantikan ia dalam entri seterusnya J

Itulah serba sedikit tip yang saya boleh kongsikan. Di harap ia dapat membantu ibu-ibu berkerjaya yang lain menjadi lebih pantas dan efisien.





No comments:

Post a Comment